Sebagai manusia, kita memerlukan pedoman serta tunjuk ajar dalam menjalani kehidupan dan membuat pilihan yang baik.

Dalam Islam, soal bimbingan dan teladan amat dititikberatkan kerana akhlak dan amalan seseorang banyak dibentuk melalui contoh yang baik.

Kita memerlukan insan yang boleh dicontohi akhlaknya, diteladani cara mereka melakukan kebaikan, serta dipelajari cara untuk kekal istiqamah dalam melaksanakan amal soleh.

Seperti yang kita maklum, Rasulullah saw diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.

Namun, selain Baginda saw, kita juga mempunyai teladan agung dalam kalangan kaum wanita yang banyak menyumbang kepada perkembangan Islam.

Antaranya ialah isteri Rasulullah saw yang memiliki keperibadian unggul serta pengorbanan besar dalam mendukung dakwah Islam.

Dalam artikel kali ini, dua isteri Baginda yang bakal diketengahkan ialah Sayidatina Khadijah ra dan Sayidatina Aisyah ra.

Kita sedia maklum mengenai sumbangan mereka sejak awal perkembangan Islam.

Mereka bukan sahaja menjadi pendamping setia Rasulullah saw, malah turut memainkan peranan penting dalam membantu dan menguatkan perjuangan dakwah Baginda dalam menyebarkan Islam.

Berani berdikari

Pertama, kita menelusuri keperibadian Sayidatina Khadijah ra.

Terdapat banyak sifat terpuji yang boleh kita pelajari dan teladani daripada beliau.

Sayidatina Khadijah ra dikenali sebagai seorang usahawan yang berjaya, sekali gus membuktikan golongan Hawa mampu berdikari, bijak merancang kewangan, serta memainkan peranan besar dalam masyarakat tanpa mengabaikan nilai keimanan dan akhlak.

Sayidatina Khadijah ra merupakan contoh teladan wanita yang berani dan berdikari.

Keberanian beliau terserlah apabila menceburi bidang perniagaan pada zaman, yang kebanyakannya dikuasai kaum lelaki.

Tanpa bergantung kepada orang lain, beliau menguruskan perniagaannya dengan penuh kebijaksanaan, amanah dan wawasan sehingga muncul sebagai antara tokoh perniagaan yang berjaya di Makkah.

Sikap berdikari Sayidatina Khadijah ra juga jelas terpancar melalui keteguhan prinsip serta keyakinan dirinya.

Beliau berani membuat keputusan penting, memilih rakan niaga yang jujur, serta mempertahankan nilai kebenaran meskipun berdepan tekanan masyarakat.

Keberanian ini bukan sekadar dari sudut fizikal, malah keberanian moral dan intelektual – berani berfikir, bertindak serta memikul tanggungjawab dengan penuh hikmah.

Selain itu, Sayidatina Khadijah ra menggunakan kekayaan dan kedudukannya ke jalan kebaikan.

Beliau menyokong perjuangan dakwah Rasulullah saw dengan penuh pengorbanan, membuktikan sifat berdikari bukan sekadar untuk mencapai kejayaan peribadi, malah sebagai wasilah untuk memberi manfaat kepada umat dan masyarakat.

Justeru, wanita hari ini dapat mengambil inspirasi untuk menjadi lebih yakin, berusaha membina kestabilan diri, tidak mudah goyah dengan cabaran kehidupan termasuk soal kewangan, serta berupaya menyara diri dan keluarga melalui sumber yang halal dan berkat.

Hakikatnya, keberanian dan sikap berdikari yang ditunjukkan Sayidatina Khadijah ra membawa maksud keyakinan terhadap kemampuan diri, berpegang teguh pada nilai murni, serta memanfaatkan segala kelebihan yang dikurniakan Allah swt untuk kebaikan bersama.

Teladan ini wajar dicontohi bukan sahaja oleh wanita, malah oleh setiap anak muda dalam membina jati diri yang kukuh, berprinsip dan berakhlak mulia.

Rancang kewangan dengan baik

Membuat perancangan kewangan merupakan satu keperluan yang sentiasa relevan sepanjang zaman.

Dalam hal ini, Sayidatina Khadijah ra menjadi contoh teladan bukan sahaja sebagai wanita yang berani dan berdikari, malah bijak mengurus harta serta merancang kewangan dengan penuh hikmah.

Sayidatina Khadijah ra mengembangkan hartanya melalui perdagangan dan pelaburan yang berstrategi.

Pada masa sama, meskipun memiliki kekayaan yang besar, beliau tidak bersikap boros atau membazir.

Sikap ini memberi pengajaran bahawa pengurusan kewangan yang baik bukan sekadar soal mengumpul harta, tetapi bagaimana menggunakannya secara amanah dan bermanfaat.

Dalam kehidupan hari ini, kita boleh mencontohi beliau dengan membina tabiat menyimpan dan melabur secara bijaksana, mempelajari asas pelaburan patuh syariah, serta membezakan antara keperluan dengan kehendak.

Lebih penting, kekayaan yang dimiliki Sayidatina Khadijah ra tidak hanya dimanfaatkan untuk kepentingan peribadi, bahkan digunakan untuk menyokong perjuangan dakwah Rasulullah saw.

Ini menunjukkan harta yang dikurniakan Allah swt bukan sekadar nikmat, malah amanah yang boleh dimanfaatkan untuk membantu agama dan masyarakat.

Dengan mencontohi sifat dermawan Sayidatina Khadijah ra, kita dapat menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan, sekali gus meraih manfaat bukan sahaja di dunia, malah di akhirat kelak.

Namun, Islam tidak melarang seseorang berbelanja untuk dirinya sebagai penghargaan atas penat lelah bekerja.

Setiap perbelanjaan wajar dirancang dengan baik agar tidak mengganggu simpanan dan kestabilan kewangan.

Cerdas dan cinta ilmu

Sosok kedua yang wajar dijadikan teladan ialah Sayidatina Aisyah ra, isteri Rasulullah saw yang tidak kurang sumbangannya kepada perkembangan Islam.

Keilmuan, kecerdasan dan ketokohan beliau menjadi panduan berharga dalam membentuk akhlak dan keperibadian Muslimah yang unggul.

Dua sifat utama Sayidatina Aisyah ra ialah kecerdasan serta kecintaan beliau terhadap ilmu, selain semangat tinggi dalam menuntut dan menyebarkan ilmu kepada umat.

Sayidatina Aisyah ra dikenali sebagai seorang wanita yang sangat cerdas serta dahaga akan ilmu.

Kecintaan beliau terhadap ilmu terserlah apabila menjadi antara yang paling banyak meriwayatkan hadis Nabi saw, sekali gus memainkan peranan penting sebagai sumber rujukan ilmu dan fatwa dalam kalangan para sahabat.

Keilmuan beliau bukan sahaja tertumpu kepada hadis dan fiqah, bahkan turut merangkumi bidang seperti perubatan, syair serta pelbagai cabang ilmu lain.

Daya ingatan yang kuat serta sifat kritis menjadikan beliau seorang yang sentiasa ingin memahami sesuatu dengan lebih mendalam.

Beliau tidak segan bertanya terus kepada Rasulullah saw tentang perkara yang kurang difahami, sekali gus menunjukkan menuntut ilmu memerlukan kesungguhan, rasa ingin tahu dan kerendahan hati.

Daripada keperibadian Sayidatina Aisyah ra, kita dapat memahami menuntut ilmu tidak terhenti apabila seseorang menggenggam segulung ijazah, bahkan ia merupakan perjalanan berterusan sepanjang hayat.

Ilmu ialah jalan memperbaiki diri, memperkukuh iman serta meningkatkan kefahaman dalam menjalani kehidupan.

Sama ada ilmu agama mahupun ilmu duniawi yang bermanfaat, kedua-duanya penting dengan keperluan dan tanggungjawab yang dipikul.

Selain kecerdasan, Sayidatina Aisyah ra juga menonjol melalui semangat belajar dan mengajar yang tinggi.

Rasa cintanya terhadap ilmu diterjemahkan melalui kesungguhan untuk terus bertanya, memahami dan mendalami ajaran Islam.

Sebagai isteri Rasulullah saw, beliau memanfaatkan hubungannya dengan Baginda untuk menimba ilmu agama secara mendalam.

Setelah kewafatan Rasulullah saw, Sayidatina Aisyah ra menjadi antara sumber rujukan utama dalam ilmu hadis, fiqah dan tafsir, malah aktif mengajar serta membimbing generasi seterusnya.

Kesimpulan

Sikap mulia ini wajar kita hayati dan terapkan dalam kehidupan harian.

Ilmu yang diperoleh bukan sekadar untuk manfaat diri sendiri, sebaiknya dikongsi agar dapat memberi manfaat kepada orang lain.

Dengan menyampaikan ilmu yang baik dan bermanfaat, kita bukan sahaja membantu meningkatkan kefahaman manusia, malah menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang lebih berilmu, berakhlak dan dekat kepada ajaran Allah swt.

Sesungguhnya, kisah Sayidatina Khadijah ra dan Sayidatina Aisyah ra hanyalah sebahagian teladan agung isteri Rasulullah saw yang sarat dengan hikmah dan pengajaran.

Keberanian, kebijaksanaan, kecintaan terhadap ilmu serta pengorbanan mereka wajar dijadikan inspirasi agar kita dapat menjadi hamba Allah swt yang menjalani kehidupan di dunia ini dengan penuh makna, berpandukan iman, akhlak dan amal.

Penulis ialah lulusan Mahaad Qiraat Mansoura, Mesir, dan guru di Madrasah Tahfiz Sekolah Ugama Radin Mas.