Masyarakat yang maju itu ialah masyarakat yang sedia bermesra dan bergelut dengan pelbagai ilmu.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa masyarakat Melayu hari ini semakin berani, tidak malu dan berkeinginan untuk menyelami bidang ilmu yang rencam dan berbeza.

Hal ini lebih-lebih lagi dengan kemunculan teknologi baharu yang memudahkan akses kepada proses pemerolehan pelbagai jenis ilmu.

Terkadang hairan saya, kadangkala terdengar ungkapan yang mengatakan bahawa ‘masyarakat tidak faham’, ‘tidak bersedia’ atau ‘tidak mempunyai keupayaan’ untuk mendalami ilmu-ilmu tertentu, baik ilmu agama, bahasa, ilmu kemasyarakatan mahupun teknologi.

Maka, tertanya saya, apakah kayu ukur atau penanda aras bagi menentukan kesediaan masyarakat untuk mendalami ilmu yang lebih beraras tinggi dan penting?

Adakah kita harus saja menyajikan inti pati maklumat yang ‘mudah’ dicerna dan tersedia ada, atau sepatutnya mempertingkatkan penguasaan masyarakat dengan ilmu yang lebih ‘mendalam’?

Dikhuatiri dengan anggapan bahawa orang Melayu ‘tidak faham’ atau ‘tidak sedia’, ia akan terus melarutkan masyarakat dalam ‘kegersangan minda’ atau ketidakupayaan untuk berfikir dengan lebih tajam.

Nah, secara tidak sedar, hal tersebut akan menggalakkan anasir antiintelektualisme – mentaliti yang menolak atau merendahkan kehendak manusia untuk merenung dan membuat pertimbangan intelektual terhadap ilmu seisi alam dan masyarakat.

Istilah atau perihal ‘intelektual’ ini pula usah dilihat sebagai elemen yang tinggi di awangan lagi menggerunkan.

Keintelektualan merupakan ciri alami dalam diri setiap manusia yang berakal dan perlu dicungkil meski memerlukan proses pemikiran yang kompleks.

Lantaran itu, penting untuk kita awas daripada membantutkan potensi masyarakat untuk berkembang dengan ilmu yang lebih bertingkat tinggi selagi mana ilmu itu membawa nilai kebaikan.

Malah, perspektif harus dialihkan tentang bagaimana dapat kita terus memperkasakan masyarakat dengan kebijaksanaan.

Bersandarkan kajian Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) yang dilaporkan pada 4 Julai, penulis menyedari lagi akur masyarakat Melayu/Islam mempunyai keinginan tinggi dan cakna untuk meneliti ilmu yang penting walaupun dianggap rumit.

Malah, dalam siri laporan Profesor Syed Farid Alatas dalam media sosial Berita Harian (BH) pada Jun, masyarakat kelihatan asyik menyambut baik idea-idea yang dibahaskan walaupun sarat dengan istilah atau konsep yang asing.

Dalam satu kajian yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Hal Ehwal Islam dan Melayu (Rima) pada Julai, ia turut mengemukakan tentang belia Melayu/Islam mendahagakan pencerahan ilmu yang genting dan kompleks dalam lapangan pengajian agama.

Jadi, wajar untuk kita fikir bagaimana dapat kita sambut baik trend ini dan terus mendorong masyarakat untuk ‘lebih bersedia’ serta ‘terbuka’ dalam usaha menuntut ilmu yang lebih mencabar.

Mungkin bukan dengan cara membataskan ilmu daripada disalurkan kepada masyarakat.

Namun, ia perlu dibingkiskan dalam bentuk yang ‘mesra’, boleh dihadam sesuai dengan kecenderungan masyarakat melalui wadah media sosial atau video ringkas.

Golongan pemikir atau ilmuwan dengan ilmu yang luas boleh juga meneroka pendekatan yang lebih ‘membumi’ dan kreatif untuk dekati masyarakat umum.

Di sisi lain, masyarakat juga harus terus mengorak langkah dan lebih berkomited untuk menggapai ilmu yang tinggi demi peningkatan diri.

Sekiranya usaha itu dapat diselaraskan, barangkali alasan ‘masyarakat tidak faham’ atau ‘masyarakat tidak mampu’ tidak lagi boleh diguna pakai.

Tuntasnya, selagi mana ilmu itu memikul cita-cita kemanusiaan dan membawa nilai murni, selagi itulah ia patut menjadi sebati dengan anak bangsa.

Andai diselak lipatan sejarah, masyarakat Melayu/Islam di Singapura telah diberkati dengan ramai tokoh ilmuwan sebagai penyalur ilmu dan pembangun masyarakat.

Seperti contoh, Munshi Abdullah dengan ketajaman ilmu kemasyarakatan dan teknologi, Allahyarham Ustaz Syed Abdillah Al-Jufri dengan kearifan ilmu tafsir, Allahyarham Cikgu Ariff Ahmad dengan kefasihan ilmu bahasa serta ramai lagi.

Budaya ilmu yang telah mereka gendong pantas dihidupkan semula demi kesejahteraan dan kemajuan orang Melayu/Islam di Singapura.

Menutup kalam, budaya ilmu itulah yang boleh membentuk kita menjadi masyarakat yang ‘tercerah’ dan ke depan.