Topik diikuti
Pergi ke BHkuJalan tuju ‘husnul khatimah’ berlandas iman, takwa
Jalan tuju ‘husnul khatimah’ berlandas iman, takwa
Ibadah, akhlak dan taubat bentuk hidup yang diredai hingga ke akhir hayat
Jalan tuju ‘husnul khatimah’ berlandas iman, takwa
Ustaz Muhammad Huzaifatul Harith Mohamad Hasbi
Sebagai umat Islam, setiap daripada kita menginginkan pengakhiran yang baik, atau dipanggil sebagai husnul khatimah.
Secara tidak langsung, kita mengakui hidup di dunia bersifat sementara dan kita percaya akhirat adalah kehidupan abadi.
Dengan kepercayaan dan keimanan ini, kita membuktikannya melalui perbuatan atau ibadah, sebagai seorang hamba yang mengabdikan dirinya kepada Tuhan sekalian alam, Yang Maha Besar lagi Maha Agung.
Sesuai dengan firman Allah swt dalam Surah Adz-Dzariyat, ayat 56: “Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku.”
Dalam ayat ini, Allah swt memberitahu kita bahawa tujuan manusia diciptakan tidak lain dan tidak bukan adalah untuk beribadah kepada Allah swt, iaitu dengan mengabdikan diri kepada-Nya.
Allah swt juga berfirman dalam Surah Al-An’am, ayat 162 dan 163: “Katakanlah (Muhammad), sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam. Tidak ada sekutu bagi-Nya. Itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama-tama berserah diri (Muslim).”
Ayat ini menuntut kita agar ikhlas dalam ibadah dan secara tidak langsung menjalani hidup dengan matlamat memperoleh keredaan Allah swt, dengan berserah kepada-Nya serta tidak menyekutukan-Nya.
Pengakhiran yang baik
Begitulah kehidupan yang perlu kita lalui agar setiap daripada kita dapat mencapai keteguhan iman dan takwa, serta dapat mengakhiri hidup dengan husnul khatimah.
Untuk mendapatkan pengakhiran yang baik adalah dengan menerima berita gembira di akhir hayat kita.
Ini bermaksud setiap daripada kita selagi belum sampai ajalnya dan tidak mengetahui akan keadaan pengakhirannya.
Oleh itu, setiap daripada kita perlu berusaha sedaya upaya untuk terus melakukan kebaikan dengan menyebarkan keihsanan dan kasih sayang kepada sesama insan.
Ini selain mencapai ketakwaan dalam mengabdikan diri kepada Allah swt, Tuhan sekalian alam.
Allah swt berfirman dalam Surah Yunus, ayat 62 hingga 64: “Ketahuilah bahawa sesungguhnya (bagi) para wali Allah itu tidak ada rasa takut yang menimpa mereka dan mereka pun tidak bersedih. (Mereka adalah) orang-orang yang beriman dan selalu bertakwa. Bagi mereka, berita gembira di dalam kehidupan di dunia dan di akhirat. Tidak ada perubahan bagi kalimat-kalimat (ketetapan dan janji) Allah. Demikian itulah kemenangan yang agung.”
Daripada ayat ini, ulama meletakkan syarat untuk mencapai pengakhiran yang baik adalah dengan meneguhkan keimanan dan meningkatkan ketakwaan sepanjang kehidupan.
Tingkat iman
Seseorang dapat meneguhkan keimanan dengan terus beribadah dan tidak menyekutukan Allah swt, menerima segala yang ditakdirkan dalam kehidupan serta percaya bahawa ia adalah yang ditentukan Allah-Nya, menjauhi maksiat dan sentiasa mempertingkatkan ilmu agama.
Ketika Rasulullah saw ingin membangunkan kesatuan masyarakat Islam di Madinah pada awal ketibaan Baginda, Baginda saw bersabda:
“Kalian tidak akan masuk syurga sampai kalian beriman, dan kalian tidak akan beriman sampai kalian saling mencintai. Mahukah kalian aku tunjukkan sesuatu jika kalian melakukannya maka kalian akan saling mencintai? Sebarkanlah salam di antara kalian, berilah makan, sambungkan silaturahim dan bangunlah malam (untuk beribadah) ketika ramai yang tidur.” (HR Muslim).
Cara saling cinta-mencintai yang diajarkan Rasulullah saw:
1. Saling menyebarkan salam
2. Memberi makan
3. Menyambung silaturahim
4. Bangun di tengah malam untuk beribadah kepada Allah swt
Hadis ini mengajarkan kita di samping menjaga hubungan dengan Allah swt sebagai membuktikan keimanan kita kepada-Nya, kita juga perlu menjaga hubungan sesama manusia kerana Rasulullah saw bersabda:
“Tidak akan beriman sehingga kalian saling mencintai.” (HR Muslim).
Ciri orang bertakwa
Untuk mempertingkatkan ketakwaan, kita perlu menjaga hubungan sesama manusia selain mengeratkan hubungan dengan Allah swt melalui ibadah.
Firman Allah swt dalam Surah Ali Imran ayat 133 hingga 135 yang menerangkan ciri-ciri orang bertakwa: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang bertakwa.
Iaitu orang-orang yang menginfakkan hartanya pada masa senang dan susah, orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan yang lain. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.
Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah – dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).”
Dalam ayat 133, Allah swt mengajak kita agar bersegera memohon keampunan-Nya, dan syurga yang seluas langit dan bumi disediakan untuk orang-orang yang bertakwa.
Maka pada ayat seterusnya, Allah swt menerangkan ciri-ciri orang yang bertakwa.
Mari kita renung bersama-sama, adakah ciri-ciri tersebut ada dalam diri kita?
1) Orang yang menginfakkan hartanya atau tenaganya tanpa mengira keadaan, sama ada senang atau susah, lapang atau sempit, sentiasa mengutamakan kesenangan orang lain melebihi kesenangan dirinya.
2) Orang yang menahan marah.
Kemarahan adalah sebahagian daripada perasaan manusia secara semula jadi, tetapi maksud ayat ini adalah menahan marah agar kemarahan tidak menguasai dirinya, iaitu kemarahan yang tidak dizahirkan.
3) Orang yang memaafkan orang lain.
Allah swt menggunakan kalimah ‘orang’, yang merupakan kata umum tanpa terkait dengan agama, bangsa dan latar belakang.
Allah swt juga menjanjikan kemaafan bagi seorang hamba sekiranya beliau dapat memaafkan orang lain dan berlapang dada.
4) Orang yang sentiasa melakukan kebaikan dan kebajikan.
5) Orang yang melakukan kekejian dan menzalimi dirinya, lalu mengingati Allah swt kemudian meminta pengampunan daripada-Nya.
Beliau juga berusaha sedaya upaya untuk tidak mengulangi kekejian dan kezaliman tersebut, sedangkan beliau mengetahui perbuatan itu adalah satu kesalahan.
Apa yang menarik daripada ciri-ciri ini adalah kita dapat melihat keluasan kurniaan rahmat Allah swt kepada kita, dengan Tuhan memberi peluang kepada setiap hamba-Nya untuk mempertingkat ketakwaan agar dapat memperoleh pengakhiran yang baik.
Empat ciri pertama di atas adalah ciri berkaitan dengan kehidupan sosial sesama manusia, dan ini merupakan perkara yang memerlukan usaha yang gigih untuk mengamalkannya.
Namun begitu, Allah swt tidak menutup pintu peluang bagi hamba-Nya untuk mempertingkat ketakwaan kepada-Nya.
Ciri kelima merupakan pintu dan peluang bagi setiap anak Adam meningkatkan ketakwaan kepada Allah swt, iaitu pintu taubat atau kembali kepada-Nya.
Setiap anak Adam tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan kesalahan.
Seperti sabda Rasulullah saw: “Setiap anak Adam berbuat salah dan sebaik-baik mereka yang bersalah adalah mereka yang bertaubat.” (HR Tirmidzi).
Maka dengan limpahan kurnia rahmat-Nya, Allah swt menjadikan landasan taubat sebagai salah satu ciri orang bertakwa.
Rasulullah saw juga mengajarkan melalui sabdanya: “Bertakwalah kepada Allah di mana-mana pun engkau berada, iringilah perbuatan buruk dengan perbuatan baik, maka kebaikan akan menghapuskan keburukan itu, dan pergaulilah manusia dengan akhlak yang baik.” (HR Tirmidzi).
Kesimpulan
Orang yang bertakwa bukan sahaja meminta pengampunan atas dosanya, malah sentiasa mencari peluang untuk melakukan kebaikan agar ia dapat menghapuskan keburukan yang telah dilakukannya.
Jalan kembali kepada Allah swt juga merupakan jalan mendapat bimbingan atau hidayah daripada-Nya, seperti yang difirmankan dalam Surah Asy-Syura, ayat 13: “Allah memilih orang yang Dia kehendaki pada (agama)-Nya dan memberi petunjuk pada (agama)-Nya bagi orang yang kembali (kepada-Nya).”
Maka, jadikanlah taubat sebagai jalan mendapat bimbingan Allah swt dan mempertingkat ketakwaan.
Justeru, untuk mendapatkan pengakhiran yang baik, kita hendaklah menjalani kehidupan dengan meneguhkan keimanan dan mempertingkat ketakwaan.
Allah swt berfirman dalam Surah Ali Imran, ayat 102: “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa kepada-Nya dan janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan Muslim.”
Ayat ini memberi kita peringatan untuk hidup dalam keadaan beriman dan bertakwa yang sebenar-benarnya, serta mengakhiri hidup dalam keadaan Muslim.
Seorang Muslim yang beriman dan bertakwa akan sentiasa memastikan perjalanan hidupnya berada dalam keredaan Allah swt.
Pepatah Arab menyatakan: “Siapa yang hidupnya atas suatu perkara, maka kematiannya juga di atas keadaan tersebut.”
Maka, andai kita ingin mati dan mengakhiri hidup dengan pengakhiran yang baik, berusahalah untuk hidup dalam keadaan sebaik mungkin dengan meneguhkan keimanan serta mempertingkatkan ketakwaan.
Semoga kita semua diberi kesedaran dan dibuka hati untuk terus menjalani hidup sebagai orang yang beriman dan bertakwa serta dikurniakan husnul khatimah, insya-Allah.
Penulis ialah Ketua Jabatan Dakwah dan Pengajian Islam Masjid Assyakirin. Beliau memiliki ijazah Sarjana Muda dalam bidang Tafsir daripada Universiti Al-Azhar, Mesir.
