Topik diikuti
Pergi ke BHkuApabila ganjaran daripada usaha tidak datang segera
Apabila ganjaran daripada usaha tidak datang segera
Nilai setiap usaha langkaui hasil yang dapat dilihat; kesedaran akhirat bentuk semangat tidak putus asa
Apabila ganjaran daripada usaha tidak datang segera
Setiap manusia memerlukan sesuatu yang memberikan mereka semangat untuk terus bergerak.
Ada yang terdorong oleh penghargaan, dan ada juga yang memperoleh semangat apabila melihat hasil daripada usaha yang dilakukan.
Oleh itu, menerima habuan sebagai imbalan kepada suatu pekerjaan atau khidmat yang diberi adalah lumrah dan sifat yang terpuji.
Tiada siapa yang suka apabila usahanya tidak dihargai.
Sebab itu, Islam tidak pernah menolak keinginan manusia untuk berjaya, dan menikmati hasil daripada usaha mereka.
Bahkan Al-Quran sendiri mengiktiraf bahawa manusia mempunyai keperluan dan bahagian mereka di dunia.
Namun pada masa yang sama, Islam mengajarkan bahawa tidak semua hasil yang bernilai dapat dilihat dengan segera, dan tidak semua ganjaran terbaik berada di dunia ini.
Di sinilah konsep akhirat memberi satu bentuk semangat yang berbeza.
Kesedaran terhadap akhirat membentuk cara seseorang menilai kejayaan, menghadapi kegagalan dan membuat keputusan dalam kehidupan seharian.
Ia mempengaruhi bagaimana seseorang bekerja, menggunakan masa dan menentukan perkara yang benar-benar bernilai untuk dikejar.
Allah swt berfirman dalam Surah Al-Qasas ayat 77: “Dan carilah melalui apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu kebahagiaan negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu di dunia.”
Ayat ini mengajarkan manusia agar tidak meninggalkan dunia demi akhirat, dan tidak juga mengejar dunia sehingga melupakan akhirat.
Sebaliknya, dunia dilihat sebagai ruang untuk menanam, manakala akhirat ialah tempat menuai hasilnya.
Apabila Matlamat Lebih Besar Daripada Hasil
Dalam kehidupan, ramai orang kehilangan semangat bukan kerana mereka malas atau tidak berusaha, tetapi kerana mereka merasakan usaha mereka tidak membawa hasil yang diharapkan.
Ada yang bekerja bertahun-tahun tetapi tidak mendapat pengiktirafan.
Ada yang melakukan kebaikan secara senyap tanpa pernah dihargai.
Ada juga yang menjaga prinsipnya, tetapi melihat orang lain mencapai lebih banyak kejayaan melalui jalan yang lebih mudah.
Jika ukuran kejayaan hanya berdasarkan apa yang dilihat di depan mata, manusia mudah menjadi kecewa.
Namun keimanan kepada hari akhirat mengubah cara seseorang melihat usahanya.
Dia tetap berusaha bersungguh-sungguh, tetapi tidak meletakkan seluruh nilai dirinya pada hasil yang segera.
Dia tetap memberi, walaupun tidak sentiasa menerima.
Dia tetap melakukan perkara yang betul, walaupun tiada siapa yang melihat.
Ini kerana dia yakin bahawa tiada satu pun usaha yang dilakukan kerana Allah akan hilang begitu sahaja.
Allah swt berfirman dalam Surah Al-Nahl ayat 97: “Sesiapa yang beramal soleh, sama ada lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka Kami akan menghidupkannya dengan kehidupan yang baik dan Kami akan membalas mereka dengan ganjaran yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan.”
Ayat ini mengajarkan kita bahawa Islam sentiasa menganjurkan umatnya agar melakukan yang terbaik dalam apa jua perkara, tidak ketinggalan dalam memberi panduan kepada manusia untuk mencapai kejayaan yang tertinggi di akhirat.
Penyerahan dan harapan penuh kepada Allah swt dapat memberikan ketenangan jiwa yang membuatkan hati sentiasa tenang.
Sebaliknya, jika matlamat utama hanya menumpukan kepada habuan dunia, hati akan resah dan sentiasa merasa tidak cukup.
Semangat Juang Tidak Bergantung Pada Keadaan
Apabila seseorang hidup hanya berdasarkan hasil yang segera, semangatnya mudah turun naik mengikut keadaan.
Apabila dipuji, dia terus bersemangat.
Apabila gagal, dia mula berhenti.
Namun apabila seorang mukmin melakukan apa sahaja dengan harapan mendapat pahala di sisi Allah swt sebagai keutamaan, di samping mendapat habuan dunia, semangat juangnya menjadi lebih stabil.
Dia memahami bahawa nilai sesuatu usaha tidak semestinya diukur oleh cepat atau lambatnya hasil.
Sebab itu Rasulullah saw pernah bersabda: “Orang yang bijak ialah orang yang menghitung dirinya dan beramal untuk kehidupan selepas mati; dan orang yang lemah ialah orang yang mengikut hawa nafsunya dan hanya berangan-angan terhadap Allah.” (Riwayat al-Tirmizi).
Hadis ini menarik, kerana Rasulullah saw mengaitkan iman kepada akhirat dengan kebijaksanaan.
Bagi orang yang bijak mengatur hidupnya untuk hari akhirat, segala yang didapati di dunia ini dijadikan sebagai bahan untuk bekalan dan sahamnya di akhirat.
Segala kelebihan yang diberi kepadanya seperti ilmu pengetahuan dan harta benda dijadikan sebagai bahan untuk mendapat ganjaran pahala yang berterusan sehingga hari pertemuannya dengan Allah swt.
Apabila Akhirat Jadikan Pengorbanan Rasa Ringan
Semangat yang lahir daripada kesedaran tentang akhirat terpancar jelas dalam kehidupan generasi awal Islam.
Antara contoh yang sering disebut ialah kisah Suhaib ar-Rumi ra.
Ketika beliau berhijrah dari Makkah ke Madinah, orang-orang Quraisy cuba menghalangnya dan enggan membenarkannya membawa keluar harta yang telah dikumpulkannya.
Dalam keadaan itu, Suhaib memilih untuk meninggalkan seluruh hartanya demi meneruskan perjalanan hijrah.
Apabila berita itu sampai kepada Rasulullah saw, Baginda bersabda: “Suhaib telah memperoleh keuntungan, Suhaib telah memperoleh keuntungan.” (Riwayat Muslim).
Menariknya, apa yang dianggap sebagai kerugian dari sudut pandangan manusia, dinilai sebagai suatu keuntungan oleh Baginda. Mengapa?
Ini kerana Suhaib tidak mengukur kejayaan hanya berdasarkan apa yang dapat disimpan atau dimiliki.
Beliau memahami bahawa ada sesuatu yang jauh lebih besar daripada harta yang ditinggalkan, iaitu keredaan Allah swt dan keselamatan iman.
Inilah antara kesan apabila seseorang benar-benar menjadikan akhirat sebagai matlamat hidup.
Kesedaran seperti ini melahirkan semangat juang yang lebih utuh dan berkekalan.
Seseorang tidak mudah berputus asa apabila kehilangan sesuatu, kerana dia yakin bahawa bukan semua keuntungan dapat dinikmati di dunia ini, dan bukan semua pengorbanan berakhir dengan kerugian.
Bukan bermaksud tidak menghargai dunia, tetapi mereka memahami bahawa dunia hanyalah persinggahan, bukan penghujung perjalanan.
Apa Yang Ditinggalkan Selepas Kita Pergi
Kesedaran terhadap akhirat juga mengubah cara seseorang melihat warisan hidupnya.
Manusia akhirnya akan meninggalkan segala pencapaian dan apa yang dimiliki.
Namun agama mengajar bahawa ada perkara yang terus hidup walaupun jasad sudah tiada.
Rasulullah saw bersabda: “Apabila seseorang meninggal dunia, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakannya.” (Riwayat Muslim).
Hadis ini menunjukkan bahawa kehidupan seorang mukmin sentiasa melangkaui dirinya sendiri.
Dia tidak hanya bertanya: “Apa yang aku dapat?”, tetapi juga, “Apa yang aku tinggalkan?”
Sempena Majlis Tilawah, Tahfiz dan Tadabbur Al-Quran (MTTTQ), kita diingatkan bahawa Al-Quran tidak mengajar manusia untuk menjauh diri daripada dunia, tetapi mengajar bahawa dunia itu bukanlah semuanya.
Akhirat bukan sesuatu yang melemahkan semangat untuk berusaha.
Sebaliknya, ia menjadi pencetus semangat juang yang lebih matang dan lebih berkekalan.
Ini kerana akhirnya, orang yang hidup dengan berpaksikan iman kepada akhirat memahami bahawa kehidupan ini lebih besar daripada apa yang dapat dilihat, dan kejayaan lebih luas daripada apa yang dapat dihitung hari ini.
Artikel ini disumbang oleh Darul Tafsir, Masjid Al-Khair.
“
Akhirat bukan sesuatu yang melemahkan semangat untuk berusaha. Sebaliknya, ia menjadi pencetus semangat juang yang lebih matang dan lebih berkekalan. Ini kerana akhirnya, orang yang hidup dengan berpaksikan iman kepada akhirat memahami bahawa kehidupan ini lebih besar daripada apa yang dapat dilihat, dan kejayaan lebih luas daripada apa yang dapat dihitung hari ini.