Topic followed successfully
Go to BHkuPelihara takwa dalam era digital
Pelihara takwa dalam era digital
Maklumat pantas tuntut kebijaksanaan, tanggungjawab sebelum disebar
Pelihara takwa dalam era digital
Hari ini kita hidup dalam zaman di mana berita dan informasi bergerak lebih laju daripada akal yang menilai.
Satu mesej di telefon, satu hantaran di media sosial, satu suara tanpa nama, mampu sampai kepada ribuan manusia hanya dalam beberapa saat.
Namun persoalannya bukan sekadar apa yang kita terima.
Persoalan yang lebih besar ialah adakah ia benar? Dan lebih jauh daripada itu: Adakah kita bertanggungjawab di sisi Allah atas apa yang kita pilih untuk sebarkan?
Islam sejak awal meletakkan hubungan yang sangat rapat antara ilmu dengan kebenaran.
Berita dan informasi bukan perkara kecil. Ia membentuk persepsi, mempengaruhi keputusan, malah boleh menjatuhkan maruah seseorang dan meretakkan kesatuan masyarakat.
Allah swt memberikan panduan yang sangat jelas melalui firman-Nya:
“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang yang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti kebenarannya, agar kamu tidak menimpakan suatu kecelakaan kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (Surah al-Hujurat: 6)
Ayat ini adalah panduan berpiawaian emas dalam Islam sepanjang zaman.
Prinsipnya jelas: Jika sampai sebuah berita, jangan terus percaya, jangan terus kongsi, sebelum kita periksa dan teliti dengan baik.
Masalah kita hari ini bukannya kekurangan maklumat. Kita sebenarnya dibanjiri maklumat.
Namun sering kali yang kurang ialah saringan berakhlak terhadap maklumat yang kita terima.
Kita melihat berita palsu beredar, tuduhan tanpa bukti, video dipotong separuh, cerita sensasi disebarkan tanpa rasa bersalah.
Lebih menyedihkan lagi, kadangkala yang berkongsi itu adalah orang baik yang mengamalkan agama dan bersemangat untuk menyebarkan kebaikan buat kemanfaatan orang lain.
Tidak dapat dinafikan, keinginan mereka memang baik dan semangat mereka patut kita hormati.
Namun dalam bab berita, prinsip berhati-hati kadangkala mereka terlepas pandang.
Di sinilah perlunya kita semua saling mengingatkan dengan hikmah kerana kesilapan dalam menyebarkan maklumat boleh membawa akibat besar kepada maruah manusia dan perpaduan ummah.
Rasulullah saw telah memberi peringatan yang sangat tegas dalam sabdanya: “Cukuplah seseorang itu dianggap pendusta apabila dia menceritakan semua yang dia dengar.” (HR Muslim).
Perhatikan dalamnya makna hadis ini.
Nabi tidak menyebut tentang pendusta yang mereka-reka cerita. Tetapi mereka yang menyampaikan berita tanpa tapisan pun sudah cukup untuk menjadikan seseorang itu berdosa dan bergelar pendusta.
Hari ini, ia boleh berlaku hanya dengan satu klik pada butang forward.
Islam dan kebenaran: Panduan menilai berita
Dalam menilai dan meneliti satu berita, Islam bukan sahaja bertanya berita itu betul atau tidak.
Islam juga bertanya adakah berita itu perlu disampaikan atau tidak? Adakah ia membawa manfaat atau mudarat?
Allah swt mengingatkan melalui firman-Nya dalam Surah Qaf, ayat 18: “Tiada satu perkataan pun yang diucapkannya melainkan ada malaikat yang mencatatnya.”
Sememangnya, setiap apa yang kita ungkapkan akan dicatat dan dipertanggungjawabkan.
Dalam dunia digital, tulisan kita mungkin hidup lebih lama daripada usia kita.
Maka orang yang beriman akan belajar menahan diri, menimbang dan memilih jalan yang paling selamat untuk agama dan masyarakatnya.
Kita kini sudah memasuki Ramadan.
Bulan ini bukan hanya madrasah menahan lapar dan dahaga. Ia adalah latihan mengawal lidah, jari, emosi dan keinginan kita untuk bercakap tentang semua perkara.
Rasulullah saw bersabda: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” (HR Bukhari dan Muslim).
Tidak semua isu memerlukan komen kita. Tidak semua khabar memerlukan reaksi kita. Kadangkala, diam itu lebih hampir kepada takwa.
Bahaya sebar maklumat tanpa tapisan
Satu lagi cabaran zaman ini ialah budaya sensasi apabila orang suka kepada cerita ‘panas’, suka membuka aib, suka mengetahui keburukan orang lain. Sedangkan Islam mendidik kita untuk menutup, bukan menyebar.
Allah swt memberi amaran keras dalam Surah An-Nur, ayat 19: “Sesungguhnya orang yang suka tersebarnya perkara keji dalam kalangan orang beriman, bagi mereka azab yang pedih.”
Kita perlu sedar bahawa menyebarkan gosip, tuduhan dan fitnah, walaupun sekadar menekan butang kongsi, tidak pernah menjadi perkara kecil di sisi Allah.
Sudah tiba masanya kita membina budaya baru dalam masyarakat Muslim iaitu budaya ilmu, budaya semak, budaya tenang, budaya memelihara maruah.
Demikian wajah takwa yang sangat kita perlukan hari ini.
Jika kita benar-benar mahu mengikut sunah Nabi, maka sunah itu bukan hanya pada simbol luaran dan pergerakan ibadah, namun pada disiplin menjaga lisan, tulisan dan kesan tindakan kita kepada orang lain.
Semoga Allah swt menjadikan kita generasi bertakwa yang membina ummah dengan hikmah, memimpin dengan akhlak dan menyatukan masyarakat melalui kebenaran.
Penulis ialah Presiden Persatuan Muhammadiyah.

