SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Ujian, sabar dan ingat mati bentuk kekuatan iman

Ujian, sabar dan ingat mati bentuk kekuatan iman

Apr 5, 2026 | 5:30 AM

Ujian, sabar dan ingat mati bentuk kekuatan iman

taubat, tafsir, surah ali imran
Ayat 185 daripada Surah Ali Imran mengingatkan bahawa setiap nyawa akan merasai mati, dan segala amal akan dibalas sepenuhnya di akhirat, menekankan kepentingan sentiasa bersiap sedia dengan amalan soleh, taubat dan ketaatan. - Foto hiasan ADOBE STOCK

Surah Ali Imran ayat 181 hingga 186 menyentuh tentang golongan yang angkuh.

Pada ayat 181, sebahagian mereka berkata bahawa “Allah fakir dan kami kaya”.

Allah swt mengecam kata-kata itu serta menegaskan bahawa ucapan dan tindakan mereka akan dicatat dan dibalas setimpalnya di akhirat kelak.

Begitu juga mereka memperlekehkan Baginda saw, dengan mengatakan mereka tidak akan beriman kepada seorang Rasul, melainkan jika Baginda mendatangkan korban yang dimakan api sebagai bukti, sepertimana ianya berlaku pada zaman Nabi Musa as.

Dakwaan itu adalah pendustaan terhadap Allah swt kerana mereka menetapkan syarat yang Allah tidak pernah tetapkan serta mengehadkan mukjizat para Rasul, hanya pada apa yang mereka inginkan.

Hakikatnya, Allah swt mengutus setiap Rasul dengan pelbagai bukti dan mukjizat yang mencukupi untuk manusia beriman, bukan hanya dengan tanda yang mereka tetapkan.

Dengan sebab itu, Allah swt menenangkan Baginda saw dengan firman-Nya pada ayat 183:

“Maka jika mereka mendustakanmu, sesungguhnya telah didustakan pula para Rasul sebelum kamu.”

Apa yang dihadapi Nabi saw bukanlah sesuatu yang khusus bagi Baginda, bahkan ia merupakan sunatullah (lumrah yang ditetapkan Allah) yang menimpa seluruh para Nabi.

Namun demikian, para Nabi terdahulu tetap bersabar menghadapi gangguan, penentangan dan penderitaan daripada kaum mereka demi menunaikan amanah menyampaikan risalah.

Di antara pengajaran yang boleh diambil daripada senarai ayat-ayat ini adalah ayat 185:

“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada Hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu.”

Ayat ini mengajarkan peringatan tentang kematian seharusnya mendorong seorang hamba untuk sentiasa bersiap sedia menghadapi hari pertemuan dengan Allah swt.

Setiap kali mengingatinya, hati akan tergerak untuk menyediakan bekalan terbaik melalui amalan soleh, taubat dan ketaatan.

Setiap amal yang dilakukan hendaklah disertai harapan terhadap ganjaran yang sempurna di akhirat, bukan di dunia semata.

Segala kebaikan dan nikmat yang dirasai di dunia hanyalah sebahagian kecil daripada kurniaan, kasih sayang dan rahmat Allah swt, sedangkan ganjaran yang sebenar, yang tiada bandingannya, menanti di akhirat kelak.

Laporan berkaitan
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg