Topic followed successfully
Go to BHkuPeranan isteri pupuk keluarga harmoni
Peranan isteri pupuk keluarga harmoni
Sokongan, didikan, tanggungjawab isteri tentukan kesejahteraan rumah tangga, keluarga
Peranan isteri pupuk keluarga harmoni
Peranan isteri pada abad ke-21 agak berbeza dibandingkan dengan abad ke-20, iaitu zaman era 1960-an dan 1970-an.
Perbezaan itu dapat kita saksikan sendiri.
Jika pada zaman dahulu, rata-rata isteri menjadi suri rumah sepenuhnya, kini kita melihat kebanyakan isteri mempunyai kerjaya masing-masing.
Dari sudut pandangan Islam, perubahan itu bukan satu masalah.
Ini kerana kehidupan berputar, begitu juga keperluan manusia.
Islam adalah agama ‘anjal’, yang memahami keperluan manusia dan keperluan melakukan perubahan semasa, selagi mana tidak melanggar prinsip asas Islam itu sendiri.
Malah, pekerjaan yang dilakukan demi keperluan keluarga, sama ada sebagai suri rumah atau yang berkerjaya boleh menjadi satu bentuk ibadah jika ia memenuhi tuntutan agama.
Firman Allah swt dalam Surah An-Nahl, ayat 97:
“Barang siapa mengerjakan kebaikan, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka pasti akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik, dan akan Kami berikan balasan dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan.”
Namun, di sebalik perubahan itu, terdapat beberapa perkara yang perlu dipertahankan demi kekukuhan rumah tangga, kerana peranan isteri terhadap suami dan keluarga adalah amat penting.
Secara ringkas, artikel ini akan mengetengahkan beberapa aspek penting peranan isteri dalam rumah tangga.
Isteri sebagai pendukung suami
Jika kita menelusuri sejarah permulaan Islam, ketika Nabi saw kali pertama menerima wahyu daripada Jibril, Baginda diselubungi perasaan resah dan takut.
Di Gua Hira’, Nabi saw melalui pengalaman kerohanian pertama yang menggoncang jiwa dan pemikiran Baginda.
Baginda kemudian pulang ke rumah dan berkongsi pengalaman tersebut dengan isterinya, Sayidatina Khadijah ra.
Sayidatina Khadijah ra memberikan kata-kata sokongan dan dorongan, menenangkan jiwa dan pemikiran Nabi saw yang sedang gundah.
Beliau berkata kepada suaminya, yang bermaksud:
“Jangan engkau berfikir tidak baik tentang dirimu. Demi Allah bahawa Dia (Allah) tidak akan menghinamu! Engkau telah melindungi, membantu dan menyambung silaturahim dengan kerabatmu. Engkau hanya berkata jujur dan membantu mereka yang memerlukan. Engkau membantu orang-orang yang tidak memiliki apa-apa.”
Tidak sekadar dengan kata-kata, Sayidatina Khadijah ra turut membawa suaminya berjumpa dengan Waraqah bin Naufal.
Waraqah ialah seorang yang masih mengamalkan ajaran Nabi Ibrahim as dan memahami isi Taurat dan Injil.
Pertemuan itu bertujuan meyakinkan Nabi saw bahawa pengalaman wahyu itu adalah sesuatu yang positif, bukan sebaliknya.
Sokongan, dorongan dan usaha isterinya memberikan suntikan semangat yang berterusan kepada Nabi saw.
Dorongan itu terus diberikan sepanjang Nabi saw berdakwah sehingga Sayidatina Khadijah wafat.
Benarlah kata-kata yang bermaksud: “Di sebalik setiap lelaki yang berjaya, terdapat seorang wanita yang menjadi pendorongnya.”
Isteri sebagai tulang belakang suami
Salah satu peranan utama isteri dalam Islam adalah sebagai tulang belakang suami.
Allah swt berfirman dalam Surah An-Nisa, ayat 34:
“Laki-laki itu adalah pemimpin bagi perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (perempuan) dan kerana mereka telah membelanjakan sebahagian daripada harta mereka.”
Walaupun ayat ini menunjukkan suami mempunyai tanggungjawab mencari nafkah dan melindungi keluarga, isteri turut memainkan peranan penting dalam menyokong suami dalam tanggungjawab kepimpinan itu.
Tanpa sokongan moral dan emosi, suami mungkin sukar melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik.
Dalam keadaan mencabar, kehadiran isteri sebagai penyokong memberikan kekuatan kepada suami agar terus berjuang demi kesejahteraan dan kebahagiaan keluarga.
Isteri sebagai ibu, pendidik
Antara peranan penting isteri ialah sebagai ibu yang mendidik anaknya.
Pendidikan awal anak bermula dari rumah, dan isteri atau ibu biasanya merupakan individu paling dekat serta mesra dengan mereka.
Rasulullah saw bersabda dalam hadis:
“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan diminta dipertanggungjawaban terhadap kepimpinannya. Seorang lelaki adalah pemimpin bagi keluarganya dan seorang wanita adalah pemimpin bagi rumah suaminya.” (HR Bukhari dan Muslim).
Hadis ini menekankan peranan dan tanggungjawab penting isteri dalam mendidik anak supaya menjadi individu yang baik dan bertanggungjawab.
Justeru, isteri perlu menanamkan nilai Islam dalam diri anak agar mereka dewasa menjadi generasi berakhlak mulia.
Pastinya dengan didikan yang diberikan oleh suami dan penekanan daripada isteri atau sebaliknya akan menjadikan didikan tersebut terpahat di hati anak.
Seperti disebut dalam peribahasa Arab, “Ibu adalah sekolah pertama untuk semua anak.”
Kesimpulan
Apa yang diketengahkan di sini hanyalah sebahagian kecil daripada peranan besar yang dimainkan oleh para isteri.
Dengan memahami dan menghayati tanggungjawab yang perlu dijalankan, isteri dapat melaksanakan peranan tersebut dengan penuh komitmen, sekali gus menjadi contoh yang baik untuk generasi akan datang.
Dalam dunia yang semakin terbuka kepada pengaruh tidak baik, peranan wanita sebagai isteri dan ibu dalam keluarga serta masyarakat menjadi lebih kritikal berbanding sebelumnya.
Isteri yang menjadi teman sehidup semati kepada suami, serta pendidik kepada anak, turut menjadi sumber inspirasi kepada insan di sekelilingnya.
Dalam melaksanakan tanggungjawab ini, isteri perlu sentiasa merujuk kepada ajaran Islam dan berusaha menjadi yang terbaik dalam setiap peranan yang dipegang.
Dengan cara ini, keluarga yang bahagia dan harmoni dapat diwujudkan, selaras dengan ajaran Islam yang menekankan kesejahteraan dalam kehidupan berumah tangga.
Penulis ialah Timbalan Pendaftar Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM).

