Baru-baru ini, beberapa ahli keluarga saya mengunjungi rumah saya pada hujung minggu.

Anak saya yang berumur empat tahun dan anak-anak saudara yang berumur lima tahun dan dua tahun pun bermain bersama.

Setelah puas mereka berlegar-legar di rumah, sekitar 4.30 petang pada Sabtu itu, mereka pun beralih untuk bermain di luar rumah di kawasan koridor flat Bina Ikut Tempahan (BTO) kami untuk tukar angin.

Sudah menjadi lumrah anak-anak kalau bermain bersama pasti suara agak sukar untuk dikawal.

Setengah jam kemudian, saya menerima pesanan daripada salah seorang jiran melalui kumpulan WhatsApp blok kami bahawa jika anak-anak ingin bermain “dengan suara yang kuat untuk jangka waktu yang panjang” mungkin mereka boleh ke taman permainan. 

Saya akur saya agak terkesan dan terasa sangat kecewa apabila mendapat pesanan tersebut kerana saya tahu ia ditujukan kepada anak dan keluarga saya.

Sebagai orang tua, kami hanya boleh menasihatkan mereka supaya peka terhadap orang lain dan untuk turunkan suara.

Tetapi bila sudah mula bermain, anak-anak biasanya mempunyai minda dan suara tersendiri yang sangat sukar dikawal.

Setahu saya, waktu 4.30 petang pada hari Sabtu itu bukan dalam waktu senyap yang ditetapkan iaitu antara 10.30 malam dengan 7 pagi, menurut laman Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).  

Dalam keadaan di mana pihak pemerintah Singapura sedang berperang dengan penurunan tahap kesuburan, saya rasa agak terganggu bahawa jiran-jiran saya ini tidak ada atau kurang toleransi terhadap “kebisingan” kanak-kanak yang sedang bermain.

Di mana lagi yang boleh dianggap “safe space” atau ruang selamat untuk anak-anak kita bermain dan bersosial jika tidak di tempat-tempat yang sepatutnya menjadi ruang dikongsi sama dalam kehidupan kita berjiran?

Dengan saiz rumah yang terhad dan tidak banyak ruang, saya rasa tidak hairan bahawa anak-anak dan ibu bapa menggalakkan mereka untuk bermain di luar rumah untuk teruskan hal mereka. 

Bukan tidak boleh ke taman permainan untuk beriadah.

Tetapi kadang-kadang cuaca yang terlalu panas atau hujan, kehadiran tamu di rumah, anak yang tidak berapa sihat untuk bergaul dengan kanak-kanak yang lain, dan juga anak-anak yang berkeperluan khas menjadi antara faktor di mana mereka harus bermain di dalam rumah atau di kawasan luar rumah, termasuk koridor dan kolong blok, supaya lebih selesa.

Isu gangguan bunyi ini nampaknya semakin ketara dalam kalangan penduduk rumah flat.

Berucap di Parlimen pada November 2024, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia waktu itu, Encik Edwin Tong, berkata agensi awam menerima sekitar 2,500 aduan setiap bulan secara purata – atau lebih daripada 80 aduan setiap hari – tentang gangguan bunyi dari jiran mereka.

Saya sendiri terkejut apabila mendapat tahu aduan ini terdiri daripada antaranya – bunyi tapak kaki yang kuat, anak berkejaran dan berlari-lari di rumah, bunyi perabot yang digerakkan atau barang yang jatuh ke lantai, bunyi muzik, televisyen atau pekikan yang kuat, dan akhir-akhir ini aduan gangguan bunyi yang disebabkan oleh sukan seperti bola pikel dan kanak-kanak yang bermain bola di kolong blok.

Kebanyakan hal ini ialah perkara harian yang sudah menjadi lumrah kehidupan.

Tetapi kenapa toleransi terhadap situasi harian ini menjadi masalah yang sangat merumitkan? 

Masalah ini mungkin nampak remeh tapi apabila direnungkan kejadian tahun 2025 di mana seorang ibu dibunuh oleh jirannya kerana pertelingkahan disebabkan gangguan bunyi, ia boleh bertukar menjadi buruk dengan begitu cepat.

Dalam hal ini, saya rasa emosi, kesabaran dan kewarasan seseorang boleh tercabar dan mudah untuk ia menjadi perkara yang mengesalkan. 

Tambahan lagi dengan wadah kumpulan WhatsApp yang dianggotai oleh jiran-jiran, yang mungkin kita berinteraksi lebih daripada saudara-mara sendiri.

Ini merupakan fenomena baharu sejak flat-flat BTO dibangunkan.

Apa yang mulanya satu platform untuk berkongsi maklumat tentang perkembangan pembangunan rumah, pembelian berkumpulan hinggalah ke acara kemasyarakatan sekarang menjadi wadah untuk jiran meluahkan perasaan atau mengeluh tentang gangguan bunyi.

Sebagai penduduk flat BTO, kita harus sangat peka dan memahami demografi dalam kejiranan itu – iaitu kebanyakan daripada mereka ialah keluarga dengan anak yang kecil.

Jadi semestinya gangguan bunyi tidak dapat dielakkan. 

Dalam kumpulan WhatsApp saya, memang terdapat beberapa daripada mereka yang kerap mengadu tentang bunyi yang mengganggu mereka, termasuk aduan terhadap keluarga saya baru-baru ini.

Akhir kata, saya rasa budi bicara dan juga sikap bertolak ansur antara jiran adalah sangat penting.

Apabila ingin menegur di kumpulan WhatsApp, ingatlah bahawa semua orang melalui kesukaran mereka sendiri dan tidak ada orang yang ingin membuat jiran mereka tidak senang dengan sengaja.

Kanak-kanak juga patut diberi ruang yang selamat untuk melepaskan tenaga dan bergaul dengan jiran mereka untuk mengukuhkan semangat kebersamaan yang baik.

Sebagai ibu bapa, kami cuma berharap kehidupan berjiran dengan baik dapat membantu mereka faham tentang kesedaran sivik dan juga membina keinsanan yang kukuh.