Topic followed successfully
Go to BHkuAmal gaya hidup mampan sepanjang Lebaran
Amal gaya hidup mampan sepanjang Lebaran
Elak beli, masak berlebihan, guna sumber dengan bijak pada musim perayaan
Amal gaya hidup mampan sepanjang Lebaran
Amanah adalah kepercayaan, titipan, atau tanggungjawab yang diberikan kepada seseorang dan mesti dijaga serta dilaksanakan dengan sebaiknya, tanpa mengingkarinya.
Istilah itu berasal daripada bahasa Arab, amina-amanatan, yang bermaksud jujur dan boleh dipercayai.
Sifat ini meliputi kewajipan individu kepada Allah swt, keluarga, masyarakat, bahkan alam sekitar.
Firman-Nya dalam Surah Al-Baqarah, ayat 30: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi’.”
Sebagai khalifah, manusia diberi tanggungjawab menjaga amanah, termasuk amanah terhadap alam.
Alam adalah ciptaan Allah swt untuk kegunaan manusia, bukan untuk disalahgunakan.
Oleh itu, menjaga bumi dan sumber semula jadi adalah sebahagian daripada tanggungjawab kita.
Sebagai khalifah di muka bumi, manusia diberikan amanah untuk mengurus alam dengan adil dan penuh hikmah.
Gaya hidup mampan bukanlah isu moden semata, namun merupakan ajaran Islam yang telah lama dituntut sejak zaman dahulu.
Firman Allah swt dalam Surah Al-A’raf, ayat 56: “Dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi sesudah Allah memperbaikinya…”
Amanah terhadap alam
Terdapat beberapa aspek utama yang menjadikan amanah terhadap alam sebagai tanggungjawab kita.
1) Tidak merosak bumi: Ini termasuk larangan menebang hutan sesuka hati, mencemar sungai atau laut, serta membazirkan sumber semula jadi.
2) Guna sumber secara berhemah: Air, tanah, udara dan tumbuhan perlu digunakan secukupnya, bukan berlebihan atau melampau.
3) Pelihara keseimbangan ekosistem: Usah mengganggu keseimbangan alam yang boleh menjejas makhluk lain.
Contohnya, kawal pemburuan haiwan; jika haiwan pupus, rantaian makanan akan terganggu dan memberi kesan kepada seluruh ekosistem.
Tanggungjawab Muslim pada Hari Raya
Syawal biasanya dikaitkan dengan kegiatan memasak, jamuan, dan majlis keluarga, namun ia juga berpotensi membawa pembaziran.
Beberapa langkah praktikal untuk mengamalkan gaya hidup mampan termasuk:
1) Kurangkan pembaziran makanan.
Allah swt berfirman dalam Surah Al-Isra’, ayat 27: “Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”
Semasa Syawal, pastikan hidangan disediakan mengikut keperluan, simpan lebihan makanan dengan bijak, dan elak membeli atau memasak secara berlebihan.
2) Jaga kebersihan.
Kebersihan sebahagian daripada iman.
Oleh itu, usah membuang sampah merata dan pastikan sungai, udara, serta tanah bebas daripada pencemaran.
Semasa jamuan dan majlis sepanjang Syawal, pastikan pinggan, bekas, dan sisa makanan diurus dengan bersih.
Alam yang terjaga memberi manfaat kepada manusia, haiwan, tumbuhan, dan generasi akan datang.
3) Amal konsep 3R – Kurangkan, Guna Semula, Kitar Semula (Reduce, Reuse, Recycle).
– Kurangkan (Reduce): Kurangkan penggunaan sumber secara berlebihan, seperti air, elektrik dan plastik sekali guna semasa persiapan Syawal.
– Guna semula (Reuse): Gunakan semula barangan yang masih baik, contohnya bekas kuih, pinggan, atau bungkusan.
– Kitar semula (Recycle): Kitar semula bahan buangan seperti kertas, kaca, logam dan plastik.
Konsep itu sejajar dengan prinsip Islam yang menolak pembaziran, sebagaimana firman Alalh swt dalam Surah Al-A‘raf ayat 31: “Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.”
Justeru dengan 3R, kita bukan sahaja memelihara bumi, malah melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah.
4) Guna sumber tenaga secara berhemah.
Gunakan elektrik, air, dan sumber tenaga lain hanya bila perlu.
Contohnya, semasa menyiapkan kuih Raya atau menyediakan hidangan besar, matikan peralatan elektrik selepas digunakan.
5) Sokong pertanian, produk mesra alam.
Pilih makanan sihat dan produk mesra alam, termasuk hasil tani tempatan atau barangan berasas bahan semula jadi.
Semasa Syawal, apabila memasak dan menyediakan juadah Raya, menggunakan bahan tempatan membantu mengurangkan pembaziran serta mengekalkan kesegaran makanan.
Inisiatif pertanian bandar seperti ladang hidroponik dan kebun masyarakat membantu menghasilkan sayur segar dengan kaedah lebih mesra alam; mengurangkan pembaziran dan jejak karbon; serta menggalakkan kesedaran terhadap sumber makanan.
Selain itu, menyokong produk mesra alam juga boleh dilakukan dengan memilih barangan harian berasaskan bahan semula jadi, seperti beg guna semula; sabun tanpa bahan kimia berbahaya; atau produk yang menggunakan pembungkusan boleh dikitar semula.
6) Jaga haiwan, tumbuhan.
Di Singapura, menjaga haiwan boleh dilihat melalui usaha memberi perlindungan kepada kucing jalanan, tidak mengganggu burung di taman awam, serta menyokong inisiatif Persatuan Cegah Kekejaman ke atas Binatang (SPCA) dalam memelihara kebajikan haiwan.
Dari sudut tumbuhan pula, masyarakat boleh memelihara pokok di kawasan perumahan, menyertai projek masyarakat seperti Duta Kemekaran Dalam Kalangan Masyarakat di bawah Lembaga Taman Negara (NParks), atau sekadar tidak merosakkan tanaman di taman botani dan taman awam.
Semasa Syawal, apabila ramai berkunjung ke rumah sanak saudara, berjalan di taman atau kawasan perumahan, perhatian terhadap haiwan dan tumbuhan menjadi lebih penting.
Pastikan tidak mengganggu haiwan jalanan, tidak memetik bunga atau merosakkan pokok di taman awam dan membuang sampah pada tempatnya.
Kesimpulan
Justeru, langkah kecil di atas membantu mengekalkan keseimbangan alam walaupun pada musim perayaan yang sibuk.
Menjaga amanah terhadap alam adalah tanda syukur kepada Allah swt.
Ia bukan sahaja tanggungjawab peribadi, malah tanggungjawab bersama sebagai khalifah di muka bumi, termasuk semasa kita meraikan Syawal dengan penuh kesederhanaan dan berhemah.
Penulis ialah lulusan Mahaad Qiraat Mansoura, Mesir, dan guru di Madrasah Tahfiz Sekolah Ugama Radin Mas.

