Walaupun wujud perbezaan, Singapura dan Malaysia sentiasa berusaha keras untuk memastikan hubungan dua hala yang lama terjalin terus dikekalkan dan diperkukuhkan di peringkat nasional dan juga negeri.

Lawatan terkini Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, ke Pahang dan Terengganu menekankan kepentingan hubungan dua hala tersebut, sekali gus menunjukkan bagaimana kededua Singapura dan Malaysia adalah ‘jiran buat selama-lamanya’.

Lawatan kerja lima hari itu, dari 4 hingga 8 Mei, merupakan lawatan pertama Encik Lee ke Terengganu dan lawatan keduanya ke Pahang, selepas kali terakhir beliau melawat Pahang sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 2002.

Ini menunjukkan bahawa hubungan kerja yang baik antara Singapura dengan Malaysia di peringkat nasional perlu dilengkapi dengan kerjasama di peringkat negeri.

Pertemuan Encik Lee dengan Menteri Besar Pahang dan Terengganu – yang masing-masing juga merupakan Naib Presiden Umno dan Parti Islam SeMalaysia (PAS) – turut menunjukkan usaha pemerintah Singapura untuk berhubung dengan pemimpin daripada parti politik yang berbeza.

Semasa lawatan delegasi Encik Lee di Pahang, yang turut disertai Berita Harian (BH), kami dijemput untuk menyertai majlis jamuan makan tengah hari yang dihoskan oleh Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ahmad Shah, dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Encik Lee telah mengunjungi Pahang atas undangan Sultan Abdullah dan Tunku Azizah.

Keakraban antara Encik Lee dan isterinya, Cik Lee, dengan Sultan Abdullah dan Tunku Azizah jelas terpancar semasa jamuan makan itu, apabila mereka berkongsi cerita dan bergurau senda di meja makan yang dipenuhi tetamu lain.

Di samping itu, melihat bagaimana Encik Lee dan Cik Lee mendengar dengan penuh perhatian penjelasan Tunku Azizah dan Sultan Abdullah mengenai pameran di Muzium Sultan Abu Bakar juga menunjukkan persahabatan antara mereka yang penuh hormat.

Encik Lee turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, yang juga Naib Presiden Umno, dan barisan pemimpin negeri itu yang telah melakukan perbincangan mengenai cara untuk memperkukuh jalinan perniagaan.

Malaysia merupakan rakan dagangan ketiga terbesar Singapura, dengan jumlah perdagangan dua hala berjumlah $123.6 bilion pada 2023.

Singapura pula ialah rakan dagangan kedua terbesar Malaysia pada 2023 dan merupakan sumber terbesar pelaburan langsung asing (FDI) ke negara itu, menyumbang RM43.7 bilion ($13.3 bilion), atau 23.2 peratus FDI Malaysia.

Menurut laporan berita Malaysia pada akhir 2025, sehingga September 2025, Pahang telah merekodkan jumlah pelaburan bernilai RM17.43 bilion, melebihi sasaran 2025 sebanyak RM14.09 bilion dan telah mewujudkan lebih daripada 11,000 peluang pekerjaan.

Laporan itu menambah bahawa empat sektor – iaitu kimia dan petrokimia, automotif, pembuatan makanan, serta industri berat dan sederhana – akan diberi perhatian oleh kerajaan Malaysia untuk memacu pertumbuhan ekonomi Pahang.

Di luar kerjasama dengan Pahang, Encik Lee berkata Singapura juga boleh meneroka kerjasama dalam pelbagai bidang seperti pelancongan, tenaga boleh diperbaharui dan perlindungan pantai dengan Terengganu.

Dalam satu pertemuan dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, yang juga Naib Presiden PAS dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Encik Lee berkongsi bahawa barisan pemimpin negeri menunjukkan minat untuk berkongsi idea bersama negara ini.

Sebaliknya, Singapura juga berhasrat memperbaharui dan memperkukuh hubungan persahabatan bersama Terengganu.

Lawatan Encik Lee ke negeri itu yang diadakan buat kali pertama menggariskan kepentingan menjalinkan hubungan di peringkat negeri sebagai sesuatu yang dapat mendatangkan hasil kepada kesemua pihak terlibat.

Encik Lee memetik destinasi seperti Pulau Redang dan Pulau Perhentian sebagai tempat pelancongan popular dalam kalangan warga Singapura bagi kegiatan selam skuba.

Untuk ke pulau-pulau itu, pelancong dari Singapura boleh menaiki pesawat ke Kuala Terengganu, lazimnya menerusi Kuala Lumpur, sebelum menaiki feri untuk ke Pulau Redang, atau terbang ke Kota Bharu sebelum menaiki feri untuk ke Pulau Perhentian.

Terengganu merekodkan sebanyak 2.45 juta kedatangan pelancong domestik dan antarabangsa bagi suku pertama 2026, lapor agensi berita.

Justeru, industri pelancongan merupakan salah satu bidang yang berpotensi untuk dikembangkan.

Dalam pada itu, isu rumit dan berlarutan antara Singapura dengan Malaysia yang masih belum diselesaikan, seperti bekalan air, ruang udara dan sempadan maritim, tidak seharusnya mengeruhkan hubungan dua hala kededua negara itu, kata Encik Lee.

Pentingnya persefahaman dalam hubungan dua hala adalah sesuatu yang perlu kerap dipertingkatkan dan tidak seharusnya dipandang remeh hanya kerana ia wujud sekian lama.

Kehidupan berjiran memerlukan Singapura dan Malaysia untuk sentiasa bekerjasama agar dapat memastikan perbezaan antara kedua-dua negara itu tidak menimbulkan masalah.

Kehidupan berjiran memerlukan Singapura dan Malaysia untuk sentiasa bekerjasama agar dapat memastikan perbezaan antara kedua-dua negara itu tidak menimbulkan masalah.
Penulis.