Topik diikuti
Pergi ke BHkuHidupkan hati dengan iman, muhasabah diri
Hidupkan hati dengan iman, muhasabah diri
Hidupkan hati dengan iman, muhasabah diri
Hati seorang Mukmin tidak pernah sunyi daripada rasa yang lahir hasil keimanannya kepada Allah swt.
Apabila melakukan kebaikan, beliau akan berasa ketenangan dan kelapangan jiwa.
Namun, apabila terjerumus dalam kemaksiatan, hatinya akan dihimpit rasa sedih, gelisah, dan penyesalan.
Demikian antara tanda hidupnya hati dan benarnya iman seseorang, sebagaimana disebutkan dalam hadis:
“Sesiapa yang bergembira dengan kebaikannya dan berdukacita dengan keburukannya, maka beliau adalah seorang Mukmin.” (HR Tirmizi, Ahmad, Al-Hakim).
Hati seorang Mukmin tidak diganggu keresahan, jiwanya tidak dibebani kegusaran dan perbuatannya tidak menimbulkan tanda tanya dalam dirinya.
Sebaliknya, apabila melakukan maksiat, hati seorang Mukmin akan dihimpit rasa dukacita, gelisah dan sempit.
Beliau berasa sedih kerana tewas kepada hawa nafsu, menyesal kerana melanggar perintah Allah swt, serta malu kerana menggunakan nikmat Allah swt pada jalan yang tidak diredai-Nya.
Maka, marilah kita bermuhasabah terhadap diri sendiri. Apakah yang kita rasakan apabila melakukan ketaatan?
Apakah pula yang hadir dalam hati saat kita melakukan kemaksiatan?
Jika kebaikan tidak lagi menghadirkan kegembiraan dan dosa tidak lagi menimbulkan penyesalan, maka ada sesuatu dalam diri yang perlu diperbetulkan.
4 golongan manusia
Sesungguhnya manusia terbahagi kepada empat golongan:
1) Mereka yang berasa senang melakukan kebaikan dan benci apabila melakukan kesalahan.
2) Mereka yang berasa senang melakukan maksiat dan benci melakukan ketaatan.
3) Mereka yang berasa senang dalam kedua-duanya – sama ada ketaatan mahupun kemaksiatan.
4) Mereka yang benci kedua-duanya sekali.
Justeru, wajar direnungkan kita tergolong dalam golongan yang mana?
Apabila kembali menghadap Allah swt kelak, golongan manakah yang kita ingin bersama?
Dalam hidup ini, pelbagai pengalaman, kesilapan dan amal perbuatan telah kita lalui.
Ada yang baik, maka bersyukurlah kepada Allah swt atas segala taufik dan hidayah-Nya.
Ada pula yang buruk, maka mohonlah keampunan daripada-Nya agar segala dosa dan kesilapan diampuni, serta tidak menjadi penghalang untuk kita terus meraih rahmat dan kasih sayang Allah swt.
Dosa yang tidak diampun
Sabda Nabi saw: “Setiap daripada umatku diampunkan dosa-dosanya, kecuali orang-orang Mujahirun…” (HR Bukhari)
Siapakah golongan Mujahirun?
Mereka ialah orang yang mendedahkan dan berbangga dengan dosa yang dilakukan kepada orang lain.
Oleh itu, kita perlu berhati-hati agar tidak membuka aib yang telah Allah swt tutupi.
Jangan sampai dosa yang sepatutnya menjadi ruang untuk kita bertaubat, akhirnya dihebahkan pula kepada manusia.
Perbuatan ini mencerminkan rasa senang terhadap kemaksiatan dan boleh menjadi sebab terhalangnya keampunan Allah swt.
Pesanan buat orang tua
Dalam berkongsi pengalaman hidup dengan anak, cucu atau sesiapa sahaja, meskipun sekadar bergurau atau dijadikan pengajaran, elak daripada menceritakan kisah silam yang bertentangan dengan ajaran agama dengan nada bangga atau suka.
Contohnya, “Dulu atuk ni gengster kampung nombor satu, semua budak kampung pernah kena bantai dengan atuk. Perempuan pun tergila-gilakan atuk”.
Kata-kata seperti ini dikhuatiri menjadi ikutan dan menanam rasa kagum terhadap kemaksiatan dalam jiwa generasi muda.
Jangan sampai kerana kisah yang kita banggakan, orang lain terdorong mencontohi perbuatan tersebut, lalu dosa itu terus mengalir walaupun kita telah tiada.
Sedangkan yang kita harapkan adalah keampunan Allah swt, namun, yang kita peroleh adalah dosa berpanjangan.
Kesimpulan
Maka didiklah diri agar sentiasa menyesali setiap kesilapan dan membenci kemaksiatan yang pernah dilakukan.
Berazamlah bersungguh-sungguh untuk tidak mengulanginya lagi.
Manakala setiap kebaikan yang mampu kita lakukan, syukurilah ia sebagai tanda taufik, rahmat dan kasih sayang Allah swt yang masih memberi peluang kepada kita untuk taat kepada-Nya.
Mohon kepada Allah swt agar terus diberikan kekuatan dan keizinan untuk melakukan amal soleh selagi usia dan waktu masih dipinjamkan di dunia ini.
Selagi mana diizinkan untuk melakukan kebaikan, itulah tanda kita dicintai Allah, dan itulah syurga bagi orang beriman dirasai di dunia ini.
Mati dan akhirat itu pula sebagai pertemuan dengan Kekasih yang dinanti-nanti.
Semoga Allah swt terus menyuburkan iman dalam hati-hati kita, menghapuskan titik-titik dosa dan noda daripada catatan amalan kita, serta mengurniakan husnul khatimah buat kita semua, amin.
Pesan Ustaz Fatris:
Gendang berbunyi rancak menari
di tepi sumur lekanya sangat
Buanglah sunyi yang memakan diri
teruskan umur dengan semangat
Sampan dikayuh beramai-ramai
langsung tidak lesu dan layu
Kalaulah sungguh mengharap damai
ayuh bertindak mengikut Wahyu
Pencak pahlawan menghadap bahaya
susun gerakan kaki dan tangan
Kitab Al-Quran penuh cahaya
janganlah bosan jadikan pegangan
Melilit tali dalam ikatan
dibuat si fakir daripada benang
Jelas sekali panduan Al-Quran
dengan berzikir jiwa pun tenang
Sebak di dada bertukar haluan
yang manis jangan berubah kelat
Kalaulah ada hajat keperluan
mohonlah dengan sabar dan solat
Orang perempuan di tengah serambi
membungkus bekal buat si teman
Dengarlah tuan pedoman Nabi
supaya kekal hiasan iman
Budak berlari turun dan naik
nafas tercungap mendaki bukit
Gembirakan diri apabila baik
bila tersilap rasakan sakit
Artikel ini disumbang oleh Masjid Al-Muttaqin.
