Topik diikuti
Pergi ke BHkuHayati erti pengorbanan pada 10 hari pertama Zulhijah
Hayati erti pengorbanan pada 10 hari pertama Zulhijah
Zulhijah peluang tingkat ketaatan, perbanyak amal dalam rutin harian
Hayati erti pengorbanan pada 10 hari pertama Zulhijah
Tidak semua hari dalam hidup mempunyai nilai yang sama.
Ada hari yang berlalu begitu sahaja dan ada hari yang sebenarnya membawa peluang besar bergantung kepada bagaimana kita melihat dan memanfaatkannya.
Dalam kesibukan kehidupan yang tidak pernah berhenti, ramai antara kita menjalani hari demi hari dalam keadaan ‘autopilot’ (pemanduan auto) – bangun, bekerja, memenuhi tanggungjawab dan mengulang rutin yang sama.
Tanpa sedar, kita jarang berhenti untuk bertanya, ke manakah sebenarnya arah hidup ini?
Keletihan bukan sahaja dirasai pada tubuh, malah pada jiwa yang kian hilang arah.
Dalam keadaan demikian, hadirnya 1 Zulhijah sebagai peluang yang kerap terlepas daripada pandangan dan perhatian.
Ia bukan sekadar permulaan bulan dalam kalendar Islam, malah pembukaan kepada 10 hari terbaik dalam setahun – hari-hari yang dipilih Allah swt untuk melimpahkan ganjaran dan rahmat-Nya yang luar biasa.
Rasulullah saw bersabda: “Tidak ada hari-hari yang amal soleh lebih dicintai oleh Allah melebihi hari-hari ini (10 hari pertama Zulhijah).” (HR Bukhari).
Hadis ini memberi gambaran jelas bahawa amalan kecil sekalipun dalam tempoh ini boleh menjadi sangat besar nilainya di sisi Allah swt.
Namun persoalannya, di tengah kesibukan dunia moden hari ini, sejauh manakah kita benar-benar menyedari hadirnya hari-hari istimewa ini, apatah lagi merebut peluang menghidupkannya dengan amal ibadah?
Kita lebih peka terhadap tarikh penting dalam urusan dunia seperti mesyuarat, tarikh akhir dan perancangan harian, namun, kurang memberi perhatian pada waktu yang mempunyai nilai besar di sisi Allah swt.
Lihat masa dengan mata iman
Untuk memahami keistimewaan Zulhijah, kita perlu mengubah cara kita menilai masa.
Secara zahir, hari-hari ini kelihatan sama seperti hari-hari biasa – kita tetap bekerja, belajar dan menjalani rutin harian seperti biasa.
Namun dari sudut pandang iman, ia merupakan ruang waktu yang dipenuhi peluang luar biasa untuk mendekatkan diri kepada Allah swt.
Apabila Allah swt memilih sesuatu waktu atau tarikh sebagai istimewa, itu menunjukkan adanya kelebihan yang tidak terdapat pada waktu lain.
Dalam 10 hari ini, amalan yang kecil boleh menjadi besar nilainya, usaha yang ringan boleh menjadi berat timbangannya dan langkah yang sederhana mampu membawa perubahan mendalam dalam diri seseorang.
Ia mengajar kita untuk menjadi insan yang lebih baik, dengan kita tidak semestinya menunggu perubahan besar.
Adakalanya, perubahan yang ikhlas dan kecil juga mampu membawa kesan yang sangat bermakna di sisi Allah swt.
Sebagai renungan, kita boleh menelusuri satu contoh yang paling jelas tentang hakikat ini.
Zulhijah mengingatkan kita tentang kisah pengorbanan Nabi Ibrahim as dan Nabi Ismail as – sebuah kisah ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada perintah Allah swt.
Kisah ini bukan sekadar peristiwa sejarah, namun, cerminan perjalanan iman setiap manusia.
Ia mengajar bahawa ketaatan kepada Allah swt kadangkala memerlukan kita melepaskan sesuatu seperti masa, keselesaan, ego, atau kebiasaan yang tidak membawa kebaikan.
Dalam kehidupan moden, bentuk pengorbanan mungkin tidak besar, tetapi hadir dalam bentuk kecil yang tekal.
Ia termasuk amalan seperti meluangkan masa untuk ibadah di tengah kesibukan, mengawal emosi ketika tertekan, atau meninggalkan perkara yang melalaikan.
Di sinilah bermulanya perubahan diri yang sebenar.
Namun, cabaran sebenar bukan sekadar memahami kisah tersebut, tetapi menterjemahkannya dalam kehidupan harian.
Kita mungkin tidak diminta untuk melakukan pengorbanan sebesar Nabi Ibrahim as dan Nabi Ismail as, tetapi setiap hari kita berdepan dengan pelbagai pilihan kecil yang menentukan arah hidup kita.
Adakalanya, pengorbanan hadir dalam bentuk yang sangat sederhana, seperti memilih untuk bangun lebih awal bagi menunaikan solat dengan lebih khusyuk, menahan diri daripada kata-kata yang menyakitkan ketika marah, atau meninggalkan perkara yang melalaikan walaupun ia sudah menjadi kebiasaan.
Pilihan kecil ini mungkin kelihatan tidak penting pada pandangan manusia, tetapi di sisi Allah swt, ia adalah tanda ketaatan yang berterusan.
Mungkin di sinilah rahsia 10 hari Zulhijah – ia bukan sekadar tentang melakukan lebih banyak amalan, namun, tentang melatih hati agar taat secara perlahan namun konsisten.
Sepuluh hari pertama ini membuka ruang untuk kita melakukan perkara yang sederhana, tetapi memberi kesan mendalam kepada jiwa dan kehidupan.
Hidupkan nilai Zulhijah
Mari kita meneladani sahabat Nabi saw yang sangat menghargai nilai waktu ini.
Antaranya ialah Abdullah ibn Umar ra, yang dikenali dengan ketelitian beliau dalam mengikuti sunah.
Diriwayatkan, beliau akan memperbanyak takbir pada awal Zulhijah sehingga suaranya kedengaran di pasar, lalu diikuti oleh orang ramai.
Ini menunjukkan ibadah bukan sekadar bersifat peribadi, malah mampu menghidupkan suasana keimanan dalam masyarakat.
Begitu juga Abdullah ibn Abbas ra, sahabat yang terkenal dengan keluasan ilmu dan kefahaman mendalam terhadap Al-Quran serta hadis, termasuk riwayat tentang kelebihan 10 hari pertama Zulhijah.
Sahabat Nabi saw bukan hanya beramal, tetapi benar-benar memahami nilai masa yang dipilih oleh Allah swt dan tidak menunggu keadaan menjadi sempurna untuk berbuat kebaikan, sebaliknya segera merebut peluang yang ada.
Maka antara amalan yang boleh dihidupkan pada Zulhijah ialah memperbanyak zikir, berpuasa khususnya pada hari Arafah, bersedekah walaupun sedikit, serta menjaga dan memperelok solat.
Amalan itu mungkin tampak kecil, tetapi dalam waktu yang dimuliakan ini, nilainya sangat besar di sisi Allah swt.
Lebih penting lagi, ia membantu membina semula disiplin rohani yang sering terhakis dalam kesibukan hidup.
Dalam realiti masyarakat hari ini – dengan tekanan kerja, jadual yang padat dan tuntutan harian – amalan kecil yang konsisten menjadi sangat bermakna.
Ia menenangkan jiwa, memberi makna kepada rutin dan mengingatkan bahawa kehidupan bukan semata-mata tentang pencapaian dunia.
Kesimpulan
Hakikat kehidupan ialah kita tidak pasti sama ada akan bertemu lagi dengan Zulhijah pada tahun berikutnya.
Setiap kali ia hadir, ia membawa peluang yang mungkin tidak akan berulang.
Namun, sering kali manusia lebih peka terhadap peluang dunia seperti dinaikkan pangkat, cuti atau kejayaan kerjaya berbanding peluang akhirat yang jauh lebih besar nilainya.
Zulhijah sebenarnya mengingatkan kita bahawa Allah swt membuka ruang tertentu untuk kita kembali kepada-Nya; ruang yang tidak sentiasa datang, tetapi cukup untuk mengubah arah kehidupan jika dimanfaatkan dengan sebaiknya.
Dalam dunia yang penuh tekanan dan kesibukan, Zulhijah hadir sebagai jemputan untuk kita berhenti sejenak, menilai semula kehidupan dan kembali kepada apa yang benar-benar penting.
Kita mungkin tidak mampu mengubah seluruh kehidupan dalam satu masa, namun kita mampu memulakan langkah kecil dengan niat ikhlas dan usaha tekal.
Maka apabila peluang itu hadir, usah biarkan ia berlalu seperti hari-hari lain.
Mulakan dengan 10 hari pertama Zulhijah kerana mungkin, perubahan besar dalam hidup tidak bermula dengan langkah yang besar, tetapi dengan satu keputusan kecil pada waktu yang Allah swt sendiri pilih.
Artikel ini disumbang oleh Darul Tafsir, Masjid Al-Khair.
