Topik diikuti
Pergi ke BHkuKompas rohani dalam era teknologi
Kompas rohani dalam era teknologi
Wasiat terakhir Nabi sebagai pedoman hadapi cabaran dunia moden
Kompas rohani dalam era teknologi
USTAZ SYAFIQ MARDI
Dalam keadaan dunia yang semakin tidak menentu, dengan gejolak politik, ketidaktentuan ekonomi serta kemunculan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), sebagai ibu bapa yang memikul amanah besar dalam memelihara institusi keluarga, kita pasti tidak terlepas daripada berasa bimbang.
Keadaan ini mendorong kita bertanya: Apakah peranan agama dalam kehidupan hari ini?
Mampukah agama menjadi panduan dalam menghadapi pelbagai cabaran yang sedang melanda umat Islam dan masyarakat seluruhnya?
Dalam arena politik antarabangsa, kita dapat melihat bagaimana sebahagian kuasa besar semakin mengetepikan prinsip kedaulatan undang-undang dan keadilan.
Sebaliknya, yang berlaku adalah pendekatan ‘hukum rimba’, apabila negara lebih kuat, bebas melakukan penindasan terhadap negara yang lebih lemah tanpa berdepan akibat atau hukuman setimpal.
Kesan daripada keadaan ini akhirnya dirasai oleh masyarakat awam.
Cabaran dunia moden semakin kompleks
Melalui propaganda dan penyebaran maklumat palsu, ramai yang terperangkap dalam politik identiti sehingga sentimen agama dan bangsa dimanipulasi demi meraih sokongan politik.
Akibatnya, lahirlah penindasan sesama manusia atas nama bangsa dan agama.
Agama yang sepatutnya menjadi pedoman hidup disalahgunakan sebagai alat politik, manakala kepelbagaian bangsa yang sewajarnya menjadi asas untuk saling mengenali dan menghormati berubah menjadi alasan untuk mengamalkan sikap perkauman.
Kemungkaran seperti ini akhirnya dianggap sebagai norma baharu sehingga mereka yang enggan mengikut arus dianggap ganjil.
Dalam bidang ekonomi pula, ditambah dengan kemunculan teknologi baharu seperti AI, cabaran menjadi semakin kompleks.
Dasar politik yang tidak seimbang serta penguasaan ekonomi oleh syarikat teknologi gergasi memberi kesan terhadap pembangunan dan operasi sistem AI.
Melalui pemilikan serta kawalan terhadap platform dan model AI, mereka berpotensi mempengaruhi algoritma yang menentukan maklumat yang dipaparkan kepada pengguna.
Akibatnya, masyarakat mungkin terdedah kepada penyaringan maklumat yang tidak seimbang tanpa mereka sedari.
Lebih membimbangkan, AI juga berpotensi mengalami fenomena yang dikenali sebagai ‘AI hallucination’, iaitu menghasilkan maklumat yang tidak tepat atau direka-reka, namun disampaikan dalam bentuk yang kelihatan meyakinkan.
Keadaan ini boleh menyebabkan pengguna terperangkap dalam ruang gema (echo chamber) atau bias pengesahan (confirmation bias) tanpa disedari – iaitu apabila kita lebih banyak melihat kandungan yang selari dengan pandangan sedia ada, sekali gus menyukarkan usaha mencari kebenaran secara objektif.
Dalam institusi keluarga pula, cabaran yang dihadapi semakin membimbangkan.
Menurut laporan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada 2025, jumlah kes penderaan pasangan menunjukkan peningkatan, daripada 2,008 kes pada 2023 kepada 2,136 kes pada 2024.
Peningkatan ini amat membimbangkan kerana kesannya bukan sahaja dirasai oleh mangsa, malah turut memberi kesan besar kepada anak-anak yang menyaksikan keganasan tersebut.
Kajian menunjukkan kanak-kanak yang membesar dalam persekitaran sedemikian lebih berisiko mengalami kemurungan, mempunyai tahap keyakinan diri yang rendah, serta cenderung menunjukkan tingkah laku agresif apabila meningkat remaja.
Wasiat Rasulullah saw
Rasulullah saw telah meninggalkan panduan yang amat bernilai untuk membimbing umat Islam menghadapi pelbagai cabaran kehidupan.
Dalam Khutbah Wada’ atau Khutbah Perpisahan, yang disampaikan sebelum kewafatan Baginda saw, Baginda menekankan beberapa prinsip asas yang kekal relevan sepanjang zaman.
Antara wasiat tersebut ialah:
1) memelihara kesucian nyawa, harta dan kehormatan;
2) menjauhi segala bentuk penindasan serta memelihara persaudaraan sesama insan; dan
3) menunaikan hak serta tanggungjawab terhadap wanita.
1) Jaga kesucian jiwa, harta dan kehormatan
Sebagai umat Islam yang hidup di Singapura, kita hendaklah sentiasa peka terhadap keadaan sekeliling.
Setiap maklumat yang diterima, sama ada melalui media sosial mahupun daripada sahabat handai, perlu disemak dan dinilai dengan teliti.
Sikap ini penting agar kita tidak mudah terpengaruh dengan propaganda, fitnah dan diayah yang boleh mencemarkan nyawa, harta dan maruah seseorang, khususnya mereka yang tidak bersalah.
Kita juga harus sedar propaganda sering mengeksploitasi sentimen agama dan bangsa bagi meraih sokongan masyarakat.
Apabila sentimen ini diterima tanpa penelitian, ia boleh mendorong kepada kebencian, perpecahan dan penindasan atas nama bangsa dan agama.
Hakikatnya, semua ini lazimnya didorong oleh kepentingan kuasa dan agenda tertentu, bukannya demi menegakkan kebenaran.
Lebih membimbangkan, kemajuan teknologi seperti AI telah melahirkan teknologi pemalsuan mendalam (deepfake) yang mampu menghasilkan imej, audio dan video palsu yang kelihatan begitu meyakinkan.
Teknologi ini memudahkan penyebaran fitnah dan maklumat palsu dalam masa singkat.
Sekiranya kita menerima atau menyebarkan maklumat tersebut tanpa melakukan tabayyun (disemak dan dipastikan datang daripada sumber yang dipercayai), kita bukan sahaja menyumbang kepada perpecahan masyarakat, malah secara tidak langsung telah mengabaikan wasiat Rasulullah saw untuk memelihara nyawa, harta dan kehormatan seseorang.
2) Jauhi segala bentuk penindasan, pelihara persaudaraan sesama insan
Dalam era AI, umat Islam juga perlu memahami adab dan etika penggunaannya.
AI merupakan alat amat bermanfaat, namun jawapan yang diberikannya tidak semestinya tepat.
Oleh itu, kita tidak seharusnya menerima setiap maklumat yang dijana oleh AI secara bulat-bulat.
Sebaliknya, kita perlu menyemak fakta, merujuk kepada sumber sahih dan terus membudayakan amalan membaca, mengkaji serta berfikir secara kritis.
AI sewajarnya dijadikan sebagai alat bantuan, bukannya sumber utama ilmu.
Selain itu, kita juga perlu menjaga amanah ilmu dengan tidak meniru hasil kerja orang lain atau menjadikan kandungan yang dihasilkan AI sebagai karya sendiri tanpa usaha dan pengiktirafan yang sewajarnya.
Perbuatan sedemikian merupakan satu bentuk kezaliman kerana menafikan hak pemilik asal sesuatu karya.
Pada masa sama, kita juga perlu menyedari AI boleh dipengaruhi oleh bias algoritma dan ketidakseimbangan maklumat.
Oleh itu, penggunaannya mesti disertai kebijaksanaan dan pertimbangan yang adil.
3) Tunai hak, tanggungjawab terhadap wanita
Akhir sekali, jika kita ingin melihat masa depan masyarakat Islam yang lebih kukuh, kita perlu bermula dengan memperkukuhkan institusi keluarga.
Hubungan yang harmoni antara suami isteri serta akhlak yang ditunjukkan oleh ibu bapa akan menjadi contoh utama kepada pembentukan keperibadian anak.
Kanak-kanak bukan sahaja mendengar nasihat, bahkan mereka belajar melalui pemerhatian terhadap tingkah laku, tutur kata dan cara ibu bapa menyelesaikan konflik.
Seorang suami hendaklah sentiasa menyedari hak dan tanggungjawabnya terhadap isteri serta keluarganya.
Tujuan pembinaan sesebuah keluarga bukan sekadar memenuhi tuntutan fitrah, malah melahirkan generasi yang beriman, berakhlak mulia dan meneruskan legasi umat Rasulullah saw.
Justeru, tidak ada tempat sama sekali bagi keganasan, penindasan atau penderaan dalam rumah tangga.
Sebaliknya, suami dan isteri hendaklah saling menghormati, berlapang dada menerima nasihat serta berbincang dengan hikmah dalam menguruskan keluarga.
Sekiranya berdepan kesulitan, mereka juga tidak seharusnya berasa malu untuk mendapatkan bimbingan dan sokongan daripada anggota keluarga, asatizah atau badan kemasyarakatan yang berwibawa.
Kesimpulan
Akhirnya, dalam setiap aspek kehidupan, marilah kita menjadikan wasiat terakhir Rasulullah saw sebagai panduan.
Nilai yang Baginda saw tinggalkan bukan sekadar relevan pada zamannya, bahkan terus menjadi pedoman dalam menghadapi cabaran dunia moden.
Dengan berpegang teguh kepada ajaran tersebut, insya-Allah kita dapat membina masyarakat yang lebih adil, berakhlak dan dirahmati Allah swt.
Penulis ialah bekas Pembantu Penyelidik di Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) mengenai hubungan Uthmaniyyah-Singapura dan memiliki ijazah Sarjana daripada Jabatan Sejarah dan Kesenian Islam di Universiti Cukurova di Adana, Turkey. Beliau juga telah mengikuti program Sijil Possiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) yang dijalankan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan tersenarai di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS). Penulis kini merupakan calon Doktor Falsafah (PhD) di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura (NUS).