Topik diikuti
Pergi ke BHkuDari padang ke hati: Bagaimana pemain bola sepak Muslim lahirkan rasa syukur di pentas dunia
Dari padang ke hati: Bagaimana pemain bola sepak Muslim lahirkan rasa syukur di pentas dunia
Sokongan daripada rakyat negara sekular terhadap pemain Islam mampu beri keyakinan kepada pemain
Dari padang ke hati: Bagaimana pemain bola sepak Muslim lahirkan rasa syukur di pentas dunia
Demam Piala Dunia 2026 hampir melabuhkan tirainya dengan perlawanan akhir antara Sepanyol dengan Argentina dijadualkan berlangsung pada 20 Julai.
Walaupun kejohanan yang diadakan di Amerika Syarikat, Mexico dan Canada itu diselubungi pelbagai kontroversi, satu perkara yang menarik perhatian dunia ialah bagaimana pemain Muslim melahirkan kesyukuran mereka.
Pemain bebas menzahirkan kesyukuran melalui sujud syukur dan doa.
Mereka mempamerkan nilai murni seperti rasa kesyukuran – satu nilai universal yang boleh dihayati dan dikongsi bersama oleh masyarakat daripada pelbagai latar belakang agama.
Antara detik paling ikonik dalam kejohanan kali ini berlaku pada 30 Jun, apabila Maghribi bangkit dengan semangat kebersamaan yang utuh untuk menewaskan Belanda 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti.
Aksi pusingan 32 terakhir Piala Dunia 2026 itu terpaksa ditentukan melalui sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan buntu terikat 1-1 selepas masa tambahan.
Sebelum berdepan tekanan penentuan sepakan penalti, pemain Maghribi tidak berkumpul mengelilingi papan taktik atau saling bertukar arahan pada saat-saat akhir.
Sebaliknya, pengurus, Mohamed Ouahbi, bersama pemainnya berkumpul dalam satu bulatan untuk berdoa sebelum melangkah bagi mengambil sepakan penalti masing-masing.
Apabila penyerang, Ismael Saibari, dengan tenang menyempurnakan sepakan penalti kemenangan, keriangan sambutan itu tidak seperti biasa yang dilihat.
Sebelum saling berpelukan, pemain dan barisan jurulatih Maghribi secara bersama melakukan sujud syukur, sekali gus mempamerkan cara mereka menzahirkan kesyukuran.
Beberapa pemain Muslim lain dari pasukan bukan negara Islam turut dilihat melahirkan sifat keislaman mereka.
Misalnya, Lamine Yamal, bintang muda Sepanyol, melahirkan kesyukurannya dengan melakukan sujud syukur ketika menjaringkan gol Piala Dunia pertamanya menentang Arab Saudi pada 22 Jun.
Namun, pegangan agama Yamal sudah menjadi tumpuan pada Mac lalu semasa perlawanan persahabatan antara Sepanyol dengan Mesir di Barcelona, apabila sebahagian penonton bersorak dengan sorakan anti-Islam.
Sebagai seorang warga muda Sepanyol Islam dan berketurunan Maghribi, Yamal menjawab di media sosial dan berkata:
“Saya seorang Muslim alhamdulillah... bola sepak adalah untuk hiburkan dan naikkan semangat (orang ramai), bukannya untuk menunjukkan rasa tidak hormat kepada orang lain disebabkan apa yang mereka percayai.”
Baru-baru ini, saya juga sempat menonton satu video di mana seorang pempengaruh menanyakan kepada rakyat Sepanyol mengenai kebencian yang diterima Yamal.
Mereka menjelaskan bahawa kebencian itu tidak adil dan beliau dikira wira Sepanyol walau apa pun latar belakang dan agamanya.
Ada juga yang mengatakan bahawa Sepanyol itu ialah negara sekular dan apa-apa agama boleh dipraktikkan di sana.
Sokongan terbuka seperti ini memberi keyakinan kepada pemain Islam untuk tidak lagi berselindung dalam menzahirkan identiti agama mereka.
Ini juga bermakna masyarakat Barat sudah mula memahami dan menghormati pegangan Islam.
Sementara Yamal mewarisi pegangannya daripada keluarga imigran, semakin ramai pemain bola sepak Eropah yang juga memeluk Islam.
Antara yang paling menonjol ialah pemain tengah Belanda dan pemenang empat kali Liga Juara-Juara Eropah, Clarence Seedorf; penyerang Mali kelahiran Perancis, Frederic Kanoute; dan pemain tengah Perancis, Paul Pogba, yang memenangi Piala Dunia 2018.
Di era bola sepak kini, Djed Spence, yang seorang mualaf turut mencuri tumpuan.
Beliau beraksi sebagai bek pertahanan England dalam Piala Dunia kali ini dan menjadi pemain Islam pertama yang mewakili negara tersebut apabila membuat penampilan sulung dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Serbia pada 2025.
“Saya terkejut kerana saya tidak tahu saya adalah yang pertama, jadi ia satu rahmat,” katanya selepas kemenangan 5-0 England ketika itu.
“Ia baik untuk melakar sejarah dan saya harap dapat beri inspirasi kepada kanak-kanak di seluruh dunia bahawa mereka juga boleh berjaya. Mereka boleh lakukan apa yang sedang saya lakukan.”
Bagi Spence, yang kerap memuat naik kenyataan keagamaan di akaun media sosialnya, agama memainkan peranan penting dalam hidup dan pendekatannya terhadap bola sepak.
“Apa jua agama yang anda percayai, percayalah kepada Tuhan,” kata Spence.
Pada Piala Dunia ini, Spence juga dilihat berdoa selepas kemenangan negaranya ke atas Norway di saingan suku akhir pada 12 Julai.
Negara paling kecil yang beraksi di Piala Dunia kali ini, Cape Verde, – yang hanya mempunyai 530,000 rakyat – juga telah membuka pintu bagi pemain Islam.
Dibarisi tiga pemain Islam – Jamiro Monteiro, Logan Costa dan Steven Moreira – negara itu muncul sebagai salah satu pasukan kejutan dalam kejohanan tersebut susulan persembahan kental menentang Sepanyol, Uruguay dan pusingan ke-32 menentang Argentina.
Walaupun sebahagian besar negara itu beragama Roman Katolik, tiga pemain itu menjadi tular sebelum Piala Dunia bermula apabila video mereka menunaikan solat bersama mencuri tumpuan.
Moreira berkata: “Memandangkan kami bertiga sahaja pemain beragama Islam dalam pasukan ini, kami sentiasa meluangkan masa bersama dan berdoa bersama-sama sebelum perlawanan bermula.”
Ketiga-tiga pemain itu merupakan mualaf yang menganut Islam.
Mereka sentiasa dihormati dan diberikan kemudahan sewajarnya oleh pasukan kebangsaan serta rakan sepasukan, termasuk penyediaan makanan halal sepanjang kem latihan dan kejohanan berlangsung.
Melalui kehadiran pemain Islam ini, agama tidak lagi dilihat sebagai sesuatu yang sukar untuk dizahirkan.
Sebaliknya, negara majoriti bukan Islam kini mula mengenali Islam dan nilai kebersamaan kemanusiaan menerusi para pemain ini.