Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Persiapan sebelum diijab kabul

Membina asas takwa kepada Allah dan sentiasa bersyukur, bersangka baik antara ramuan kebahagiaan rumah tangga
May 18, 2025 | 5:30 AM
perkahwinan
Teras utama sebelum membina sistem kekeluargaan ialah pasangan harus memupuk kepercayaan di dalam jiwa akan nilai takwa kepada Allah swt. - Foto ISTOCKPHOTO
-

Saat yang dinantikan, dua keluarga bertemu bagi pernikahan sepasang mempelai.

Si dara berbusana indah penuh keayuan. Duduknya bersimpuh malu, diapit ibu tercinta.

Si teruna melangkah masuk ke dewan penuh wibawa dan sopan, berjalan cermat, menuju ke pelaminan.

Seluruh mata tertumpu ke arah pasangan pengantin sehari.

Harapan dua keluarga, menerusi doa kepada Ilahi, biarlah mahligai rumah tangga yang dibina ini penuh keberkatan dan kekal hingga berakhir di syurga.

“Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya, Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas).” Surah An-Nisa’: 1

Ayat ini, sering didengarkan ketika penyampaian Kadi, sebagai ayat pembukaan dalam ‘Khutbah Nikah’.

Namun, apakah persediaan dan persiapan bagi lelaki dan wanita, sebelum diijabkabulkan sebagai pasangan suami dan isteri dalam memikul amanah, membina sistem kekeluargaan yang mencerminkan nilai sakinah, mawaddah dan rahmah?

Berikut adalah pencerahan sebelum melangkah ke alam pernikahan. Persiapan yang perlu disediakan oleh bakal mempelai termasuk:

– Membina asas takwa kepada Allah swt;

– Bersyukur dan bersangka baik; dan

– Menjaga perhubungan kekeluargaan.

Membina asas takwa

Teras utama sebelum membina sistem kekeluargaan ialah setiap pasangan itu harus memupuk kepercayaan di dalam jiwa akan nilai takwa kepada Allah swt.

Mereka dinasihatkan agar mendirikan suruhan tanggungjawab Ilahi dan bentengkan diri daripada kemurkaan-Nya.

Peringatan Allah swt dalam petikan Surah At-Thalaq, ayat 2 dan 3:

“Barangsiapa yang bertakwa (takut) kepada Allah, nescaya Allah akan menjadikan jalan keluar baginya dan akan memberi rezeki dari arah yang tidak dia perkirakan, dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupinya.”

Anugerah Ilahi yang dikurniakan untuk setiap makhluk, dari segi bentuk kehidupan, rezeki, jodoh dan kematian semuanya di tangan Allah yang Maha Satu. Mulakan hubungan ketaatan dan penyerahan dengan Sang Pencipta (Allah).

Tingkatkan diri terlebih dahulu dengan mengikuti kelas-kelas ilmu pengetahuan asas agama Islam.

Dan dekatkan diri dengan teman-teman yang positif dan baik agar kehidupan sebelum dan selepas berumah tangga sentiasa dalam titian yang diredai Allah swt.

Andai batas halal dan haram masih lagi rapuh dan pasangan tidak bersungguh menjaganya kerana Allah swt, apa akan terjadi kepada sistem rumah tangga tersebut?

Dan bagaimana untuk lahirkan zuriat keturunan yang mulia di sisi Allah swt?

Semua ini perlu diberi perhatian kerana perkahwinan itu bukan sekadar di atas pelamin, malah apa yang berlaku selepas itu yang perlu terus diberi perhatian.

Bersyukur dan bersangka baik

Ingin memupuk diri untuk terus bersyukur dan bersangka baik bukanlah sesuatu perkara yang mudah.

Mentelah lagi, sekiranya sesuatu yang menyakitkan dan menyedihkan perasaan.

Perasaan sedih, gembira, suka dan duka itulah lumrah perasaan manusia.

Sabda Rasulullah saw: “Seseorang disebut sebagai kuat perkasa bukan kerana fizikal badan. Orang yang kuat perkasa ialah orang yang mampu mengendalikan diri ketika marah.”

Inilah nikmat pengalaman kehidupan untuk mendewasakan kita.

Seseorang tidak kenal pedas apabila merasai cilinya. Dan beliau tidak kenal manis setelah merasai madunya.

Sesuatu pengalaman tidak kira pahit atau manis, nilainya tidak boleh dibayar dengan wang ringgit.

Dari itu, bakal mempelai pengantin harus belajar untuk bersyukur dan bersangka baik dengan ketentuan Allah.

Orang-orang sekeliling hanyalah asbab untuk kita dekat dengan Allah swt.

Kerana, hidup di alam rumah tangga pasti akan ada ujiannya.

Maka pentingnya untuk mendidik diri dalam menilai dan menghargai orang-orang sekeliling.

Sebaiknya elakkan daripada menyalahkan orang lain.

Takut nikmat pinjaman sementara ditarik oleh Allah swt.

“(Ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), sesungguhnya azab-Ku benar-benar sangat keras.” Surah Ibrahim, ayat 7.

Menjaga perhubungan kekeluargaan

Sabda Rasulullah saw: “Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap ahli keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku.”

Jika diamati hadis ini, periwayatannya bukan dari kalangan sahabat lelaki Rasulullah saw.

Akan tetapi, dari isterinya saw, Saidatina ‘Aisyah ra di mana sikap keprihatinan, kelembutan dan kebaikan yang menghiasi cerminan akhlak Baginda Rasulullah saw sebagai seorang suami.

Maka, menjaga perhubungan kekeluargaan itu adalah tuntutan dalam Islam.

Terutama sekali, tanggungjawab terhadap ibu ayah dan saudara (adik-beradik).

Ingatlah, rezeki kurniaan Allah swt yang kita sediakan atau keluarkan untuk keluarga setiap bulan, pastinya, akan digantikan dengan yang lebih baik.

Bukan nilai yang banyak atau sedikit menjadi ukuran.

Tetapi keikhlasan dan amanah serta tanggungjawab adalah tuntutan ibadah yang ingin diraih daripada keredhaan Allah swt.

Elakkan daripada berhutang ketika berbelanja.

Pastikan ikut kadar kemampuan dan keperluan, bukan kerana nafsu atau pun hasutan pandangan manusia.

Coretan ringkas ini buat bakal pasangan suami dan isteri.

Perkemaslah diri anda dengan mengikuti kursus ilmu berumah tangga.

Ini merupakan kejayaan anda di masa akan datang untuk sama-sama membina kebahagiaan sehingga ke syurga Allah swt.

Jika berlaku pergeseran, pandang semula niat anda, akan hasrat anda ingin diijab qabulkan.

▶ Penulis naib kadi Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) dan Ketua Dakwah Masjid En-Naeem.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg