SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Keindahan Ramadan dalam perkukuh silaturahim keluarga

Keindahan Ramadan dalam perkukuh silaturahim keluarga

Ambil keberkatan bulan ini sebagai peluang sambung semula hubungan terputus, eratkan hubungan renggang

Keindahan Ramadan dalam perkukuh silaturahim keluarga

Hidayah, Ramadan, silaturahim
Berbuat baik dan menjaga hubungan baik dengan manusia termasuk sebahagian daripada amal soleh yang sangat dianjurkan dalam Islam, terutamanya dalam bulan Ramadan yang mulia ini.  - Foto ISTOCKPHOTO

Pada bulan Ramadan, selain mengerjakan ibadah puasa, lazimnya umat Islam berlumba-lumba mendekatkan diri kepada Allah dengan banyak membaca Al-Quran, berzikir serta bersolat malam.

Tidak kurang juga ramai dalam kalangan masyarakat kita yang mempunyai kelebihan harta akan menunaikan zakat dan berinfak membantu golongan yang lemah dan kurang upaya.

Namun, adakah amalan di bulan ini hanya terhad dalam beribadah kepada Allah dan bersedekah kepada golongan yang memerlukan sahaja?

Bagaimanakah dengan mereka yang tidak mempunyai kemampuan membayar zakat, atau tidak mempunyai kemampuan kewangan, seperti mereka yang baru bekerja atau masih bersekolah?

Juga, bagaimanakah pula dengan amalan-amalan baik sesama manusia yang lain?

Dalam hal ini, mari kita renungkan sepotong hadis daripada Abu Musa al-Ash’ari ra.

Yang mana beliau berkata bahawa Nabi saw pernah bersabda: “Bagi setiap Muslim itu bersedekah.

Para sahabat bertanya, “Jika dia tidak mampu?”

Baginda bersabda, “Dia bekerja dengan tangannya, lalu memberi manfaat kepada dirinya dan bersedekah.”

Mereka bertanya lagi, “Jika dia tidak mampu?”

Baginda bersabda, “Dia membantu orang yang memerlukan.”

Mereka bertanya lagi, “Jika dia tidak mampu?”

Baginda bersabda, “Dia melakukan kebaikan atau menyuruh kepada kebaikan.”

Mereka bertanya lagi, “Jika dia tidak mampu?”

Baginda bersabda, “Dia menahan dirinya daripada kejahatan, maka itu adalah sedekah baginya.” (Sahih Bukhari).

Melalui hadis ini, jelas terdapat banyak sekali peluang untuk berbuat baik sesama manusia yang juga termasuk dalam kategori amalan sedekah.

Kadangkala, dalam kesibukan kita beribadah kepada Allah dalam Ramadan yang mulia ini, kita lupa kelebihan besar dalam berbuat baik sesama manusia.

Sedangkan hubungan baik sesama Allah dan sesama manusia ini sama pentingnya.

Kedua-duanya merupakan sebahagian daripada perintah untuk kita beribadah kepada-Nya.

Kededuanya merupakan sumber keredaan Allah.

Pada masa yang sama, ia juga sumber tambahan pahala serta rahmat dan keberkatan Allah.

Kedua-duanya merupakan perkara yang penting dan harus diamalkan dengan seimbang.

Ia tidak boleh dipandang ringan atau ditinggalkan kerana mementingkan hubungan dengan Allah semata-mata.

Malah, kerana mementingkan hubungan dengan Allah lah, kita juga perlu menjaga hubungan kita sesama manusia.

Keutamaan berbuat baik kepada saudara mara dan kaum kerabat yang terdekat

Jelas di sini, berbuat baik dan menjaga hubungan baik dengan manusia lainnya juga termasuk sebahagian daripada amal soleh yang sangat dianjurkan dalam Islam, terutamanya dalam bulan yang mulia ini.

Dalam hal ini, Islam meletakkan keutamaan berbuat baik kepada ibu bapa selepas perintah beribadah kepada Allah dan larangan menyekutukan Allah.

Ini dituruti dengan anjuran berbuat baik kepada kaum kerabat lain yang terdekat, kemudian barulah kepada insan lain yang memerlukan.

Renungkan firman Allah berikut:

Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu bapa, karib-kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, dan teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membanggakan diri. (Surah An-Nisaa, ayat 36).

Melalui perintah Allah ini, kita dianjurkan untuk berlaku ihsan dan berbuat baik terhadap ibu bapa, kemudiannya kaum kerabat yang terdekat dan jauh, barulah dituruti dengan tuntutan berbuat baik terhadap insan lain seperti golongan anak yatim, fakir miskin, jiran tetangga dan lain-lain.

Dengan itu, dalam keghairahan kita di bulan Ramadan ini untuk beramal dan membantu golongan yang memerlukan seperti fakir miskin, anak yatim atau golongan yang lemah seperti isteri yang kematian suami, jangan pula kita lupa, adik atau kakak kita sendiri yang kematian suami dan merupakan ibu tunggal kepada anak-anak kecil, yang merupakan anak-anak saudara kita juga.

Maka pastinya, merekalah yang sepatutnya lebih diutamakan terlebih dahulu untuk kita berbuat baik berbanding insan lain.

Ganjaran pahalanya pula berganda kerana mendapat ganjaran dalam membantu janda, anak yatim, fakir miskin dan kaum kerabat terdekat pada masa yang sama.

Sementara kelebihan membantu janda dan golongan fakir miskin ini sendiri digalakkan oleh Baginda Rasulullah saw dalam hadisnya yang bermaksud:

“Orang yang membantu para janda dan orang-orang miskin seperti orang yang berjihad di jalan Allah atau seperti orang yang selalu berpuasa siang harinya dan selalu solat malam pada malam harinya.” (Sahih Bukhari).

Hubungan silaturahim sesama keluarga lebih utama daripada segalanya.

Berbuat baik kepada ahli keluarga serta sanak saudara, sama ada yang dekat mahupun yang jauh, juga termasuk dalam pengertian menyambung hubungan silaturahim.

Malah, terdapat banyak sekali ayat-ayat Quran dan hadis Nabi yang mengingatkan umat Islam akan keutamaan dan kelebihan memelihara serta menyambung hubungan silaturahim dan menjauhi perbuatan memutuskannya.

Antaranya sabda Rasulullah pada hadis berikut:

“Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturahim.” (Sahih Bukhari).

Manakala memutuskannya pula boleh menjadi penyebab seseorang itu gagal memasuki syurga Allah, seperti mana sabda Nabi saw yang bermaksud:
“Tidak akan masuk syurga orang yang memutuskan silaturahim.” (Sahih Bukhari).

Maka dengan itu, andainya masih lagi terdapat kekhilafan dan persengketaan antara kita dengan ibu bapa, adik-beradik mahupun saudara-mara yang lain, ambillah keberkatan di bulan Ramadan ini sebagai peluang kita untuk menyambung semula hubungan yang terputus ini, atau mengeratkan semula hubungan yang sudah renggang ini.

Ini kerana sebaik-baik Muslim adalah mereka yang berusaha menyambungkan semula hubungan silaturahim tersebut dengan memulakan langkah awal bagi menyambung hubungan yang telah lama retak.

Ini boleh dilakukan antaranya seperti mengirimkan juadah berbuka puasa atau hamper kuih-muih bagi persiapan Hari Raya.

Ia tampak mudah, tapi satu permulaan besar bagi menyambung semula hubungan yang telah lama retak.

Sabda Rasulullah saw:

Bukanlah orang yang menyambung silaturahim itu yang membalas kebaikan, tetapi orang yang sebenar ialah yang menyambungnya walaupun diputuskan.” (Sahih Bukhari).

Ingatlah, Ramadan bukan sekadar bulan ibadah kepada Allah, tetapi juga bulan menyemai kasih sayang sesama manusia, khususnya keluarga kita yang terdekat.

Ia juga merupakan peluang untuk kita memperbaiki hubungan silaturahim, membantu yang memerlukan dan mendekatkan hubungan.

Dengan mengimbangi kedua-duanya, yakni hubungan kita dengan Allah dan sesama manusia, khususnya kaum kerabat kita yang terdekat pada bulan Ramadan yang mulia ini, mudah-mudahan kita bakal meraih rahmat, keberkatan dan keredaan Allah di dunia dan akhirat.

Ustaz Dr Mohammad Yusri Yubhi Md Yusoff merupakan ahli bersekutu kanan Jawatankuasa Fatwa dan ahli Lembaga Rayuan Muis serta Presiden ad hoc Mahkamah Syariah. Beliau juga merupakan pengasas serta perunding kandungan agama dan pembangunan keluarga di YusriYusoff Consulting (yusriyusoff.com).

...Dalam keghairahan kita di bulan Ramadan ini untuk beramal dan membantu golongan yang memerlukan seperti fakir miskin, anak yatim atau golongan yang lemah seperti isteri yang kematian suami, jangan pula kita lupa, adik atau kakak kita sendiri yang kematian suami dan merupakan ibu tunggal kepada anak-anak kecil, yang merupakan anak-anak saudara kita juga.Maka pastinya, merekalah yang sepatutnya lebih diutamakan terlebih dahulu untuk kita berbuat baik berbanding insan lain.Ganjaran pahalanya pula berganda kerana mendapat ganjaran dalam membantu janda, anak yatim, fakir miskin dan kaum kerabat terdekat pada masa yang sama.
Penulis.
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg