Sebelum melangkah ke alam perkahwinan, Islam telah meletakkan garis pandu agar setiap pasangan dapat bersiap sedia dari segi rohani dan jasmani agar rumah tangga yang dibina bukan sahaja dipenuhi dengan keberkatan, malah disertakan dengan sakinah (ketenangan), mawaddah (rasa cinta) dan rahmah (rasa belas kasihan).
Kembali kepada tujuan pernikahan, Allah swt telah berfirman di dalam kitab suci Al-Quran dalam Surah Ar-Rum, ayat 21:
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri daripada jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”
Tujuan pernikahan seperti disebut di dalam ayat tadi adalah untuk mendapatkan rasa kasih dan sayang.
Namun setiap pasangan harus berusaha meraih kerberkatan di dalam rumah tangga.
Dengan keberkatan, barulah sesebuah rumah tangga dapat mengecapi ketenangan, kasih dan sayang.
Namun, apakah antara cara mendapatkan keberkatan dalam rumah tangga?
Antara perkara yang dianjurkan dalam syariah Islam ialah membetulkan niat di dalam perkahwinan.
Setiap pasangan yang bernikah seharusnya berniat bahawa perkahwinan mereka adalah untuk mengikuti sunah Nabi Muhammad saw, seperti yang disabda:
“Pernikahan adalah sunahku, barangsiapa yang mengasingkan dirinya daripada sunahku, maka beliau bukan daripada golonganku.” (HR Ibn Majah).
Dalam hadis lain, Baginda saw juga bersabda:
“Setiap amalan itu adalah berlandaskan niat.” (HR Bukhari).
Maka, niatkan perkahwinan itu dengan niat yang baik dan dilakukan dengan penuh keikhlasan ketika mendirikan rumah tangga.
Antara usaha yang boleh dilakukan untuk meraih keberkatan dalam rumah tangga ialah dengan solat secara berjemaah antara suami dengan isteri.
Amalan ini bukan sahaja menguatkan keimanan dan kerohanian bersama, malah membuktikan peranan suami sebagai pemimpin keluarga.
Sewaktu solat berjemaah, amat digalakkan agar suami memimpin doa selepas solat dengan bahasa yang mudah difahami.
Contohnya: “Ya Allah, peliharalah rumah tangga kami, lindungilah kami daripada ujian yang berat, kukuhkanlah kasih sayang dan cinta antara kami dan kekalkanlah rumah tangga ini hingga ke syurga.”
Apabila isteri mengaminkan doa ini, insya-Allah, keberkatan akan diperoleh.
Amalan makan bersama sekeluarga juga merupakan satu bentuk ibadah yang sering dipandang ringan.
Dalam era teknologi kini, ramai yang leka dengan telefon pintar ketika waktu makan – ada yang makan, pasangan sibuk di telefon, malah anak-anak juga ikut sama.
Sedangkan waktu makan adalah peluang terbaik untuk berinteraksi: suami bertanya khabar isteri, berbincang hal rumah tangga, berbual tentang sekolah anak-anak dan merancang masa depan keluarga.
Di hadapan rezeki yang Allah swt anugerahkan itulah sepatutnya kita panjatkan doa agar makanan yang dimakan menjadi sumber keberkatan dan rezeki yang tidak putus, bahkan bertambah dengan izin-Nya.
Mendidik pasangan dan anak-anak untuk mencintai Allah swt dan Rasul-Nya adalah asas penting dalam membina keluarga yang diberkati.
Cintakan Al-Quran, gemar membaca serta mempelajarinya bersama akan menyemai nilai iman yang kukuh.
Jika ketua keluarga kurang fasih membaca Al-Quran, menjadi tanggungjawabnya untuk menghantar anak-anak ke pusat pembelajaran atau kelas agama di masjid.
Dengan memupuk sifat suka membaca Al-Quran, maka insya-Allah akan juga ditambahkan keberkatan.
Firman Allah swt dalam Surah al-Isra’, ayat 82:
“Dan Kami turunkan daripada Al-Quran sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.”
Membaca Al-Quran bersama sebagai keluarga akan menjadi sumber penawar, kasih sayang dan keberkatan dalam rumah tangga.
Allah swt turut menegaskan dalam Surah At-Tahrim, ayat 6:
“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”
Justeru, besar sungguh tanggungjawab seorang suami dan ayah dalam memastikan anggota keluarganya terselamat daripada azab neraka.
Akhir sekali, antara jalan memperoleh keberkatan ialah dengan berbakti kepada ibu bapa.
Doa mereka adalah antara yang paling mustajab.
Meskipun ada pasangan diuji dengan sikap sinis atau layanan dingin daripada ibu bapa kandung atau mertua, jangan sesekali menjauhkan diri.
Sebaliknya, cuba mengambil hati mereka dan berbuat baik semampu mungkin.
Firman Allah swt dalam Surah Luqman, ayat 14:
“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya (menamatkan tempoh penyusuan) ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).”
Jelas menunjukkan bahawa berbuat baik kepada ibu bapa adalah perintah yang tidak boleh dipandang ringan.
Oleh itu, berbakti dan berkhidmat kepada ibu bapa adalah satu tuntutan yang amat besar dalam Islam.
Ia perlu disegerakan selagi mereka masih hidup, agar kita sempat meraih keberkatan daripada doa mereka sebelum mereka menghembuskan nafas terakhir.
Penulis ialah naib kadi Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM), yang juga Pembantu Ketua Unit Pembangunan Remaja dan Masyarakat Masjid Darul Ghufran dan kaunselor Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg