Nabi Muhammad saw merupakan teladan sepanjang zaman.
Melalui sirah Baginda, kita dapat mempelajari cara Baginda menguruskan kehidupan, menyelesaikan masalah dan menegakkan nilai murni yang relevan meski di era moden kini.
Walaupun banyak keadaan baru wujud yang tidak pernah ditemui pada zaman Baginda, nilai akhlak dan peribadi Baginda saw tetap boleh dijadikan panduan, disesuaikan mengikut keadaan semasa.
Sifat utama Nabi saw – sabar, jujur, amanah, rendah hati dan penyayang – patut diterapkan dalam diri umatnya.
Sebagai contoh, Baginda terkenal dengan kejujuran dan kebijaksanaan dalam perniagaan.
Jauh sebelum diangkat menjadi Nabi, kejujuran Baginda menyebabkan masyarakat Makkah menamakan Baginda Al-Amin (yang dipercayai), kerana kewibawaan yang tinggi dalam urusan dagang.
Semasa bekerja sebagai pedagang bagi Sayidatina Khadijah, Baginda saw menunjukkan etika perniagaan yang tinggi: tidak menipu timbangan, tidak memanipulasi harga dan sentiasa berterus terang dengan pelanggan.
Hasilnya, perniagaan yang dikendalikan Baginda bukan sahaja menguntungkan, malah membina kepercayaan jangka panjang.
Kebijaksanaan Baginda saw turut terlihat dalam pemilihan rakan niaga yang amanah dan membuat keputusan berlandas keadilan, bukan keuntungan semata.
Sikap itu menjadi contoh unggul bagi usahawan moden yang ingin berjaya tanpa menggadai nilai moral dan etika dalam perniagaan.
Rasulullah saw turut memiliki kemahiran penting yang amat relevan pada zaman kini, iaitu kepimpinan dan ketahanan menghadapi cabaran.
Semasa berdakwah di Makkah, Baginda menghadapi pelbagai cabaran seperti penindasan daripada kaum sendiri, penghinaan, serta dipulaukan.
Cabaran itu semestinya memerlukan mental yang kuat dan jiwa teguh untuk meneruskan dakwah di tengah-tengah tentangan hebat.
Selain itu, peristiwa hijrah Nabi saw ke Madinah bukan sekadar perpindahan fizikal, bahkan merupakan strategi penting dalam membina asas perubahan sosial dan politik umat Islam.
Di Makkah, umat Islam tidak dibenarkan mengamalkan ajaran mereka, manakala di Madinah, Baginda saw melihat peluang membentuk masyarakat berteraskan keadilan, perpaduan dan nilai Islam.
Setibanya di Madinah, Nabi saw segera membina masjid sebagai pusat ibadah dan masyarakat, serta menggubal Piagam Madinah – dokumen bertulis yang menyatukan pelbagai kaum dan agama di bawah satu pemerintahan adil.
Langkah itu merupakan asas pembentukan sebuah negara Islam yang menekankan hak individu, kerjasama antara kaum dengan sistem pemerintahan yang beretika.
Strategi itu menunjukkan kebijaksanaan politik Nabi saw dalam membina masyarakat terangkum, stabil dan harmoni – prinsip yang masih relevan dalam pembinaan negara moden hari ini.
Keprihatinan Nabi saw terhadap isteri dan anak merupakan contoh keluarga sakinah (tenang).
Baginda melayani dan menghormati isterinya, membantu kerja rumah walaupun sebagai pemimpin umat, serta sentiasa berlaku adil dan lembut.
Baginda sering berbual mesra dan mendengar pandangan isterinya, membuktikan komunikasi yang sihat dalam rumah tangga.
Manakala dengan anak, terutama terhadap puterinya, Sayidatina Fatimah Az-Zahra, Baginda menunjukkan kasih sayang mendalam.
Setiap kali Sayidatina Fatimah menziarahi Baginda, Nabi saw akan bangun menyambutnya, mencium dahinya dan menawarkan tempat duduk Baginda.
Tindakan itu mencerminkan kasih sayang, rasa hormat dan perhatian yang patut dijadikan teladan dalam membina keluarga penuh kasih sayang.
Kejayaan dalam apa jua usaha sering bergantung kepada perancangan teliti dan pengurusan masa yang bijak.
Dalam konteks sejarah, hal itu jelas terserlah semasa Perang Badar, apabila Baginda saw merancang kedudukan pasukan di kawasan yang mengawal sumber air, satu langkah taktikal yang memberikan kelebihan strategik.
Selain itu, Nabi saw membentuk saf yang teratur dan menanam semangat jihad dalam kalangan para sahabat melalui motivasi rohani serta kepimpinan yang tenang.
Kejayaan umat Islam dalam Perang Badar bukan sahaja berpunca daripada kekuatan fizikal, malah hasil perancangan teliti, perpaduan pasukan dan pergantungan penuh kepada Allah swt.
Kesan teladan Nabi saw dapat dilihat melalui pembentukan keperibadian unggul dan akhlak mulia dalam diri seorang Muslim.
Apabila ramai mengamalkan nilai itu, ia akan melahirkan masyarakat yang bersatu, adil dan matang secara rohani.
Nilai itu menjadi model memperkukuh reformasi sosial dan pembangunan sahsiah dalam dunia moden yang bersifat kebendaan, sambil mewujudkan persekitaran sihat untuk pembentukan generasi akan datang.
Justeru, nilai kehidupan Nabi saw kekal relevan sepanjang zaman.
Menjadikan perjalanan hidup Baginda sebagai panduan boleh memperkukuh akhlak dan meningkatkan mutu hidup harian.
Oleh itu, mari kita mempelajari dan menyelami sirah Nabi saw, lalu menjadikannya panduan dalam menjalani kehidupan, membina kerjaya dan menyumbang kepada masyarakat yang sejahtera.
Penulis ialah lulusan Mahaad Qiraat Mansoura, Mesir, dan guru di Madrasah Tahfiz Sekolah Ugama Radin Mas.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg