Topik diikuti
Pergi ke BHkuBina negara, pikul tanggungjawab bersama
Islam ajar umat zahir cinta kepada negara melalui akhlak baik, sedia khidmat kepada masyarakat, usaha pelihara keamanan dan perpaduan
Bina negara, pikul tanggungjawab bersama
Setiap manusia mempunyai rasa sayang terhadap tempat yang membesarkan mereka.
Sama ada sebuah kampung, bandar atau negara, tempat itu menyimpan kenangan, membentuk identiti dan menjadi ruang seseorang membina kehidupan.
Perasaan ini merupakan satu fitrah yang dikurniakan Allah swt kepada manusia.
Menariknya, rasa cinta kepada tanah air ini turut dapat dilihat dalam kehidupan Rasulullah saw sendiri.
Cinta kepada tanah air adalah fitrah
Abdullah bin ‘Adiy ra menceritakan bahawa pada suatu hari Rasulullah saw telah menaiki suatu tempat yang tinggi sambil menghadap ke arah kawasan sai lalu bersabda: “Demi Allah, sesungguhnya engkau (Makkah) adalah bumi Allah (negeri) yang terbaik, dan yang paling dicintai oleh-Nya. Jika bukan kerana aku diusir darimu, nescaya aku tidak akan keluar.” H.R. Imam Al-Tirmizi.
Kisah yang dibawakan oleh sahabat Nabi saw ini berlaku ketika Allah swt memerintahkan Baginda untuk berhijrah ke Madinah setelah sekian lama disakiti dan dizalimi oleh kaum Quraish.
Ungkapan Rasulullah saw itu menggambarkan betapa mendalamnya rasa cinta Baginda terhadap tempat kelahirannya.
Makkah merupakan bumi yang menyaksikan Baginda membesar dan memulakan dakwahnya.
Namun, demi melaksanakan perintah Allah swt, Baginda berhijrah ke Madinah dan menjadikannya sebagai tempat tinggal sampai akhir hayat.
Perasaan yang sama turut dirasai oleh para sahabat.
Ketika berhijrah ke Madinah, ada dalam kalangan mereka yang jatuh sakit dan merindui Makkah.
Bilal bin Rabah ra misalnya pernah meluahkan kerinduannya terhadap Makkah melalui bait-bait syair.
Rasulullah saw pula berdoa agar Allah mengurniakan rasa cinta kepada Madinah sebagaimana kecintaan mereka kepada Makkah serta melimpahkan keberkatan kepada penduduknya.
Baginda berdoa: “Ya Allah, sesungguhnya Ibrahim adalah hamba dan kekasih-Mu. Dia telah berdoa memohon keberkatan untuk penduduk Makkah, dan aku Muhammad adalah hamba dan utusan-Mu.
“Aku juga berdoa untuk penduduk Madinah. Berkatilah mereka pada timbangan mereka sebagaimana Engkau telah memberkati penduduk Makkah, bahkan gandakan lagi keberkatan itu.” H.R. Imam Ahmad
Begitulah doa Rasulullah saw agar Allah memberi kebaikan dan keberkatan kepada tempat tinggalnya.
Ini menunjukkan bahawa setiap manusia mengharapkan tempat tinggal atau negara yang didiaminya menjadi tempat yang membawa ketenangan, keamanan dan keberkatan.
Imam al-Ghazali pernah berkata bahawa manusia mempunyai hubungan yang rapat dengan bumi yang dipijaknya.
Cinta kepada negara merupakan perasaan yang mendalam dalam jiwa manusia yang membuatkan mereka rasa tenang apabila menetap di dalamnya dan akan rasa rindu jika berjauhan darinya.
Cinta negara perlu diterjemahkan dengan tanggungjawab
Meninjau kepada sejarah ummah dahulu, Al-Quran merakamkan kisah Bani Israil dalam surah al-Baqarah ayat ke 246 yang bermaksud: “Mengapa kami tidak mahu berperang di jalan Allah, padahal sesungguhnya kami telah diusir dari kampung halaman kami dan dari anak-anak kami?”
Ayat ini menggambarkan perasaan kehilangan tanah air yang merupakan satu ujian yang amat berat bagi manusia.
Syeikh Abdullah bin Humaid, Imam Kanan Masjid al-Haram, menjelaskan bahawa ayat ini menjadi bukti bahawa cinta kepada tanahair adalah satu fitrah yang diciptakan dalam diri manusia.
Semangat untuk mempertahankan negara daripada ancaman musuh juga merupakan salah satu tanda penghargaan terhadap nikmat keamanan yang dikurniakan Allah swt.
Persoalannya kemudian, bagaimanakah cinta kepada negara diterjemahkan dalam kehidupan?
Jawapannya dapat dilihat melalui kepimpinan Rasulullah saw di Madinah.
Baginda bukan sekadar membina sebuah masyarakat yang kuat dari sudut ibadah, bahkan membentuk sebuah negara yang berteraskan keadilan, tanggungjawab bersama dan saling menghormati.
Melalui Piagam Madinah, Rasulullah saw memperkenalkan prinsip penting seperti kebebasan beragama, tanggungjawab bersama, saling memelihara serta menghormati hak setiap warga negara.
Masyarakat Madinah yang terdiri daripada orang Islam, Yahudi dan pelbagai kabilah Arab berjaya hidup dalam keadaan yang lebih aman dan tersusun.
Madinah akhirnya dikenali sebagai simbol toleransi dan perpaduan kerana berjaya menyatukan pelbagai kelompok masyarakat tanpa konflik yang berpanjangan.
Tanggungjawab bersama bina negara
Sesebuah negara tidak mampu mencapai kemajuan tanpa sokongan padu daripada seluruh rakyatnya.
Kemajuan bukan hanya bergantung kepada kebijaksanaan kepimpinan negara, bahkan memerlukan kerjasama setiap anggota masyarakat untuk menjayakan visi bersama.
Sebuah negara bukan milik segelintir pihak.
Ia merupakan amanah yang dikongsi oleh seluruh rakyat yang hidup di dalamnya.
Sebab itu, semangat bagai aur dengan tebing dan berat sama dipikul, ringan sama dijinjing perlu terus dipupuk dalam masyarakat.
Tanggungjawab kepada negara juga bukan sekadar melaungkan ikrar setia atau mengibarkan bendera ketika sambutan Hari Kebangsaan.
Bukti cinta kepada negara dapat dilihat melalui kesediaan setiap individu menyumbang kepada keamanan, memupuk keharmonian, menghormati undang-undang serta bekerjasama demi kepentingan bersama.
Dalam masyarakat majmuk seperti Singapura, setiap rakyat mempunyai tanggungjawab untuk memelihara perpaduan dan kestabilan negara.
Tanpa keamanan, kehidupan tidak dapat dijalankan dengan tenang.
Pengalaman yang berlaku di beberapa negara menunjukkan bagaimana konflik yang berpanjangan telah menjejaskan pentadbiran, ekonomi, perpaduan masyarakat dan kesejahteraan rakyat.
Semua ini menjadi peringatan bahawa keamanan merupakan nikmat yang perlu dipelihara bersama.
Buktikan cinta kepada negara
Sempena Hari Kebangsaan, rasa cinta kepada negara tidak seharusnya diterjemahkan hanya melalui kibaran bendera atau nyanyian lagu kebangsaan.
Semua itu mempunyai nilai dan maknanya, namun bukti cinta yang sebenar ialah apabila setiap rakyat memainkan peranan membina masyarakat yang aman, saling menghormati dan bekerjasama demi kemajuan bersama.
Islam mengajar bahawa mencintai negara bukan sekadar menyimpan rasa bangga terhadap tempat kelahiran atau tempat tinggal.
Cinta itu dizahirkan melalui akhlak yang baik, sikap bertanggungjawab, kesediaan berkhidmat kepada masyarakat serta usaha memelihara keamanan dan perpaduan.
Setiap sumbangan yang dilakukan dengan niat yang ikhlas untuk membawa manfaat kepada masyarakat juga merupakan sebahagian daripada amal soleh yang mendapat ganjaran di sisi Allah swt.
Apabila setiap anggota masyarakat melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan penuh amanah, negara bukan sahaja menjadi tempat untuk didiami, tetapi menjadi tanah air yang terus subur dengan keamanan, kesejahteraan dan keberkatan untuk diwariskan oleh generasi yang akan datang.
Artikel ini disumbang oleh Darul Tafsir, Masjid Al-Khair.
