SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Budayakan amalan bermaafan langkaui Syawal

Budayakan amalan bermaafan langkaui Syawal

Saling bermaafan pada Syawal bukan sekadar budaya, malah tuntutan nilai Islam perkukuh hubungan sesama manusia
Apr 5, 2026 | 5:30 AM

Budayakan amalan bermaafan langkaui Syawal

syawal, hari raya
Walaupun tiada perintah khusus yang menetapkan agar meminta dan memberi maaf hanya pada Syawal, amalan tersebut tetap digalakkan pada bila-bila masa dan tidak bercanggah dengan prinsip agama jika dilakukan sepanjang Syawal. - Foto hiasan ADOBE STOCK

Suasana Hari Raya dalam dunia Melayu tidak lekang daripada amalan kunjung-mengunjung sesama anggota keluarga, sanak saudara dan kenalan.

Selain mengeratkan silaturahim sambil menikmati hidangan dan kuih Raya, amalan saling memohon maaf tidak dilupakan.

Perbuatan ini kadangkala menimbulkan persoalan, malah ada yang bertanya sama ada amalan meminta maaf khusus pada Syawal dituntut dalam Islam.

Merujuk kepada Al-Quran dan hadis, tiada perintah yang menyebut secara khusus mengenai memohon dan memberi maaf pada Syawal.

Namun secara umum, perbuatan saling memohon maaf dan memaafkan amat digalakkan dalam Islam.

Allah swt berfirman dalam surah Al-‘Araf, ayat 199, yang bermaksud: “Jadilah pemaaf dan suruhlah orang melakukan yang makruf (perbuatan baik), serta berpalinglah daripada orang-orang yang jahil.”

Keutamaan minta maaf, memaafkan

Rasulullah saw turut mengingatkan umatnya agar segera meminta maaf kepada sesiapa sahaja yang pernah disakiti, dengan sabdanya:

“Barang siapa yang pernah melakukan kezaliman terhadap maruah saudaranya atau mengambil sesuatu daripadanya, hendaklah beliau segera meminta maaf dan dihalalkan (di dunia ini) sebelum tiba hari di mana dinar dan dirham tidak lagi bermanfaat (Hari Kiamat).

Jika tidak, maka pada Hari Kiamat, amal solehnya akan diambil sebanding dengan kezaliman yang telah dilakukan.

Jika beliau tidak lagi memiliki kebaikan, maka keburukan orang yang pernah beliau zalimi akan dipindahkan kepadanya.” (HR Bukhari).

Bagi orang yang memaafkan pula, kelebihannya disebutkan dalam hadis yang bermaksud:

“Sedekah tidak mengurangkan harta, dan tidaklah Allah menambah bagi seorang hamba dengan pemberian maafnya (kepada saudaranya) kecuali kemuliaan (di dunia dan akhirat), serta tidaklah seseorang merendahkan diri kerana Allah melainkan Dia akan meninggikan (darjat)nya (di dunia dan akhirat).” (HR Muslim).

Budaya memaafkan dalam sirah

Rasulullah saw, sebagai teladan terbaik bagi umatnya, memaafkan ramai orang yang menganiaya Baginda.

Contohnya, semasa peristiwa Pembukaan Makkah, kaum Musyrikin Makkah yang memusuhi Baginda saw ditawan, namun mereka dibebaskan tanpa sebarang syarat.

Begitu juga kisah Al-Wahsyi yang membunuh Hamzah bin Abdul Muttalib.

Setelah beliau datang memohon keampunan, Rasulullah saw terus memaafkannya dan menerima keislamannya.

Peristiwa tersebut menonjolkan ketinggian budi pekerti Baginda saw yang tidak menyimpan benci atau dendam terhadap sesiapa pun dalam kalangan umatnya.

Amalan bermaafan juga diteruskan oleh para sahabat.

Menyedari besarnya pahala bagi orang yang memaafkan, Sayidina Abu Bakar ra segera memaafkan sepupunya, Mistah, yang pernah bersekongkol dengan kaum Munafik di Madinah, menabur fitnah terhadap Sayidatina Aisyah ra.

Bersempena dengan peristiwa itu, Allah swt menurunkan ayat 22 daripada Surah An-Nur sebagai peringatan lembut agar manusia sentiasa bersikap saling bermaafan:

“Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahawa mereka (tidak) akan memberi (bantuan) kepada kaum kerabat(nya), orang-orang yang miskin dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah, dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada.

Apakah kamu tidak suka Allah mengampunimu? Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Walaupun tiada perintah khusus yang menetapkan agar meminta dan memberi maaf hanya pada Syawal, amalan tersebut tetap digalakkan pada bila-bila masa dan tidak bercanggah dengan prinsip agama jika dilakukan sepanjang Syawal.

Bermaaf-maafan sesama anggota keluarga dan sahabat handai merupakan langkah awal untuk mewujudkan suasana harmoni dan aman dalam kehidupan manusia.

Jika amalan saling memaafkan dan bertolak ansur diamalkan secara meluas, ia mampu menyumbang kepada keamanan sejagat.

Apabila setiap individu akur dirinya tidak terlepas daripada salah dan silap, timbul rasa tanggungjawab memelihara hubungan dengan orang lain sebaik mungkin.

Perasaan itu seterusnya mendorong seseorang untuk meminta maaf demi mengekalkan kehidupan yang berlandaskan kasih sayang dan sikap tolak ansur.

Kesan dari sudut psikologi

Meminta maaf tidak semestinya kerana seseorang itu telah melakukan kesalahan.

Sebaliknya, ia mencerminkan kekuatan emosi dan kerendahan hati yang memberi manfaat kepada diri sendiri.

Menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal Annals of Behavioral Medicine pada 2016, amalan bermaafan memberi kesan positif kepada kesihatan jantung dan dapat mengurangkan tekanan.

Amalan bermaafan yang berterusan juga membantu melupakan memori lama yang tidak baik, sekali gus membawa ketenangan hati dan jiwa.

Walaupun perbuatan meminta maaf sering dikaitkan dengan kesalahan terhadap orang lain, ia adalah sebahagian lumrah kehidupan yang telah ditakdirkan Allah swt, dengan manusia diuji melalui interaksi harian.

Allah swt berfirman dalam surah Al-Furqan, ayat 20, yang bermaksud:

“Dan Kami jadikan sebahagian kamu sebagai ujian kepada sebahagian yang lain, adakah kamu bersabar?”

Lazimi istighfar

Dalam menghadapi cabaran dan perangai manusia yang memerlukan kesabaran berterusan, Islam menganjurkan umatnya agar sentiasa melazimi istighfar.

Walaupun istighfar pada asasnya bertujuan memohon keampunan daripada Allah swt, ia juga memberi kekuatan kepada manusia, seperti firman-Nya dalam surah Hud, ayat 52, yang bermaksud:

“Dan wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepada-Nya, supaya Dia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan bagi kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada...”

Di samping itu, istighfar berfungsi melapangkan hati dan menjadi jalan keluar daripada kesusahan. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

“Barang siapa yang melazimi (sentiasa) istighfar, Allah swt menjadikan untuknya bagi setiap kesempitan itu jalan keluar, setiap kebimbangan itu kelapangan dan Allah juga mengurniakan kepadanya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.” (HR Abu Daud).

Justeru, orang yang beruntung adalah mereka yang memohon keampunan daripada Allah swt dan seterusnya meminta kemaafan daripada orang lain, kerana dengan itu, mereka mendapat rahmat Allah, kasih sayang, serta penghormatan daripada manusia.

Begitu besarnya kelebihan amalan bermaafan – ia membawa kemuliaan di dunia dan ganjaran syurga di akhirat.

Artikel ini disumbang oleh Darul Tafsir, Masjid Al-Khair.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg