Topik diikuti
Pergi ke BHkuBukti cinta kepada Nabi bukan sekadar kata-kata
Antara cara muliakan Baginda termasuk perbanyak selawat, pertahan kedudukan mulia yang diberi Allah kepada Rasul-Nya
Bukti cinta kepada Nabi bukan sekadar kata-kata
Perasaan cinta adalah fitrah semula jadi yang dikurniakan Allah swt kepada manusia.
Dengan cinta, kehidupan menjadi lebih bermakna kerana daripadanya terbentuk hubungan yang baik dan harmoni.
Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, cinta antaranya bermaksud perasaan sangat sayang kepada seseorang.
Apabila perasaan cinta terbit dalam hati, seseorang akan terdorong untuk melakukan sesuatu bagi menzahirkan perasaan tersebut.
Sering kali kita melihat orang yang sedang bercinta memberikan hadiah terbaik kepada insan yang dicintainya.
Itulah antara cara kita menzahirkan rasa cinta agar yang dicintai mengetahui bahawa dirinya disayangi dan dihargai.
Sebagai umat Islam, antara cinta yang paling utama ialah cinta kepada Rasulullah saw.
Malah, mencintai Baginda merupakan antara tuntutan penting dalam keimanan.
Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Tidak sempurna iman seseorang antara kamu sehingga aku lebih dicintainya daripada anaknya, ibu bapanya dan seluruh manusia.” (Riwayat al-Bukhari)
Dalam peristiwa lain, Sayidina Umar bin al-Khattab ra pernah berkata kepada Rasulullah saw bahawa Baginda lebih dicintainya daripada segala-galanya kecuali dirinya sendiri.
Rasulullah saw lalu bersabda bahawa Baginda hendaklah lebih dicintai daripada dirinya sendiri.
Umar ra kemudian berkata: “Sesungguhnya sekarang, demi Allah, engkau lebih aku cintai daripada diriku sendiri.”
Nabi saw kemudian bersabda: “Sekarang, wahai Umar.” (Riwayat al-Bukhari)
Cinta para sahabat bukan sekadar kata-kata
Para sahabat merupakan golongan yang sangat mendalam cintanya kepada Rasulullah saw.
Mereka bukan sahaja mengungkapkan kecintaan itu dengan kata-kata, bahkan membuktikannya melalui ketaatan, pengorbanan dan kesungguhan mengikuti ajaran Baginda.
Justeru, para sahabat wajar dijadikan teladan dalam memahami bagaimana cinta sebenar kepada Nabi saw diterjemahkan dalam kehidupan.
Cinta mereka kepada Nabi saw bukan sekadar lafaz yang diungkapkan menerusi selawat dan qasidah semata-mata, malah diterjemahkan melalui usaha dan perbuatan.
Mereka memahami bahawa mencintai Nabi saw bukanlah dengan meletakkan Baginda pada kedudukan ketuhanan atau melampaui batas dalam mengagungkannya.
Sebaliknya, kecintaan kepada Rasulullah saw membawa manusia kepada cinta yang hakiki, iaitu cinta kepada Allah swt.
Allah swt berfirman dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 31, yang bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika kamu benar-benar mencintai Allah, maka ikutilah aku, nescaya Allah mencintai kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”
Ayat ini menjelaskan bahawa bukti kecintaan kepada Allah swt berkait rapat dengan kesediaan mengikuti Rasulullah saw.
Dengan kata lain, cinta kepada Nabi saw bukan sekadar perasaan, tetapi perlu diterjemahkan dalam bentuk ketaatan dan amalan.
Rasulullah saw juga menjelaskan bahawa apabila Allah swt mencintai seseorang hamba, Allah memerintahkan Jibril as supaya mencintainya.
“Kemudian kecintaan itu disebarkan kepada penduduk langit sehingga akhirnya diberikan penerimaan kepadanya di bumi.” (Riwayat Muslim)
Persoalannya, bagaimanakah cara terbaik untuk membuktikan cinta sebenar kepada Nabi Muhammad saw?
Memuliakan Rasulullah saw
Pertama, memuliakan Nabi Muhammad saw sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah swt.
Allah swt berfirman dalam Surah al-Fath, ayat 9 yang bermaksud:
“Supaya kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, menguatkan (agama)Nya serta memuliakanNya, dan supaya kamu bertasbih kepadaNya pada waktu pagi dan petang.”
Sheikh al-Sa‘di ketika mentafsirkan ayat ini menjelaskan bahawa terdapat hak yang berkaitan dengan Allah dan Rasul-Nya, iaitu beriman kepada kedua-duanya.
Adapun antara hak khusus Rasulullah saw ialah Baginda dimuliakan dan dihormati, manakala Allah swt disucikan dan diagungkan.
Memuliakan Nabi saw boleh dilakukan dengan pelbagai cara, antaranya memperbanyakkan selawat, menjunjung tinggi ajaran Baginda, menghormati ahli keluarga Baginda serta mempertahankan kedudukan mulia yang diberikan Allah swt kepada Rasul-Nya.
Jaga kesahihan sabda Baginda
Kedua, tidak berdusta atas nama Nabi Muhammad saw.
Perbuatan ini boleh berlaku apabila seseorang menisbahkan sesuatu perkataan atau amalan kepada Baginda sedangkan ia tidak mempunyai sandaran yang benar.
Perkara ini perlu diberikan perhatian khusus pada zaman media sosial apabila sesuatu yang dilabel sebagai ‘hadis’ boleh tersebar dengan begitu pantas tanpa semakan.
Rasulullah saw memberikan peringatan yang tegas melalui sabdanya yang bermaksud:
“Sesiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja, maka hendaklah dia menyediakan tempat duduknya dalam neraka.” (Riwayat al-Bukhari)
Oleh itu, setiap Muslim perlu berhati-hati sebelum menyebarkan sesuatu yang dinisbahkan kepada Rasulullah saw.
Semangat untuk berkongsi kebaikan hendaklah disertai dengan usaha memastikan kesahihan sumbernya.
Begitu juga dalam mengeluarkan pandangan berkaitan agama.
Ia perlu berasaskan ilmu dan sumber yang muktabar agar tidak menyebabkan kekeliruan dalam memahami ajaran Islam.
Hidupkan sunah dalam kehidupan
Ketiga, mengamalkan sunah Baginda.
Qadi ‘Iyadh menjelaskan bahawa seseorang yang benar-benar mencintai seseorang akan berusaha mengikuti insan yang dicintainya.
Demikian juga orang yang jujur dalam mencintai Rasulullah saw akan berusaha mengikuti ajaran Baginda, mengamalkan sunahnya serta menjauhi larangannya.
Antara sunah penting yang perlu dihayati ialah mengukuhkan persaudaraan sesama manusia.
Ketika tiba di Madinah, Rasulullah saw berusaha membina perpaduan dan memperbaiki hubungan dalam masyarakat, termasuk antara kaum Aus dengan Khazraj yang sebelumnya lama bersengketa.
Dalam suasana masyarakat hari ini, sunah ini amat relevan untuk dihayati.
Perbezaan pandangan tidak seharusnya menjadi sebab untuk saling bermusuhan, mencaci atau memutuskan hubungan.
Sebaliknya, umat Islam perlu berusaha mengekalkan hubungan yang baik, menyuburkan kasih sayang dan memelihara keharmonian sesama insan.
Contohi keindahan akhlak Baginda
Keempat, bukti kecintaan kepada Nabi Muhammad saw dapat dilihat melalui kesungguhan seseorang mencontohi akhlak Baginda dalam kehidupan seharian.
Rasulullah saw bukan sahaja membawa ajaran berkaitan ibadah, bahkan menunjukkan contoh terbaik dalam berinteraksi dengan keluarga, jiran, sahabat dan masyarakat.
Baginda terkenal dengan sifat penyayang, pemaaf, sabar dan amanah serta sentiasa menjaga tutur kata dan hubungan sesama manusia.
Kecintaan kepada Nabi Muhammad saw seharusnya melahirkan akhlak yang baik dalam diri seorang Muslim.
Hal ini semakin penting dalam kehidupan hari ini apabila interaksi manusia bukan sahaja berlaku secara bersemuka, malah melalui media sosial.
Seseorang yang mengaku mencintai Rasulullah saw sewajarnya menjauhi perbuatan mencela, memfitnah, membuka aib dan menyebarkan keburukan orang lain.
Sebaliknya, nilai rahmah, kesantunan, kesabaran dan sikap saling menghormati perlu menjadi cerminan kecintaan kepada Rasulullah saw.
Cinta kepada Baginda seharusnya menjadikan seseorang lebih baik akhlaknya, lebih berhati-hati tutur katanya dan lebih banyak membawa kebaikan kepada orang di sekelilingnya.
Cinta yang diterjemah dalam kehidupan
Akhirnya, cinta kepada Rasulullah saw tidak seharusnya berhenti pada ungkapan di bibir.
Selawat dan pujian kepada Baginda adalah amalan yang mulia, namun cinta itu perlu turut terlihat pada ibadah, akhlak, hubungan sesama manusia serta kesungguhan mengikuti petunjuk yang dibawa Baginda.
Cinta yang sebenar bukan hanya dirasai ketika menghadiri majlis selawat atau ketika memperingati sirah dan perjuangan Rasulullah saw.
Sebaliknya, cinta itu perlu terus hidup apabila seseorang kembali kepada keluarga, berada di tempat kerja, berurusan dengan masyarakat, berbeza pandangan dengan orang lain mahupun ketika berinteraksi di alam maya.
Jika benar kita mencintai Rasulullah saw, biarlah cinta itu mendekatkan kita kepada Allah swt dan menjadikan kita insan yang lebih baik.
Semakin mendalam cinta kepada Baginda, semakin kuatlah usaha untuk mengikuti petunjuknya, menjaga akhlak dan menyebarkan rahmat kepada orang lain.
Inilah cinta kepada Nabi saw yang bukan sekadar diucapkan, tetapi dibuktikan melalui kehidupan.
Artikel ini disumbang oleh Darul Tafsir, Masjid Al-Khair.
