Topic followed successfully
Go to BHkuTangani sikap marah, malas kunci rumah tangga sejahtera
Tangani sikap marah, malas kunci rumah tangga sejahtera
Perkukuh hubungan dengan kawal emosi, tingkat tanggungjawab dan amal komunikasi terbuka
Tangani sikap marah, malas kunci rumah tangga sejahtera
Rumah tangga adalah institusi penting dalam kehidupan manusia.
Ia bukan sekadar perkongsian antara dua individu, malah medan membentuk generasi berakhlak mulia dan membina masyarakat harmoni.
Namun, terdapat pelbagai cabaran yang boleh menggugat keutuhan rumah tangga, antaranya sikap marah dan malas.
Sikap itu, jika tidak dibendung, mampu merosakkan keharmonian dan kestabilan hubungan suami isteri.
Sikap marah pencetus konflik
Sikap marah adalah emosi yang biasa dialami manusia.
Namun, ia menjadi masalah apabila tidak dikawal.
Dalam konteks rumah tangga, kemarahan yang tidak terkawal sering menjadi punca pertelingkahan antara pasangan.
Renungkan firman Allah swt dalam Surah Ali Imran, ayat 134:
“(Iaitu) Orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan memaafkan (kesalahan) orang lain. Allah mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan.”
Ayat ini jelas menunjukkan kepentingan menahan kemarahan dan mementingkan sikap pemaaf dalam hubungan.
Rasulullah saw pernah bersabda:
“Orang yang kuat itu bukanlah orang yang kuat bergusti, namun, orang yang kuat ialah orang yang mampu menahan dirinya ketika marah.” (HR Bukhari dan Muslim).
Apabila marah tidak dikawal, ia boleh membawa kepada pertuturan dan tindakan yang menyakitkan hati pasangan.
Lama-kelamaan, ia mencetuskan kebencian dan meretakkan hubungan.
Sikap malas penghalang tanggungjawab
Sikap malas adalah musuh dalam diam yang boleh membawa kehancuran rumah tangga.
Ia menyebabkan seseorang gagal melaksanakan tanggungjawab mereka, sama ada sebagai suami, isteri, atau ibu bapa.
Sebagai contoh, seorang suami yang malas bekerja akan menjejas kewangan keluarga, manakala isteri yang malas mengurus rumah tangga akan menyebabkan kekusutan dalam kehidupan harian.
Rasulullah saw telah berdoa agar dilindungi daripada sikap malas:
“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada kemalasan, sifat pengecut, kelemahan dan kekikiran.” (HR Bukhari).
Jika sikap malas tidak diatasi, ia boleh menjadi punca ketegangan antara pasangan, kerana masing-masing akan berasa terbeban dengan tanggungjawab yang tidak ditunaikan oleh pihak lain.
Tangani sikap marah, malas
Gabungan sikap marah dan malas kerap menyebabkan pasangan kehilangan rasa hormat dan kasih sayang antara satu sama lain.
Hal ini selaras dengan peribahasa Melayu; bila benci, sepiring tak akan bertemu dan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.
Maksudnya, apabila timbul perasaan benci atau tidak suka antara suami dengan isteri, mereka sukar bersatu dan bekerjasama dengan harmoni.
Walaupun kesilapan yang berlaku kelihatan kecil, ia mampu memberi kesan besar dan merosakkan sesuatu yang baik pada asalnya.
Keadaan itu menggambarkan bagaimana perasaan negatif seperti marah dan malas boleh menjadi penghalang mencapai keharmonian atau kesepakatan dalam hubungan.
Sikap ini, jika berlarutan, boleh membawa kepada keretakan rumah tangga, malah lebih parah lagi, perceraian.
Untuk mengekalkan keharmonian rumah tangga, sikap marah dan malas perlu ditangani secara bijak.
Berikut beberapa langkah yang boleh diambil:
1) Kawal kemarahan dengan zikir dan doa
Apabila marah, amalkan zikir seperti A’uzubillahi minasy-syaitanir rajim (Aku berlindung kepada Allah daripada syaitan yang terkutuk).
Selain itu, Rasulullah saw menyarankan orang yang sedang marah mengubah kedudukan, seperti duduk jika berdiri, atau berbaring jika duduk.
2) Tingkat kesedaran tanggungjawab
Setiap pasangan perlu sedar akan tanggungjawab masing-masing dalam rumah tangga.
Senaraikan tugas harian dan berusaha melaksanakannya dengan sebaik mungkin.
3) Tingkat motivasi dengan sasaran jelas
Tetapkan matlamat bersama dalam rumah tangga, seperti menyimpan wang untuk keperluan rumah atau masa depan anak.
Matlamat itu boleh menjadi motivasi untuk mengadakan perancangan lebih teliti dalam kehidupan dan sentiasa bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.
4) Komunikasi secara terbuka
Pasangan perlu berbincang secara terbuka tentang perasaan dan masalah yang dihadapi.
Komunikasi yang baik boleh mengurangkan salah faham dan mengelakkan pertelingkahan.
5) Amal gaya hidup sihat
Pemakanan baik dan senaman secara tekal boleh meningkatkan tenaga dan mengurangkan rasa malas.
Selain itu, minda yang sihat juga membantu seseorang agar lebih tenang dan sabar.
Kesimpulan
Sikap marah dan malas adalah dua faktor utama yang boleh menggugat keutuhan rumah tangga.
Namun, dengan kesedaran, doa dan usaha, sikap itu boleh diatasi.
Perkahwinan yang berjaya memerlukan usaha daripada kedua-dua pihak untuk saling memahami, bertolak ansur dan menjalankan tanggungjawab masing-masing.
Terapkan nilai ketenangan, kasih sayang dan rahmah dalam setiap urusan agar masalah dapat diatasi dengan hikmah, tanggungjawab dapat dipenuhi dengan tabah dan kebahagiaan dapat dikecapi dengan berkat.
Firman Allah swt dalam Surah Ar-Rum, ayat 21:
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri daripada jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”
Semoga setiap pasangan sentiasa berusaha memelihara keharmonian rumah tangga, menjadikan sabar dan tanggungjawab sebagai asas kebahagiaan yang berkekalan.
Penulis ialah Ketua Jabatan dan Pegawai Kanan Agama bagi Jabatan Pendidikan Islam dan Dakwah Masjid An-Nur. Beliau, yang juga Naib Kadi di Pejabat Pendaftar Pernikahan Orang Islam (ROMM), memiliki ijazah Sarjana Muda dalam Syariah Islamiah daripada Universiti Al-Azhar, Mesir.

