Rejab merupakan salah satu daripada bulan haram yang dimuliakan Allah swt.
Dalam setahun, Rejab hadir sebagai bulan yang membawa cahaya ketenangan, bulan yang mengingatkan kita untuk berhenti sejenak, merenung perjalanan hidup, serta menyucikan hati daripada dosa dan kelalaian.
Ulama sering menyifatkan Rejab sebagai ‘bulan menanam’, sementara Syaaban ialah ‘bulan menyiram’ dan Ramadan pula ‘bulan menuai’.
Hakikat itu menggambarkan Rejab adalah masa terbaik memperbaharui hubungan dengan Allah swt, terutama melalui taubat dan istighfar.
Dalam kehidupan moden yang pantas, manusia sering dibelenggu tekanan, urusan dunia dan maksiat yang datang dalam pelbagai bentuk.
Rejab hadir sebagai ruang untuk berhenti daripada kesibukan dan kembali kepada fitrah.
Rencana ini mengupas bagaimana Rejab menjadi bulan menghidupkan hati dengan taubat dan istighfar serta langkah praktikal mengamalkannya.
Rejab dinamakan ulama sebagai Syahrullah (bulan Allah), menunjukkan kemuliaannya berbanding bulan-bulan lain.
Nabi saw menyebut dalam satu riwayat: “Rejab adalah bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku.”
Walaupun hadis itu dipertikaikan sanadnya, ulama menyatakan maknanya tetap membawa galakan untuk memperbanyak amalan soleh pada Rejab, kerana ia termasuk bulan haram yang disebut dalam Al-Quran:
“Maka janganlah kamu menzalimi diri kamu dalam bulan-bulan itu.” (Surah At-Taubah, ayat 36).
“Jangan menzalimi diri” bermaksud menjauhi dosa, menahan diri daripada maksiat, serta memperbanyak amal soleh.
Justeru, tumpuan utama Rejab ialah penyucian diri dan peningkatan takwa, bukan semata-mata meningkatkan mutu ibadah rohani, bahkan menghidupkan roh penghambaan kepada Allah swt.
Taubat adalah pintu yang Allah swt buka seluas-luasnya kepada hamba-Nya tanpa mengira sebesar mana dosa yang dilakukan.
Allah swt berfirman dalam Surah An-Nisa’, ayat 27:
“Dan Allah menghendaki untuk menerima taubat kamu.”
Hakikat taubat bukan sekadar lafaz di lidah, bahkan perubahan dalam hati dan tindakan.
Ulama menjelaskan taubat yang sempurna mempunyai tiga syarat utama:
1) Menyesal atas perbuatan dosa.
2) Meninggalkan dosa tersebut serta-merta.
3) Berazam untuk tidak mengulanginya.
Jika dosa melibatkan manusia, syarat keempat ditambah iaitu memohon maaf atau mengembalikan hak.
Rejab menjadi masa yang sangat sesuai untuk melakukan taubat nasuha, kerana jiwa lebih mudah tersentuh dengan aura bulan mulia ini.
Taubat bukan sekadar buat mereka yang melakukan dosa besar, malah untuk semua insan, kerana Nabi saw sendiri beristighfar lebih 70 atau 100 kali sehari, sedangkan Baginda terpelihara daripada dosa.
Istighfar bukan hanya meminta pengampunan, malah doa menyucikan jiwa dan menarik rezeki.
Allah swt menjelaskan keajaiban istighfar dalam Surah Nuh, ayat 10 hingga 12:
“Maka Aku berkata kepada mereka: Mohonlah ampun kepada Tuhan kamu; sesungguhnya Dia Maha Pengampun. Dia akan menurunkan hujan kepada kamu dengan lebatnya. Dan Dia akan memperbanyakkan harta dan anak kamu, serta mengadakan untuk kamu kebun-kebun dan mengalirkan untuk kamu sungai-sungai.”
Ayat ini menunjukkan istighfar membawa pengampunan, keluasan rezeki, keberkatan keluarga dan ketenangan hidup.
Rejab menghidupkan budaya istighfar dalam hati, bukan sekadar melalui lisan, malah menjadikan istighfar sebagai gaya hidup.
Amalan seperti membaca ‘Sayyidul Istighfar’ (Astaghfirullah Al-‘Azim) atau doa Nabi Yunus as (La ilaha illa anta subhanaka inni kuntu minadzolimin), menjadi amalan harian.
Istighfar juga membersihkan jiwa daripada ‘keladak hitam’ yang terbentuk akibat dosa kecil yang dilakukan setiap hari tanpa sedar – pandangan sia-sia, kata-kata kasar, waktu yang dibazirkan, atau hati yang lalai daripada mengingati Tuhan.
Agar rencana ini tidak sekadar teori, beberapa langkah praktikal boleh diamalkan untuk menghidupkan Rejab:
1) Buat muhasabah harian
Ambil tiga hingga lima minit sebelum tidur untuk bertanya kepada diri:
– Apakah dosa hari ini?
– Apakah kebaikan yang telah dilakukan?
– Siapakah yang kita sakiti hati atau haknya?
Tuliskan jika perlu kerana muhasabah yang dicatat lebih berkesan.
2) Tetapkan ‘sasaran istighfar’ harian
Contohnya:
– 100 kali selepas subuh;
– 100 kali sebelum tidur;
– istighfar sepanjang memandu atau menunggu.
Ini bukan ritual kosong, namun latihan melembutkan hati.
3) Mohon maaf dan perbaiki hubungan
Taubat yang sebenar menuntut kita memperbaiki kerosakan yang dilakukan terhadap manusia. Rejab adalah masa yang baik untuk:
– memaafkan,
– meminta maaf,
– dan memperbaiki hubungan kekeluargaan serta persahabatan.
4) Kurangkan maksiat media dan digital
Pada zaman moden dan digital ini, hati paling cepat rosak melalui mata dan layar. Rejab boleh menjadi ‘bulan detox dosa digital’ dengan:
– kurangkan tontonan tidak bermanfaat,
– hadkan media sosial,
– perbanyakkan kandungan agama dan motivasi.
5) Hidupkan suasana rumah dengan zikir
Amalkan zikir ringan selepas solat, pasang bacaan Al-Quran di rumah, ajak keluarga beristighfar bersama. Rumah yang dipenuhi zikir akan menjadi taman ketenangan.
Rejab adalah hadiah Allah swt kepada manusia – bulan yang membangkitkan kembali harapan, membersihkan jiwa yang lesu, serta menghidupkan semangat untuk kembali kepada Allah swt.
Taubat dan istighfar bukan sekadar amalan lisan, bahkan proses memperbaharui hati, membersihkan dosa, serta membuka pintu keberkatan.
Jika Rejab digunakan sebagai bulan membina hati, maka Syaaban akan menjadi bulan menyirami amal dan Ramadan pula bulan menuai hasil.
Maka, marilah kita menyambut Rejab bukan sekadar sebagai sejarah atau kebiasaan tahunan, malah sebagai titik permulaan perubahan menuju kehidupan yang lebih suci, tenang dan dekat dengan Allah swt.
Penulis ialah guru Al-Quran dan Bahasa Arab di Madrasah Aljunied Al-Islamiah dan juga guru di Institut Pengajian Islam Pergas (Ipip).
“
“Rejab adalah hadiah Allah swt kepada manusia – bulan yang membangkitkan kembali harapan, membersihkan jiwa yang lesu, serta menghidupkan semangat untuk kembali kepada Allah swt. Taubat dan istighfar bukan sekadar amalan lisan, bahkan proses memperbaharui hati, membersihkan dosa, serta membuka pintu keberkatan.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg