Topik diikuti
Pergi ke BHkuApabila mata terlalu kagum, penyakit ‘ain’ boleh terselindung
Apabila mata terlalu kagum, penyakit ‘ain’ boleh terselindung
Jaga diri daripada perasaan iri hati, kagum tanpa ingat Allah
Apabila mata terlalu kagum, penyakit ‘ain’ boleh terselindung
Ustazah Nadia Hanim Abdul Rahman
Dalam masyarakat serba canggih kini, ramai menganggap penyakit ‘ain’ (perasaan iri hati) atau ‘evil eye’ sebagai sesuatu yang mistik, budaya lama atau sekadar kepercayaan turun-temurun.
Kita hidup dalam dunia yang sangat bergantung kepada logik, data, penjelasan saintifik dan bukti yang dapat dilihat dengan mata kasar.
Namun dalam Islam, penyakit ‘ain’ bukanlah khayalan mahupun mitos. Ia merupakan hakikat ghaib yang disebut secara jelas di dalam Al-Quran dan hadis.
Rasulullah saw bersabda: “Penyakit ‘ain’ itu benar.”
Hadis ringkas ini bukan bertujuan untuk menakut-nakutkan namun untuk mendidik manusia supaya lebih berhati-hati terhadap keadaan hati, menjaga lidah dan adab sesama manusia, serta selalu menyedari betapa pentingnya memelihara hubungan dengan Allah swt.
Apakah Itu penyakit ‘ain’?
Secara ringkas, ‘ain’ merujuk kepada kemudaratan yang berlaku melalui pandangan seseorang kepada orang lain yang disertai hasad, iri hati, kekaguman melampau atau kelalaian daripada mengingati Allah swt.
Ia bukan sekadar ‘melihat’, namun suatu pandangan yang lahir daripada hati dan jiwa rohani yang tidak terpelihara.
Imam Ibn Hajar menjelaskan ‘ain’ ialah “pandangan yang disertai kekaguman bercampur hasad sehingga mendatangkan kemudaratan kepada orang yang dipandang”.
Ulama menjelaskan terdapat dua bentuk utama penyakit ‘ain’.
Pertama, ‘ain’ yang berpunca daripada hasad dan dengki.
Kedua, ‘ain’ yang berpunca daripada rasa kagum dan takjub tanpa disertai zikrullah (mengingati Allah) dan pengembalian nikmat kepada Allah swt.
1) ‘Ain’ kerana hasad dengki
Bentuk pertama ialah ‘ain’ yang lahir daripada hati yang iri terhadap nikmat orang lain.
Seseorang melihat kecantikan, kepintaran, kekayaan, kebahagiaan rumah tangga, kejayaan seseorang lalu timbul rasa tidak senang dalam dirinya.
Allah swt mengajarkan kita supaya berlindung daripada golongan ini dalam Surah Al-Falaq, ayat 5:
“Dan (Aku berlindung kepada Tuhan) daripada kejahatan orang yang dengki apabila dia melakukan dengkinya.”
Ahli tafsir menjelaskan, ayat ini merangkumi bahaya penyakit ‘ain’ kerana hasad merupakan antara sebab terbesar berlakunya penyakit tersebut.
Hasad bukan sekadar ingin memiliki nikmat yang sama, namun berasa terganggu melihat nikmat yang Allah swt berikan kepada orang lain.
Penyakit hati seperti ini, jika tidak dibendung, boleh berubah menjadi pandangan yang memudaratkan.
Namun ajaran Islam juga menegaskan ‘ain’ tidak mempunyai kuasa mutlak.
Tiada siapa mampu memudaratkan orang lain melainkan dengan izin Allah swt.
Ibn Al-Qayyim berkata: “Penyakit ‘ain’ hanya berlaku dengan izin Allah. Tidak ada sesuatu pun berlaku melainkan dengan qadak dan qadar-Nya.”
Justeru, seorang Muslim tidak boleh hidup dalam ketakutan yang melampau terhadap manusia.
Segalanya tetap berada di bawah kekuasaan dan perlindungan Allah swt.
2) ‘Ain’ kerana kagum dan rasa takjub berlebihan
Bentuk kedua penyakit ‘ain adalah lebih halus sifatnya dan mungkin lebih banyak berlaku dalam masyarakat hari ini.
Ia bukan lahir daripada kebencian, namun daripada rasa terlalu kagum atau takjub terhadap sesuatu nikmat tanpa mengingati dan mengembalikan nikmat tersebut kepada Allah swt, Tuhan yang Maha Memberi segala nikmat dan anugerah.
Seseorang mungkin benar-benar menyayangi rakannya, anaknya atau pasangannya.
Namun apabila melihat sesuatu yang sangat mengagumkan lalu terlupa menyebut nama Allah swt, pandangan itu juga boleh menjadi sebab berlakunya ‘ain’.
Rasulullah saw bersabda: “Apabila salah seorang daripada kamu melihat sesuatu pada dirinya, hartanya atau saudaranya yang mengagumkannya, maka hendaklah beliau mendoakan keberkatan padanya kerana sesungguhnya ‘ain’ itu benar.” (HR Imam Ahmad, Ibn Majah dan An-Nasa’i).
Hadis ini menunjukkan ‘ain’ bukan hanya datang daripada orang yang membenci kita.
Bahkan, ia juga boleh datang daripada insan yang paling dekat dan menyayangi kita – ibu bapa kepada anak, suami atau isteri, sahabat karib dan anggota keluarga.
Syeikh Ibn Jibrin menjelaskan: “‘Ain’ tidak hanya berlaku kerana hasad. Ia juga boleh berlaku kerana kekaguman dan rasa takjub, bahkan seseorang boleh menyebabkan ‘ain’ kepada anak atau isterinya sendiri tanpa sengaja.”
Demikian sebabnya Islam mengajar adab ketika memandang sesuatu nikmat.
Rasa kagum sahaja tidak mencukupi; ia perlu disertai dengan zikirullah dan kesedaran bahawa segala nikmat, keindahan dan kebaikan itu pada hakikatnya datang daripada Allah swt.
Ucapan masya-Allah pelindung segala nikmat
Allah swt berfirman dalam Surah Al-Kahfi, ayat 39: “Mengapa ketika kamu memasuki kebunmu, kamu tidak mengatakan masya-Allah, tiada kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah.”
Rasulullah saw juga bersabda: “Apabila salah seorang daripada kamu melihat sesuatu yang mengagumkannya, maka hendaklah beliau berkata masya-Allah tabarakallah.” (HR Imam Al-Baihaqi).
Ungkapan seperti masya-Allah, tabarakallah dan Allahumma barik bukan sekadar ucapan biasa di bibir seorang Muslim – ia adalah bentuk pengembalian segala nikmat kepada Allah swt.
Apabila seseorang berkata masya-Allah, beliau mengakui segala nikmat dan kebaikan itu wujud hanya kerana kehendak Allah swt.
Tabarakallah pula merupakan doa agar Allah swt memberkati dan memelihara nikmat tersebut daripada segala bentuk kemudaratan dan hasad dengki.
Dengan zikir dan pengembalian segala nikmat kepada-Nya, kekaguman berubah menjadi ibadah dan perlindungan.
Kisah sahabat Nabi dilanda penyakit ‘ain’
Antara kisah sahabat Nabi saw yang sering disebut berkaitan ‘ain’ ialah kisah Sahl bin Hunayf.
Ketika beliau sedang mandi, seorang sahabat memuji kecantikan kulitnya dengan penuh kekaguman.
Tidak lama selepas itu, Sahl rebah dan jatuh sakit.
Apabila perkara itu disampaikan kepada Rasulullah saw, Baginda bersabda:
“Mengapa salah seorang daripada kamu ingin membunuh saudaranya?”
Baginda kemudian memerintahkan sahabat yang memuji Sahl supaya mandi dan air mandian itu lalu dicurahkan kepada Sahl.
Sahl kemudian sembuh dengan izin Allah swt. (HR Imam Ahmad dan Imam An-Nasa’i).
Hadis ini membuktikan penyakit ‘ain’ boleh memberi kesan fizikal, berlaku tanpa niat jahat dan Islam sendiri mempunyai rawatan rohani yang diajarkan oleh Rasulullah saw.
Penyakit ‘ain’ dalam era media sosial
Hari ini, media sosial menjadikan isu penyakit ‘ain’ semakin relevan.
Kehidupan manusia terlalu terdedah – setiap kejayaan, kecantikan, rumah tangga, anak-anak, percutian dan kemewahan dipaparkan secara terbuka kepada ribuan manusia.
Namun, dalam keterujaan mempamerkan nikmat, ramai terlupa akan kepentingan perlindungan rohani.
Masyarakat hari ini semakin terbiasa dengan rasa kagum terhadap kehidupan orang lain, namun pada masa sama, semakin jauh daripada mengingati Allah swt.
Tidak hairanlah apabila ramai kemudian mengadu mengalami gejala penyakit ‘ain’ seperti keletihan yang sukar dijelaskan, emosi terasa berat, hilang semangat secara tiba-tiba, gangguan dalam hubungan atau perasaan kosong seakan tidak seperti diri sendiri.
Islam tidak mengajarkan umatnya bersikap berlebihan dalam ketakutan atau menuduh semua perkara sebagai ‘ain’.
Namun, Islam mengajar bahawa tidak semua kemudaratan dapat dilihat secara zahir semata-mata.
Kita mengakui kewujudan alam ghaib dan penyakit ‘ain’ merupakan salah satu daripadanya.
Islam mengajarkan beberapa bentuk perlindungan utama daripada penyakit ‘ain’, antaranya:
1) Membaca zikir pagi dan petang
2) Membaca Surah Al-Fatihah
3) Membaca Surah Al-Falaq
4) Membaca Surah An-Nas
5) Membaca ayat Al-Kursi
6) Mengamalkan ruqyah syar’iyyah (rawatan Islam dengan bacaan Al-Quran dan doa Nabi saw, memohon kesembuhan serta perlindungan daripada Allah swt daripada gangguan dan penyakit)
7) Sentiasa mengaitkan segala nikmat kepada Allah swt
Sayidatina Aisyah ra meriwayatkan dengan berkata: “Rasulullah saw memerintahkan aku supaya melakukan ‘ruqyah’ untuk perlindungan daripada ‘ain’.” (HR Bukhari dan Muslim).
Amalan ini merupakan benteng perlindungan seorang Muslim.
Kita tidak dapat menghindari diri sepenuhnya daripada pendedahan kepada dunia luar, sama ada disedari ataupun tidak.
Walau bagaimanapun dengan zikir, doa dan ‘ruqyah’, seorang Muslim dapat membina keyakinan bahawa Allah swt sentiasa menjaga, melindungi dan memelihara dirinya serta orang-orang yang disayanginya.
Selain itu, seorang Muslim juga perlu menjaga hati daripada hasad, mengurangkan keterlaluan mempamerkan nikmat, membiasakan diri mendoakan keberkatan untuk orang lain serta sentiasa bersyukur kepada Allah swt.
Kesimpulan
Hakikatnya, perbahasan tentang penyakit ‘ain’ bukan sekadar tentang gangguan rohani – ia sebenarnya mendidik manusia tentang keadaan hati mereka sendiri.
Hati yang bersih akan melihat nikmat orang lain lalu mendoakan keberkatan untuk mereka.
Hati yang sakit pula akan dipenuhi perbandingan, iri hati dan ketidakpuasan.
Islam tidak mengajar umatnya untuk hidup dalam ketakutan terhadap manusia, namun hidup dalam kebergantungan kepada Allah swt.
Dengan zikir, doa, tawakal dan hati yang bersih, seorang Muslim bukan sahaja sedang melindungi dirinya daripada penyakit ‘ain’, malah belajar menjadi manusia yang lebih bersyukur, lebih rendah hati dan lebih ingin mendekati kepada Tuhannya.
Penulis ialah ahli Majlis Tertinggi Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) dan Ahli Bersekutu Kanan Jawatankuasa Fatwa di Pejabat Mufti. Beliau juga merupakan penulis buku ‘Unseen Harm: The Evil Eye and Ruqyah’ (Bahaya Yang Tidak Terlihat: Penyakit ‘Ain’ dan ‘Ruqyah’).
