SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Teladani sunah Nabi dalam sambut Aidilfitri

Teladani sunah Nabi dalam sambut Aidilfitri

Mar 20, 2026 | 5:30 AM

Teladani sunah Nabi dalam sambut Aidilfitri

solat Raya, hari raya, aidilfitri, syawal
Melalui dua rakaat solat Hari Raya, umat Islam berkumpul bersama keluarga dan masyarakat, sama ada di masjid atau di ruang lapang, untuk menzahirkan penyatuan umat serta menghidupkan syiar agama. - Foto fail

Malam ini menandakan berakhirnya Ramadan, bulan yang penuh keberkatan dan pengajaran bagi setiap mukmin.

Kesedihan kerana berpisah dengan bulan mulia ini diganti dengan kegembiraan menyambut Aidilfitri, saat umat Islam di seluruh dunia meraikan kemenangan dan pengampunan setelah menunaikan ibadah puasa.

Apabila seorang hamba menyempurnakan puasa Ramadan berserta qiamullai, beliau telah melaksanakan segala yang dituntut, dan yang menanti hanyalah ganjaran serta keampunan daripada Allah swt.

Imam Al-Hasan Al-Basri berkata: “Sesungguhnya Allah menjadikan Ramadan sebagai medan perlumbaan bagi hamba-Nya.

“Di dalamnya mereka berlumba melalui ketaatan untuk meraih keredaan-Nya.

“Maka ada golongan yang mendahului lalu berjaya, dan ada pula yang ketinggalan lalu rugi.”

Pada malam terakhir Ramadan ini, marilah kita menzahirkan kesyukuran setinggi-tingginya atas nikmat peluang dan kekuatan yang dikurniakan-Nya untuk menyambut Ramadan, beribadah di dalamnya, dan meraih keampunan-Nya yang luas.

Sunah Nabi pada Syawal

Hari Raya Aidilfitri adalah hari kemenangan bagi umat Islam setelah sebulan menunaikan ibadah puasa pada Ramadan.

Kemenangan sebenar bukan terletak pada pakaian serba baharu, namun pada hati yang bersih, tunduk dan kembali dekat kepada-Nya.

Apabila kita melangkah keluar daripada ibadah puasa, Allah swt memberi peluang keemasan kepada hamba-Nya untuk meraih keberkatan dan ganjaran pahala yang besar melalui amalan sunah yang dianjurkan oleh Rasulullah saw pada pagi menyambut Aidilfitri.

Antara sunah yang dilakukan sejurus selepas azan maghrib pada malam Hari Raya – iaitu saat terakhir berbuka puasa Ramadan – adalah melaungkan takbir Raya.

Takbir merupakan syiar agung pada hari tersebut, bermula dari waktu maghrib malam Raya sehingga sebelum solat Aidilfitri didirikan.

Takbir dilafazkan untuk memperingati kemenangan kita menunaikan puasa sepanjang Ramadan dan mendapat keampunan daripada Allah swt.

Justeru, kita diperintah agar mengagungkan Allah swt dengan bertakbir seolah-olah kita telah mencapai kemenangan hakiki.

Persiapan, sunah pagi Lebaran

Pada pagi Aidilfitri, antara sunah yang dianjurkan adalah mandi sunat Aidilfitri sebagai persiapan menyambut hari mulia itu.

Amalan itu bertujuan membersihkan diri serta menzahirkan kegembiraan dalam menyambut Hari Raya.

Waktu mandi sunat boleh dilakukan seawal tengah malam Hari Raya sehingga sebelum solat Aidilfitri dilaksanakan.

Selain itu, amalan menjaga kebersihan diri turut digalakkan.

Ia termasuk memotong kuku, merapikan rambut, memakai wangi-wangian dan mengenakan pakaian bersih serta kemas sebagai tanda penghormatan ketika menunaikan solat Hari Rraya.

Antara sunah lain sebelum keluar menunaikan solat Aidilfitri adalah makan sedikit terlebih dahulu, dengan buah kurma dalam bilangan ganjil menjadi yang paling dianjurkan.

Amalan itu menzahirkan hari tersebut bukan lagi hari berpuasa. Ia hari kegembiraan dan kesyukuran setelah sebulan menahan lapar dan dahaga.

Solat sunat Aidilfitri penyatu umat

Satu lagi sunah pada pagi Syawal adalah menggunakan jalan berbeza ketika pergi dan pulang dari tempat solat.

Namun, sudah tentu, amalan yang paling utama pada pagi Aidilfitri adalah menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Di sinilah, umat Islam berkumpul bersama keluarga dan masyarakat, sama ada di masjid atau di ruang lapang, untuk menzahirkan penyatuan umat serta menghidupkan syiar agama melalui dua rakaat solat Hari Raya.

Dalam sebuah hadis, para sahabat menyebut bahawa mereka diperintahkan keluar menyambut Hari Raya bersama, termasuk golongan wanita.

Malah, wanita yang sedang haid turut hadir untuk menyaksikan kebaikan dan doa kaum Muslimin, walaupun mereka tidak menyertai solat.

Aidilfitri juga merupakan waktu terbaik untuk saling mengucapkan tahniah dan mendoakan kebaikan sesama Muslim.

Antaranya, ucapan yang diriwayatkan diamalkan oleh para sahabat ialah: “Taqabbalallahu minna wa minkum”, yang bermaksud, “Semoga Allah menerima amalan kami dan kamu”.

Dengan menghidupkan sunah ini, sambutan Aidilfitri kita bukan sahaja dipenuhi dengan tradisi murni, malah setiap langkah dan perbuatan menjadi ibadah yang mendatangkan pahala berterusan.

Tinggalkan Ramadan dengan iman

Kegembiraan Aidilfitri tidak seharusnya memadamkan semangat kita untuk terus beribadah.

Sebaliknya, ia menjadi tanda perjalanan ketaatan yang dilatih sepanjang Ramadan perlu diteruskan.

Oleh itu, umat Islam sangat digalakkan menyambung amalan berpuasa dengan melaksanakan puasa enam hari pada Syawal, bermula dari hari kedua Aidilfitri.

Baginda saw bersabda dalam hadis: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan, kemudian diikuti dengan enam hari daripada Syawal, maka ia seolah-olah berpuasa sepanjang tahun.” (HR Muslim).

Puasa Ramadan yang diikuti dengan enam hari puasa Syawal seolah-olah menyamai puasa setahun penuh kerana setiap kebaikan digandakan 10 kali lipat.

Amalan itu juga diumpamakan seperti solat sunat rawatib yang mengiringi solat fardu, iaitu sebarang kekurangan atau kecacatan dalam ibadah fardu dapat ditampung dan disempurnakan melalui amalan sunat tersebut.

Jika Ramadan melatih kita untuk taat dalam keadaan menahan diri, maka Aidilfitri menguji kita agar terus taat dalam keadaan bergembira.

Dalam kegembiraan menyambut Hari Raya, kita tetap menadah tangan memohon kepada Allah swt agar segala amalan sepanjang Ramadan diterima, dan semoga kita dikurniakan kesempatan untuk bertemu Ramadan dan Aidilfitri sekali lagi.

Artikel ini disumbang oleh Darul Tafsir, Masjid Al-Khair.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg