Topic followed successfully
Go to BHkuTanggungjawab suami dalam perspektif Islam
Tanggungjawab suami dalam perspektif Islam
Pikul amanah besar lindung, bimbing isteri demi reda Tuhan, kebahagiaan di akhirat
Tanggungjawab suami dalam perspektif Islam
Allah swt menciptakan makhluk-Nya berpasangan sejak Adam dan Hawa lagi.
Perkahwinan merupakan hubungan suci yang mengikat dua insan berlainan jantina untuk hidup bersama sebagai suami isteri.
Allah swt berfirman dalam Surah An-Nisaa’, ayat 34, yang bermaksud:
“Lelaki adalah pemimpin terhadap kaum perempuan kerana Allah telah melebihkan lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas kaum perempuan dan juga kerana lelaki memberi nafkah daripada harta mereka.”
Ia bukan sekadar hubungan fizikal semata-mata malah melibatkan komitmen memikul tanggungjawab dan amanah besar terutama bagi sang suami.
Dalam konteks ini, suami memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan kesejahteraan dan kebahagiaan rumah tangga.
Justeru setiap suami perlu memahami dan menunaikan tanggungjawab mereka terhadap isteri dengan sebaik mungkin.
Antara tanggungjawab isteri kepada suami ialah taat, patuh perintah serta berhias diri.
Berikut pula ialah tanggungjawab suami kepada isteri:
Beri nafkah bulanan
Tanggungjawab utama seorang suami adalah menyediakan nafkah bulanan kepada isterinya.
Ia merangkumi keperluan asas seperti makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan perubatan.
Suami perlu memastikan jumlah nafkah yang diberikan mencukupi untuk menampung keperluan isteri dan anak serta sesuai dengan taraf hidup dan kemampuan mereka.
Dalam Islam, pemberian nafkah kepada isteri merupakan kewajipan yang dituntut oleh syarak.
Allah swt berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 233:
“... Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.”
Ini menunjukkan suami bertanggungjawab menyediakan keperluan asas isteri tanpa mengira sama ada isteri bekerja atau tidak.
Walau bagaimanapun, nafkah bukan sekadar memenuhi keperluan fizikal semata-mata – ia juga melibatkan sokongan emosi dan kasih sayang.
Suami perlu menunjukkan keprihatinan terhadap kesejahteraan isteri serta memastikan isteri tidak berasa terbeban atau tertekan dengan tanggungjawab rumah tangga.
Golongan suami perlu sentiasa berkomunikasi dengan baik dan mendengar keluhan atau masalah yang dihadapi isteri serta memberi bantuan dan sokongan sewajarnya.
Sedia tempat tinggal, keperluan isteri
Selain nafkah bulanan, suami juga bertanggungjawab menyediakan tempat tinggal yang selesa dan selamat untuk isteri dan anak.
Tempat tinggal perlu dilengkapi dengan kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik serta perabot yang mencukupi untuk keselesaan keluarga.
Suami perlu memastikan persekitaran tempat tinggal bersih, teratur dan selesa untuk kehidupan berkeluarga.
Dalam memilih tempat, suami perlu mengambil kira faktor seperti lokasi, keselamatan dan kemudahan awam yang berdekatan seperti sekolah, hospital dan tempat ibadah.
Pastikan juga tempat tinggal itu bersesuaian dengan keperluan dan cita rasa isteri, serta kemampuan untuk menanggung kos sewa atau pembiayaan rumah tersebut.
Selain itu, ambil kira peralatan dapur, kelengkapan rumah dan keperluan peribadi yang mencukupi, termasuk akses kepada kemudahan dan perkhidmatan yang diperlukan.
Gaul dengan isteri secara baik
Tanggungjawab suami kepada isteri turut melibatkan hubungan intim dan kasih sayang.
Suami perlu melayani isteri dengan baik dan penuh kelembutan dan kemesraan, malah keperluan dan keinginan seksual mereka serta kebersihan dan penampilan yang menarik perhatian isteri.
Rasulullah saw bersabda yang maksudnya: “Dalam jimak (persetubuhan) seseorang daripada kamu itu ada sedekah (mendapat pahala).” (HR Muslim).
Daripada hadis ini, kita dapat ketahui hubungan intim antara suami isteri bukan sekadar memenuhi nafsu semata-mata, namun membawa ganjaran pahala dengan niat yang betul dan mengikut syarak.
Justeru suami perlu menggauli isteri dengan penuh hemah dan bertanggungjawab.
Didik, santun dan hormat isteri
Suami perlu melayani isteri sebagai rakan kongsi dalam kehidupan berumah tangga.
Mereka perlu mengiktiraf peranan dan sumbangan isteri dalam menguruskan ehwal rumah tangga, membesarkan anak serta menghargai pandangan dan pendapat mereka dalam membuat keputusan bersama.
Dalam berkomunikasi dengan isteri, elak menggunakan bahasa kesat atau menghina.
Suami juga perlu menghormati hak dan privasi isteri serta tidak memaksa mereka melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kehendak atau prinsipnya.
Beri ruang dan masa untuk isteri melakuan kegiatan atau hobi yang diminati.
Penting untuk menjaga batas dalam bergurau dan berseloroh dengan isteri agar tidak melukakan hati atau menjatuhkan maruahnya.
Elak membandingkan isteri dengan wanita lain atau mendedahkan kekurangannya kepada orang lain.
Jika berlaku perselisihan atau pertelingkahan, suami perlu menyelesaikannya dengan cara yang baik dan bijaksana serta bersedia memohon maaf dan memaafkan.
Jaga maruah, aib isteri
Suami perlu melindungi kehormatan dan kerahsiaan isteri.
Jangan sekali-kali mendedahkan perkara yang boleh menjatuhkan maruah atau imej yang mendatangkan aib kepada isteri.
Hendaklah si suami berpakaian dan bertingkah laku dengan cara yang sopan dan tidak menjolok mata.
Anggaplah isteri sebagai amanah Allah swt yang perlu dilindungi.
Jika si isteri melakukan kesilapan, suami perlu menanganinya dengan cara bijaksana dan berhikmah.
Beri peluang kepada isteri memperbaiki diri dan bertaubat serta memaafkannya dengan hati yang ikhlas.
Jaga keselamatan isteri
Tanggungjawab suami menjaga keselamatan isteri meliputi aspek fizikal dan emosi.
Apabila berada di luar rumah, suami perlu menjaga isteri daripada sebarang ancaman seperti gangguan seksual, ragut atau kemalangan jalan raya.
Jika isteri perlu keluar seorang diri, suami perlu memastikan isteri mempunyai cara untuk dihubungi sekiranya berlaku kecemasan.
Dari segi keselamatan emosi, suami perlu melindungi isteri daripada sebarang bentuk penderaan atau penganiayaan sama ada secara lisan, fizikal atau seksual.
Sabar, tolak ansur
Sikap sabar dan toleransi merupakan kunci kepada keharmonian dan kestabilan rumah tangga.
Hidup berumah tangga pasti ada cabaran dan ujian.
Sebagai ketua keluarga, suami perlu menunjukkan contoh yang baik dalam mengamalkan sifat ini.
Setiap individu mempunyai kelemahan masing-masing. Tidak ada sesiapa yang sempurna.
Suami perlu belajar menerima kelemahan isteri dan membantunya memperbaiki diri secara bertahap.
Sifat toleransi penting dalam menyelesaikan perselisihan pendapat dengan isteri.
Jauhi bertindak secara egoistik dan bersedia bertolak ansur sambil mencari jalan penyelesaian yang saksama serta mendengar dan menghormati pandangan isteri.
Suami juga perlu memainkan peranan dalam meringankan beban isteri sebagaimana dirakam dalam Surah At-Taubah, ayat 71:
“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain.”
Penulis ialah pendakwah bebas yang juga Naib Kadi di Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM).

