Topik diikuti
Pergi ke BHkuSM Lee: Potensi besar S’pura kerjasama dengan negeri Pantai Timur M’sia
SM Lee: Potensi besar S’pura kerjasama dengan negeri Pantai Timur M’sia
Turut tekan kepentingan hubungan baik, akrab di peringkat nasional, selain teroka bidang pelancongan, tenaga boleh diperbaharui dan perlindungan pantai
SM Lee: Potensi besar S’pura kerjasama dengan negeri Pantai Timur M’sia
Singapura boleh meneroka kerjasama dalam pelbagai bidang seperti pelancongan, tenaga boleh diperbaharui dan perlindungan pantai, serta memperkukuh jalinan perniagaan dengan Pahang dan Terengganu.
Demikian dinyatakan oleh Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, pada 7 Mei, di akhir lawatannya ke dua negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia itu.
Antaranya, Encik Lee berkata Singapura boleh bekerjasama dengan Terengganu dalam menangani isu perlindungan pantai, khususnya usaha negeri itu dalam melindungi pantainya daripada terhakis terutama setiap kali musim monsun timur laut tiba.
Beliau berkongsi demikian ketika ditemui media di Hotel dan Pusat Konvensyen Raia Terengganu di hari terakhir lawatan lima hari beliau ke Pahang dan Terengganu dari 4 hingga 8 Mei.
Singapura sudah mempunyai hubungan erat dengan beberapa negeri Malaysia seperti Johor, namun, tidak begitu dengan negeri lain di Pantai Timur, seperti Pahang dan Terengganu, kata Encik Lee.
Itu sebabnya mengapa beliau melakukan lawatan tersebut, sambil menambah terdapat potensi untuk membangunkan peluang ekonomi bersama Pahang dan Terengganu.
“Negeri-negeri ini merupakan negeri besar dan penting untuk memahami serta mengekalkan hubungan, selain mempunyai potensi untuk membangunkan peluang ekonomi, peluang pelancongan, serta pertukaran dan kerjasama lain yang dapat mempertingkatkan persefahaman bersama,” kata beliau.
Pada 7 Mei, Encik Lee telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.
Awal dari itu, Encik Lee telah mengunjungi Pahang dari 4 hingga 6 Mei atas undangan Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ahmad Shah, dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Semasa pertemuannya dengan Dr Samsuri, yang juga Naib Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), dua pemimpin itu membincangkan isu berkaitan perlindungan pantai, tenaga boleh diperbaharui dan pelancongan.
Khususnya mengenai perlindungan pantai, Encik Lee berkata Singapura sedang membuat persiapan untuk melindungi pantai negara ini daripada kenaikan paras air laut di tengah-tengah pemanasan sejagat.
Bahkan, satu Rang Undang-Undang Perlindungan Pesisir Pantai telah diluluskan Parlimen pada Mac 2026 sebagai usaha melindungi pantai negara ini daripada kenaikan paras air laut.
Namun, Terengganu sudah berdepan dengan masalah kenaikan paras laut, terutama semasa musim monsun timur laut.
“Setiap kali tibanya musim monsun timur laut, mereka mengalami hakisan pantai.
“Jadi itu adalah sesuatu yang boleh kita usahakan bersama,” ujar Encik Lee.
Selain itu, penilaian kesan alam sekitar bagi projek tenaga boleh diperbaharui juga merupakan satu bidang yang boleh diterokai oleh Singapura dengan Terengganu, tambah Encik Lee.
Memberi perincian, Encik Lee berkata Terengganu mempunyai rancangan untuk projek Hibrid Hidro Solar Terapung, atau Hybrid Hydro Floating Solar (HHFS), di Tasik Kenyir yang sebesar hampir dua pertiga saiz Singapura.
Singapura pula mempunyai Ladang Suria Terapung Sembcorp Tengeh di Takungan Tengeh, yang mempunyai lebih 122,000 panel suria terapung di kawasan permukaan air seluas 45 hektar.
Justeru, Singapura dan Terengganu boleh meneroka peluang kerjasama dalam ruang tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga suria, tambah Encik Lee.
Dalam bidang pelancongan pula, Encik Lee berkata destinasi seperti Pulau Redang dan Pulau Perhentian di Terengganu popular dalam kalangan warga Singapura sebagai tempat pelancongan.
“Kedua-duanya (pulau) sangat popular, namun Terengganu mempunyai kira-kira 14 pulau atau lebih, dan pulau-pulau lain masih belum begitu membangun, tetapi ia mempunyai terumbu karang yang indah.
“Mungkin terdapat peluang untuk mereka mempromosikannya dan untuk rakyat Singapura datang berkunjung,” kata Encik Lee.
Menjawab pertanyaan mengenai hubungan di peringkat nasional pula, Encik Lee berkata Singapura dan Malaysia menikmati hubungan dua hala dan kerjasama yang baik dan kukuh.
Bahkan, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan rakan sejawatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, amat jelas dalam keinginan mereka untuk membangun dan memperkukuh hubungan serta kerjasama antara kededua negara, tambah beliau.
“Semua kementerian sentiasa berhubung dengan rakan sejawat masing-masing, termasuk antara para menteri, dan mereka sedang menangani pelbagai isu dalam pelbagai bidang.
“Projek seperti Laluan Sistem Transit Laju Johor Bahru-Singapura (RTS Link) sedang menunjukkan kemajuan dan kami berharap ia dapat mula beroperasi tidak lama lagi.
“Beberapa inisiatif lain seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) juga sedang diusahakan, dan jelas merupakan projek yang membawa manfaat kepada kedua-dua pihak,” kongsi Encik Lee.
Beliau menambah, walaupun Singapura dan Malaysia masih mempunyai beberapa isu tertonggak seperti sempadan maritim, bekalan air dan ruang udara, perkara tersebut tidak seharusnya menjejas hubungan dua hala sedia ada yang kukuh.
“Kita perlu terus berusaha untuk memahami perbezaan antara satu sama lain dan memastikan perbezaan tersebut tidak secara tidak sengaja menimbulkan masalah antara kededua negara,” kata Encik Lee.
Dalam lawatannya, Encik Lee diiringi isteri, Cik Lee; Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua (Ehwal Dalam Negeri), Encik Edwin Tong; Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Luar), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim; Anggota Parlimen (AP) GRC Tanjong Pagar, Cik Joan Pereira; dan pegawai Kementerian Ehwal Luar (MFA).
“
Negeri-negeri ini (Pahang dan Terengganu) merupakan negeri besar dan penting untuk memahami serta mengekalkan hubungan, selain mempunyai potensi untuk membangunkan peluang ekonomi, peluang pelancongan, serta pertukaran dan kerjasama lain yang dapat mempertingkatkan persefahaman bersama kita.