Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tangani konflik perkahwinan dengan komunikasi sihat, bijak

Amal langkah amali berdasar panduan Islam, pendekatan moden
Nov 21, 2025 | 5:30 AM
perkahwinan, konflik, rumah tangga
Antara langkah menangani konflik perkahwinan termasuk memahami matlamat perkahwinan, memilih masa dan tempat sesuai untuk berbincang dan mengenal pasti punca konflik. - Foto hiasan ISTOCKPHOTO

Perkahwinan adalah sebuah ikatan suci dan anugerah yang penuh makna.

Ia bukan sahaja menyatukan dua individu, malah melibatkan penyatuan nilai, keluarga dan budaya yang berbeza.

Walau seindah mana pun impian perkahwinan, hakikatnya, konflik adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

Namun, konflik dalam perkahwinan tidak semestinya negatif.

Ia boleh menjadi peluang untuk memperbaiki hubungan jika ditangani dengan bijak.

Dalam artikel ini, kita akan mengupas langkah praktikal dan berkesan untuk menangani konflik dalam perkahwinan berpandukan ajaran Islam serta saranan daripada pakar hubungan masa kini.

Fahami matlamat perkahwinan dalam Islam

Firman Allah swt dalam Surah Ar-Rum, ayat 21:

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu berasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antara kamu kasih sayang dan rahmat. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”

Matlamat perkahwinan ialah untuk mewujudkan ketenangan, kasih sayang dan rahmat.

Ayat di atas mengingatkan kita walaupun konflik berlaku, ia tidak seharusnya menjejas asas hubungan yang dibina atas dasar kasih sayang dan penghormatan.

Dalam menangani konflik, masa dan tempat memainkan peranan penting untuk mewujudkan suasana yang bersesuaian bagi kelancaran perbincangan.

Usaha itu melambangkan akhlak yang baik dan ikhlas dalam penyelesaian masalah. Rasulullah saw bersabda:

“Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik kepada keluarganya, dan aku adalah yang terbaik kepada keluargaku.” (HR Tirmidzi).

Pastikan perbincangan berlaku dalam suasana tenang dan bebas gangguan.

Contohnya, berbincang ketika anak sedang tidur atau di tempat yang jauh dari mata umum.

Hindari berbincang ketika anda atau pasangan lapar, letih, atau marah, kerana emosi negatif boleh memburukkan keadaan.

Kenal pasti konflik dengan jelas

Konflik sering kali berpunca daripada salah faham, komunikasi yang lemah, atau perbezaan nilai.

Sebagai contoh, pasangan mungkin tidak sependapat tentang cara mengurus kewangan atau tanggungjawab rumah tangga.

Gunakan pendekatan permulaan lembut atau ‘soft start-up’ daripada ‘Gottman Method’ untuk memulakan perbincangan.

Beri tumpuan kepada isu dan bukan menyalahkan pasangan.

‘Gottman Method’ ialah pendekatan terapi yang menekankan komunikasi sihat, kawalan emosi dan pemahaman mendalam antara pasangan.

Sebagai contoh: “Saya rasa kita ada pandangan berbeza tentang perancangan kewangan bulan ini. Boleh tak kita bincang untuk cari jalan tengah supaya kita berdua rasa selesa?”

Pendekatan ini membantu pasangan berasa dihargai dan lebih terbuka untuk berbincang.

Muhasabah diri

Sebelum mencari kesalahan pasangan, lihat kembali bagaimana anda mungkin menyumbang kepada masalah. Rasulullah saw bersabda:

“Seorang Mukmin adalah cermin bagi Mukmin yang lain.” (HR Abu Dawud).

Muhasabah diri membolehkan anda melihat kelemahan sendiri dan mencari cara memperbaiki hubungan.

Sebagai contoh, jika anda sering terlalu sibuk sehingga mengabaikan pasangan, akui kekurangan itu dan nyatakan usaha untuk memperbaikinya.

Bincang, cari penyelesaian bersama

Setiap pasangan mempunyai cara tersendiri untuk menyelesaikan konflik.

Dalam Islam, penting untuk bermusyawarah dan mencapai kesepakatan. Firman Allah swt dalam Surah Ali-Imran, ayat 159:

“Dan bermusyawarah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah berazam, maka bertawakal kepada Allah.”

Gunakan pendekatan perah otak atau ‘brainstorming’ untuk mencari penyelesaian yang sesuai untuk kedua-dua pihak.

Contohnya, jika isu berkaitan masa bermutu bersama, mungkin pasangan boleh menetapkan satu hari setiap minggu untuk meluangkan masa tanpa gangguan.

Tetapkan langkah tindakan, pantau kemajuan

Selepas mencapai persetujuan, tetapkan langkah jelas dan praktikal untuk melaksanakan penyelesaian tersebut.

Misalnya, jika konflik melibatkan pembahagian tugas rumah tangga, buat jadual terperinci dan mudah diikuti.

Pemantauan berkala membantu memastikan langkah yang diambil berkesan.

Salah satu prinsip utama dalam ‘Gottman Method’ adalah membina budaya penghargaan dalam hubungan.

Rasulullah saw memberikan contoh teladan dengan sentiasa menghargai isterinya.

Penghargaan boleh diberikan dalam bentuk pujian, hadiah kecil, atau sekadar ucapan terima kasih.

Sebagai contoh: “Terima kasih kerana menjaga rumah kita dengan baik. Saya amat menghargai usaha awak.”

Penghargaan seperti ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan, malah menggalakkan pasangan agar terus berusaha memperbaiki diri.

Doa, tawakal kepada Allah

Sebagai umat Islam, kita diajar supaya sentiasa berdoa dan bertawakal kepada Allah swt dalam setiap usaha kita. Firman Allah swt dalam Surah Ali-Imran, ayat 195:

“Dan Tuhan mereka memperkenankan permohonan mereka (dengan berfirman): ‘Sesungguhnya Aku tidak akan mensia-siakan amal orang-orang yang beramal di antara kamu, baik lelaki atau perempuan’.”

Doa adalah sumber kekuatan rohani yang membimbing kita ke arah penyelesaian yang lebih baik.

Amalkan doa khusus demi keharmonian rumah tangga dan memohon agar Allah swt melimpahkan kasih sayang serta rahmat-Nya kepada hubungan suami isteri.

Kesimpulan

Konflik dalam perkahwinan bukanlah penamat, tetapi peluang untuk memperbaiki hubungan.

Firman Allah swt dalam Surah Al-Baqarah, ayat 187:

“Mereka itu adalah pakaian bagimu, dan kamu pun adalah pakaian bagi mereka.”

Dengan mematuhi panduan Islam, melaksanakan strategi moden dan sentiasa berusaha memperbaiki diri, kita mampu mencapai perkahwinan yang lebih harmoni.

Ingatlah perjalanan ini memerlukan kesabaran, usaha dan doa berterusan.

Semoga Allah swt memberkati usaha kita dalam membina keluarga sakinah, mawaddah dan rahmah, insya-Allah.

Penulis ialah Pengasas dan Pengarah Urusan Bio Dew Management International & Institute (BDMI), yang juga perunding dan pendidik rumah tangga dan keluarga. Beliau juga merupakan anggota Majlis Tertinggi Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg