Tahun 2026 yang baru tiba membuka lembaran untuk kita perbaharui diri, menyemai semangat pembaharuan dalam hidup.
Bagi seorang Muslim, pertukaran tahun bukan sekadar tarikh, malah peluang menilai arah hidup dan memperbaharui azam agar masa depan lebih bermakna serta produktif.
Sama ada dalam urusan pekerjaan, pengajian, keluarga atau kehidupan peribadi, seorang Mukmin tidak akan berdiam, tetapi sentiasa melangkah maju.
Ada amalan lama yang perlu dipertingkatkan, dan ada usaha baru yang wajar dimulakan secara lebih terancang.
Demikian semangat yang ditanam oleh Al-Quran sepertimana Allah swt berfirman dalam Surah Asy-Syarh, ayat 7:
“Maka apabila engkau telah selesai daripada sesuatu urusan, bangunlah bersungguh-sungguh untuk urusan yang lain.”
Para ulama tafsir seperti Mujahid menjelaskan maksud ayat itu dengan menyebut:
“Apabila engkau telah selesai daripada urusan duniamu, maka bersungguh-sungguhlah dalam urusan akhiratmu.”
Ungkapan itu memberikan gambaran kehidupan seorang Muslim tidak pernah kosong daripada perbuatan yang bermanfaat untuk dunia dan akhirat.
Persoalan yang timbul ialah bagaimana seorang Muslim seharusnya memahami dan menghayati konsep daya pengeluaran atau produktiviti dalam setiap aspek kehidupan, tanpa memisahkannya daripada nilai dan prinsip agama?
Menuju tahun baru dengan lebih produktif bermula dengan memahami maksud produktiviti yang sebenar.
Produktiviti bukan sekadar banyaknya tugasan yang diselesaikan, tetapi merupakan saluran untuk mencapai matlamat hidup lebih besar.
Ia berkait rapat dengan keupayaan seseorang menyelesaikan tugas dengan cekap, mengurus masa, tenaga dan memberikan tumpuan baik, serta mengembangkan potensi diri demi menghasilkan manfaat.
Seiring itu, keimanan mendorong seorang Muslim untuk menjadi insan yang memberi manfaat, bukan hanya kepada diri sendiri, malah kepada orang lain.
Ini menjelaskan bahawa produktiviti berbeza dengan kesibukan.
Seseorang mungkin kelihatan sibuk, namun hakikatnya banyak masa terbuang jika hanya mampu menyiapkan tugasan mudah, sedangkan ia boleh dilakukan dengan lebih pantas dan teratur.
Hakikat yang perlu diterima adalah mustahil untuk seseorang sentiasa berada dalam keadaan produktif sepanjang masa.
Justeru Rasulullah saw mengajarkan satu doa untuk diamalkan pada waktu pagi dan petang:
“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada rasa dukacita dan kesedihan, daripada kelemahan dan kemalasan, daripada sifat pengecut dan bakhil, daripada bebanan hutang, serta penindasan manusia.” (HR Muslim).
Doa itu mengingatkan bahawa seorang Muslim hendaklah sentiasa melibatkan Allah swt dalam setiap usaha yang dilakukan dengan mengingati-Nya melalui zikir dan memohon pertolongan-Nya melalui doa.
Seorang Muslim perlu menetapkan matlamat seimbang antara urusan dunia dengan akhirat, serta mempunyai sasaran jangka pendek yang realistik – sama ada dalam kerjaya mahupun amalan harian.
Pada masa yang sama, matlamat jangka panjang yang melibatkan pembangunan diri, hubungan dengan keluarga dan hubungan dengan Allah swt juga wajar diberi perhatian.
Apabila sesuatu matlamat ditetapkan, teruskan berusaha dan kemudian bertawakal kepada Allah swt setelah berazam. Allah swt berfirman dalam Surah Ali Imran, ayat 159:
“Maka apabila engkau telah berazam, bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertawakal.”
Prinsip itu mengajar kita supaya melaksanakan bahagian kita dengan sebaik mungkin – menjaga niat dan usaha – kemudian menyerahkan hasilnya kepada Allah swt.
Kefahaman itu sangat penting untuk menjalani kehidupan produktif tanpa tekanan yang berlebihan.
Ramai dalam kalangan kita menghentikan usaha, atau tidak berani bermula, hanya kerana terlalu risau akan hasil yang belum pasti.
Kebimbangan yang berlebihan terhadap apa yang belum berlaku, lazimnya menjadi penghalang terbesar untuk kita bergerak dan menjadi lebih produktif.
Setelah matlamat ditetapkan, langkah seterusnya adalah menterjemahkan matlamat tersebut ke dalam tindakan nyata.
Asas produktiviti terletak pada pengurusan tenaga, tumpuan dan masa di saluran yang betul.
Dalam hal ini, seorang Muslim perlu sentiasa memohon pertolongan Allah swt, kerana kemampuan kita adalah terhad.
Banyak faktor, sama ada dalaman atau luaran, boleh menghalang usaha kita, termasuk kelemahan diri, gangguan persekitaran, atau ujian yang tidak dijangka.
Dengan berserah kepada Allah swt, seorang Mukmin menyedari setiap urusan memerlukan bantuan-Nya agar dapat mencapai kesempurnaan.
Selain itu, Muslim juga perlu memahami konsep barakah.
Barakah bermaksud pertambahan kebaikan daripada Allah swt.
Apabila sesuatu amal atau usaha dilakukan dengan niat yang benar dan cara yang diredai, hasilnya lebih bermutu, walaupun pada zahirnya kelihatan sedikit.
Ada yang berusaha keras namun hasilnya hampa dan memenatkan, manakala ada pula yang berbuat sedikit tetapi penuh keberkatan.
Begitulah rahsia barakah yang sering ditekankan dalam ajaran Islam.
Mencari barakah bermakna memastikan rezeki yang halal, menunaikan solat, berakhlak baik, serta menjauhi perkara yang dimurkai Allah swt.
Pada masa yang sama, produktiviti juga sangat berkait dengan kepekaan terhadap dosa.
Memohon keampunan Allah swt secara berterusan dan menjauhi maksiat merupakan kunci untuk memastikan kehidupan tidak terhalang akibat dosa.
Dosa tanpa taubat boleh mengundang musibah serta mengurangkan keberkatan dalam usaha yang dilakukan.
Dengan beristighfar dan taubat yang berterusan, seorang Muslim membersihkan jiwanya daripada bebanan yang tidak terlihat, sekali gus melapangkan jalannya menuju kehidupan lebih produktif dan bermakna.
Artikel ini disumbang oleh Darul Tafsir, Masjid Al-Khair.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg