Menjelang hujung tahun, suasana membeli-belah semakin rancak.
Pusat membeli-belah mula dipenuhi poster promosi besar dan menarik, manakala wadah e-dagang pula giat melancarkan kempen potongan harga hujung tahun.
Malah, tawaran jualan seperti Black Friday dan Cyber Monday seolah-olah menjadi rutin tahunan yang dinanti-nantikan masyarakat.
Keadaan itu semestinya memberi peluang untuk mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih murah.
Tidak salah untuk berbelanja, selagi pembelian dibuat atas dasar keperluan, bebas daripada pembaziran dan tidak menimbulkan beban hutang melebihi kemampuan.
Yang lebih penting, seorang Muslim perlu mengurus perbelanjaan dengan kesedaran bahawa harta adalah pinjaman daripada Allah swt.
Maka, terdapat beberapa garis panduan penting yang perlu diteliti agar proses membeli-belah kita lebih bijak dan diberkati.
Dalam suasana jualan akhir tahun, antara perkara yang semakin popular ialah konsep ‘pakai dulu, bayar kemudian’.
Pada asasnya, hukum jual beli dalam Islam menekankan transaksi berlaku apabila pembeli membayar harga barang dan kemudian barang itu menjadi miliknya.
Namun, Islam membenarkan pembayaran secara ansuran atau menangguh bayaran, selagi syaratnya dipatuhi.
Dalam hukum jual beli Islam, pembelian seperti itu dikenali sebagai bai‘ at-taqsit, iaitu pembelian barang dengan membayar secara ansuran berdasarkan persetujuan kedua-dua pihak.
Sekiranya harga ditetapkan sejak awal dan kededua pihak bersetuju dengan jumlah bayaran keseluruhan, jual beli itu adalah harus.
Contohnya, membeli barang berharga $1,200 secara ansuran $100 sebulan selama 12 bulan adalah dibenarkan, selagi tiada caj atau denda tambahan dikenakan kerana kelewatan pembayaran.
Namun, sekiranya bayaran ansuran mengenakan caj tambahan hanya kerana pembeli lewat membayar atau gagal melunaskan hutang mengikut jadual, caj tersebut dianggap riba nasiah – iaitu tambahan ke atas hutang kerana penangguhan bayaran – yang jelas dilarang dalam Islam.
Oleh itu, penggunaan wadah seperti Atome atau aplikasi ‘Buy Now, Pay Later’ lain perlu diperhatikan dengan teliti.
Jika kadar bayaran ansuran adalah tetap, mengikut kos asal dan tiada penalti berbentuk faedah, ia dibolehkan.
Namun, sekiranya terdapat penalti lewat bayar yang bersifat faedah, pengguna perlu berhati-hati supaya tidak terjerumus dalam jual beli riba yang diharamkan.
Di samping itu, seseorang perlu menilai kemampuan kewangannya sendiri.
Godaan untuk membeli dahulu dan membayar kemudian boleh membuatkan kita hilang kawalan, hingga berbelanja melebihi kemampuan dan terbeban dengan hutang.
Islam menekankan garis panduan jelas: Usah biarkan pembelian menjadi beban yang menyempitkan rezeki, dan jangan sampai kita menjadi hamba kepada gaya hidup mewah.
Selain itu, dalam menghadapi suasana jualan dan promosi, seorang Muslim perlu membezakan antara perbelanjaan jangka pendek dengan jangka panjang.
Allah swt berfirman dalam Surah Al A’raf, ayat 31:
“Dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”
Istilah melampaui batas atau israf di sini merujuk kepada pembaziran, iaitu penggunaan harta secara berlebihan sehingga sia-sia.
Dalam Surah Al-Furqan, ayat 67, Allah swt juga menegaskan hamba-Nya seharusnya berbelanja secara sederhana, tidak berlebihan dan tidak kedekut.
Salah satu cara mengelakkan pembaziran ialah memberi keutamaan kepada barang yang bermutu.
Barangan murah tetapi cepat rosak memaksa kita membeli pengganti berkali-kali, sekali gus meningkatkan perbelanjaan dalam jangka panjang.
Pembelian bermutu bukan bermewah, tetapi merupakan langkah berhemat bagi mengelak pembaziran yang lebih besar kemudian.
Pada masa sama, seorang Muslim perlu sedar tidak semua yang halal dari segi zatnya menjamin kesan yang halal atau selamat dalam jangka panjang.
Sesuatu produk mungkin halal dari segi kandungan, namun boleh mendatangkan kemudaratan kepada tubuh.
Islam menekankan tubuh kita adalah amanah daripada Allah swt, dan sebarang bentuk kemudaratan terhadapnya adalah dilarang.
Oleh itu, membeli produk seperti kosmetik, suplemen atau produk kesihatan mesti dilakukan dengan penelitian.
Sebelum membuat pembelian, seseorang perlu menyemak kandungan dan potensi kesan sampingannya.
Contohnya, sesetengah suplemen yang menjanjikan kesan segera boleh memberi kesan negatif kepada buah pinggang atau sistem saraf, manakala produk kosmetik tertentu mengandungi bahan kimia berbahaya yang boleh merosakkan kulit atau kesihatan secara keseluruhan.
Akhirnya, dalam era jual beli yang kian rancak, berbelanja dengan bijak bukan sekadar mengelak hutang atau pembaziran, bahkan untuk merancang kewangan dengan lebih baik.
Islam mengajar harta bukan hanya alat untuk memenuhi keperluan, tetapi saluran meraih pahala melalui sedekah, membantu golongan memerlukan dan menyokong projek kebajikan.
Jika setiap tahun kita berbelanja tanpa memikirkan masa depan atau tanggungjawab, kita mudah terjerumus ke dalam gaya hidup bersifat kebendaan yang menjadikan harta sebagai matlamat, bukannya alat.
Harta adalah ujian, bukan tujuan.
Oleh itu, seorang Muslim perlu bijak menggunakan sistem pembayaran seperti baucar, potongan harga dan pulangan tunai, atau cashback, untuk menjimatkan perbelanjaan, bukan menambah barang yang tidak perlu.
Pengurusan kewangan yang baik membawa ketenangan, manakala pembaziran hanya menimbulkan keresahan dan penyesalan pada masa hadapan.
Artikel ini disumbang oleh Darul Tafsir, Masjid Al-Khair.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg