SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Berhemat, sesuai gaya hidup demi manfaatkan bantuan

Berhemat, sesuai gaya hidup demi manfaatkan bantuan

Apr 12, 2026 | 5:30 AM

Berhemat, sesuai gaya hidup demi manfaatkan bantuan

kos sara hidup
Lidah pengarang - Foto BM

Dengan landskap ekonomi global yang semakin tidak menentu akibat konflik di Timur Tengah, kesan kenaikan harga tenaga dan gangguan rantaian semakin terasa dalam kalangan masyarakat Singapura.

Justeru, pengumuman pemerintah Singapura mengenai pakej bantuan tambahan bernilai hampir $1 bilion pada 7 April ialah satu langkah yang dialu-alukan.

Tindakan mempercepatkan pemberian baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) sebanyak $500 kepada semua isi rumah rakyat Singapura, yang kini akan diagihkan pada Jun 2026, lebih awal daripada jadual asal pada Januari 2027.

Ini menunjukkan komitmen pemerintah untuk meringankan beban harian secara langsung, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Tambahan, Bayaran Khas Kos Sara Hidup yang ditingkatkan kepada $400 hingga $600 bagi 2.4 juta rakyat Singapura pada September 2026 akan memberikan kelegaan tunai yang amat diperlukan.

Pakej bantuan ini juga wajar dipuji kerana tidak melupakan pekerja platform dan pemandu teksi.

Bagi pemilik flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pula, rebat U-Save tambahan pada April dan Julai akan membantu mengurangkan kesan kenaikan bil utiliti.

Walaupun ada pihak yang mungkin menganggap bantuan ini hanya bersifat jangka pendek, ia perlu dilihat sebagai langkah ‘penampan’ sementara pemerintah memantau keadaan global.

Pakej ini adalah sebahagian daripada strategi yang lebih luas bagi memastikan ekonomi terus berdaya tahan.

Fokus utama ialah bagi mengelakkan beban sara hidup daripada menghakis keyakinan rakyat terhadap masa depan ekonomi negara.

Bagaimanapun, timbul persoalan: mengapa tidak dikurangkan sahaja duti bahan api secara menyeluruh dan memberi subsidi bahan api seperti yang dilakukan oleh beberapa negara jiran?

Di sini kita perlu memahami kebijaksanaan di sebalik strategi negara.

Seperti yang ditegaskan Pemangku Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Negara Kanan (Kewangan), Encik Jeffrey Siow, pengurangan duti bahan api secara menyeluruh disifatkan sebagai satu langkah ‘regresif’.

Sebaliknya, pendekatan Singapura ialah menyediakan bantuan bersasar dan membantu golongan yang paling terjejas.

Sehubungan dengan itu, pakej bantuan pemerintah ini tidak seharusnya dilihat sebagai bantuan sehala.

Warga setempat juga lantas boleh memainkan peranan.

Mentelah, semua kemudahan pemerintah sudah pun diarahkan mengambil langkah penjimatan tenaga bagi mengurangkan penggunaan elektrik seberapa banyak yang boleh.

Secara individu, kita juga harus lebih berdisiplin dalam penggunaan elektrik dan menyokong langkah kecekapan tenaga.

Pemerintah telah membuktikan bahawa tiada rakyat Singapura yang akan memikul beban sendirian, tetapi daya tahan nasional sebenar lahir daripada kerjasama dua hala.

Tugas kita sekarang adalah menggunakan bantuan tersebut dengan berhemat dan menyesuaikan gaya hidup mengikut keperluan semasa.

Hanya dengan gandingan bahu, kita mampu mengharungi badai ekonomi global ini dan bangkit lebih kuat.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg