Topik diikuti
Pergi ke BHkuHidupkan adab, kasih sayang rentas generasi
Hidupkan adab, kasih sayang rentas generasi
Hidupkan adab, kasih sayang rentas generasi
Sebagai pendahuluan, perlu diketengahkan dalam Islam – semua insan, tua atau muda – layak mendapatkan penghormatan dan layanan sewajarnya.
Yang lebih tua dihormati dan dimuliakan, yang muda dikasihi dan disayangi.
Bahkan ini adalah identiti umat Nabi Muhammad saw. Sabda Baginda saw:
“Bukan daripada golongan kami, orang yang tidak memuliakan yang lebih tua dan tidak mengasihi yang lebih muda.” (HR Tirmidzi, Ahmad).
Rentetan daripada anjuran ini, Allah swt juga mengajarkan hamba-Nya cara melayani ibu bapa di dalam Surah Al-Isra’, ayat 23 dan 24, antaranya dengan:
1) Berbuat baik
2) Tidak membentak dan berkata yang kasar
3) Bercakap dengan perkataan yang mulia
4) Merendah hati terhadap mereka dengan kasih sayang
5) Mendoakan rahmat buat mereka
Anjuran ini bermula dengan kedua ibu bapa kita, namun tidak terhenti kepada mereka sahaja.
Ia wajar diperluas kepada semua yang lebih berusia daripada kita.
Apabila golongan tua dimuliakan, pengalaman mereka dihargai dan keperluan mereka disantuni, di situlah terbitnya kasih sayang mereka kepada yang lebih muda.
Lantaran itu, mengalirlah doa, harapan serta bimbingan yang baik buat generasi muda, sekali gus menyuburkan kitaran kasih sayang dalam masyarakat, merentas umur dan generasi.
Demikian antara tujuan program, Santunan Emas, iaitu untuk sama-sama kita menyantuni generasi emas, yang melalui usaha dan kebaikan mereka suatu ketika dahulu, telah membuka jalan kepada nikmat dan kemudahan yang kita kecapi hari ini.
Selain itu, program itu juga bertujuan memberi sokongan kerohanian kepada warga emas serta penjaga mereka.
Sabda Baginda saw: “Tiada ketaatan kepada makhluk Allah pada perkara yang menderhakai Allah.” (HR Ahmad).
Taat kepada Tuhan
Makhluk dari segi bahasa, adalah yang dicipta, yakni yang dicipta oleh Allah swt.
Namun, para ulama memberi takrif lebih menyeluruh iaitu ‘segala sesuatu selain Allah’.
Melalui takrif itu, terangkum segala sesuatu yang boleh mendorong dan menyuruh manusia – sama ada kepada maksiat atau perkara taat; manusia lain, nafsu, perasaan, sifat, keadaan dan lain-lain lagi.
Kesimpulannya, tidak ada yang boleh kita taati jika perkara itu melanggar ketaatan kepada Allah swt, atau pada perkara yang Allah larang – sama ada manusia yang menyuruh kita mencuri sesuatu yang bukan hak kita atau perasaan marah yang menghasut kita merosakkan sesuatu.
Ia sama seperti sifat tamak yang mendorong kita mengaut keuntungan secara zalim, atau hasad yang menginginkan hilangnya nikmat kepada orang lain, mahupun kemurungan yang membuat kita berasa putus asa daripada berharap kepada rahmat Tuhan.
Pesanan untuk ibu bapa
Sebagai ibu bapa, apabila kita menyuruh, menasihati atau mempengaruhi anak melakukan sesuatu, pastikan perkara tersebut tidak melanggar perintah Allah swt.
Sekiranya ia melanggar, maka ketaatan terhadap ibu bapa dalam keadaan itu tidak dibolehkan.
Jangan berkecil hati jika anak tidak mengikuti ‘panduan’, yang menurutnya, tidak sesuai dengan matlamat mencapai kebaikan semata-mata kerana keinginan kita sendiri.
Pada masa sama, sebagai ibu bapa, tidak ada salahnya jika kita mendengar nasihat, usulan dan ketetapan daripada anak jika ia adalah untuk kebaikan dan kesejahteraan diri kita sendiri.
Jadikan Allah sebagai tujuan
Maka, apabila kita meneladani hadis di atas, ia menjadi satu seruan untuk kita menyuburkan cinta kepada Allah swt.
Ini agar segala perintah yang kita turuti tidak terasa membebani, bahkan kerana mengharapkan cinta-Nya, perintah itu kita junjung dengan penuh kesungguhan termasuk ketika ditimpa ujian.
Apabila kita lihat kepada Pemberi ujian, kita tidak boleh menafikan masih banyak nikmat yang Dia kekalkan, berbanding apa yang telah diangkat daripada kita sebagai pinjaman sementara.
Betapa berat sekalipun ujian yang dihadapi, jangan dilupakan sifat Allah yang Maha Penyayang, Maha Pengasih dan Maha Lembut, yang meliputi segala bentuk keindahan dan kelembutan.
Jika itulah sifat Pemberi ujian, pastinya kita tidak akan sia-sia menghadapi segala keperitan itu – sama ada dibalas di dunia dalam bentuk ganjaran, atau di akhirat kelak dengan kepastian pahala.
Segala nikmat yang kita kecapi di dunia dan ganjaran yang menanti di akhirat tidak lain kerana wujudnya cinta Allah swt terhadap hamba-Nya.
Jadikan cinta Allah swt sebagai penguat dan pendorong, melebihi keinginan terhadap nikmat syurga dan ketakutan kepada azab neraka.
Semoga Allah swt merahmati dan memberikan kekuatan kepada kita untuk menghadapi segala ujian, membimbing kita untuk membezakan antara hak dengan batil, serta menganugerahkan kelegaan dan ketenangan daripada segala kesakitan dan kerunsingan. Amin.
Pesan Ustaz Fatris:
“Jalan dititi Jangan terjatuh
begitu emak memberi pesan
Kenapa mesti kita ni patuh
kerana dia Tuhan kita insan.
Tak boleh tidur mata berjaga
walau memanjang bantal dipeluk
Jangan hanya mengejar syurga.
kerana syurga sekadar makhluk.
Pandan menghijau di hujung halaman
daunnya dipotong perlahan-lahan
Secantik-cantik, cantik syurga idaman
tidak terbanding cintanya Tuhan.
Habis hujan suasananya redup
terbang merpati melintas lalu
Tunduklah patuh sepanjang hidup
kalau tidak mendapat malu.”
Artikel ini disumbang oleh Masjid Al-Muttaqin.
