Topic followed successfully
Go to BHkuKemudahan pemerintah diarah ambil langkah jimat tenaga
Kemudahan pemerintah diarah ambil langkah jimat tenaga
Langkah rangkumi penetapan suhu pendingin hawa pada 25 darjah Celsius atau lebih tinggi
Kemudahan pemerintah diarah ambil langkah jimat tenaga
Semua kemudahan pemerintah telah diarahkan untuk mengambil langkah penjimatan tenaga bagi mengurangkan penggunaan elektrik seberapa banyak yang boleh.
Ini sebagai sebahagian usaha pemerintah menjimatkan tenaga, di tengah-tengah konflik berterusan di Timur Tengah, kata Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) dan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dalam satu kenyataan bersama pada 8 April.
Kenyataan itu menambah bahawa langkah tersebut merangkumi penetapan suhu pendingin hawa pada 25 darjah Celsius atau lebih tinggi, dan mencabut atau mematikan peralatan serta perkakas yang tidak penting apabila ia tidak digunakan.
Semua kementerian, jabatan, agensi negara dan lembaga berkanun juga telah diarahkan untuk melaksanakan langkah segera seperti ‘pengurusan aktif’ bagi tempoh operasi bagi pendingin hawa, lampu dan lif, ujar MSE dan NEA.
Agensi pemerintah juga akan mempercepatkan pemasangan sistem cekap tenaga seperti lampu LED dan sensor pintar.
Ini di samping proses menggantikan peralatan elektrik dengan alternatif lebih cekap tenaga, seperti yang mempunyai tanda kecekapan tenaga tinggi, tambah kenyataan itu.
MSE dan NEA berkata: “Pemerintah sedang menerajui usaha dan memainkan peranannya untuk menjimatkan tenaga. Ia akan terus menyediakan sokongan untuk membantu menjimatkan tenaga.”
Kenyataan itu menyatakan semua penjawat awam juga dinasihatkan untuk mengamalkan tabiat penjimatan tenaga seperti mematikan suis lampu, pendingin hawa, layar monitor dan peralatan elektrik lain apabila tidak digunakan.
Pemerintah juga menyeru perniagaan, isi rumah dan individu untuk mengambil langkah menjimatkan tenaga dan sumber, termasuk menaiki pengangkutan awam dan memilih peralatan cekap tenaga.
Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, berkata pada 7 April bahawa rakyat Singapura harus bersedia menghadapi gangguan daripada konflik Timur Tengah.
Menurutnya, konflik itu akan memberi kesan kepada lebih banyak sektor ekonomi Singapura dan mengakibatkan harga elektrik dan makanan lebih tinggi.
Ini tatkala harga minyak petrol dan tarif elektrik di negara ini semakin meningkat setelah konflik antara Amerika Syarikat/ Israel dengan Iran kini memasuki minggu keenam.
Encik Gan berkata jika konflik itu berlarutan, inflasi lebih tinggi bagi pasaran sumber Singapura juga boleh menyebabkan kenaikan harga import.
Beliau menambah bahawa tekanan sedemikian akan dirasai oleh isi rumah menerusi tarif elektrik, kos pengangkutan dan kos keperluan harian yang lebih mahal.

