Topik diikuti
Pergi ke BHkuBukan sekadar hadiah peribadi, zuriat nadi ‘keluarga besar’ S’pura
Pemerintah, warga perlu ganding bahu bentuk generasi seterusnya pacu ekon negara
Bukan sekadar hadiah peribadi, zuriat nadi ‘keluarga besar’ S’pura
Dari buaian hingga ke liang lahad...
Perjalanan hidup di Singapura boleh diibaratkan umpama menaiki MRT.
Ia bergerak pantas, cekap, menepati masa, tetapi penuh dengan persaingan untuk mendapatkan tempat duduk yang sesuai.
Tetapi mengapakah rentak seligat itu tidak berlaku dalam hal melibatkan alam perkahwinan dan keputusan pasangan suami isteri untuk menambah zuriat?
Mungkin sudah tiba masanya untuk kita meneliti kitaran kehidupan di Singapura.
Bagi si cilik, ibu bapa berebut-rebut menghantar anak ke pelbagai kelas pengayaan bagi memastikan anak tidak ketinggalan dalam memburu kelulusan akademik.
Usaha pemerintah mengalihkan tumpuan daripada ketaasuban dalam bidang akademik dan merai kecenderungan anak dalam bidang berbeza amat dialu-alu.
Namun, masih ada sesetengah ibu bapa mempunyai pandangan yang berlainan.
Bagi mereka, kelas pengayaan tetap menjadi laluan pilihan bagi mempersiapkan anak dalam mengharungi tuntutan di sekolah.
Ada yang kemudian mengeluh tentang cabaran dari segi kos yang perlu ditampung.
Untuk mengatasinya, mereka mungkin memilih untuk membataskan jumlah anak dalam keluarga.
Sekali pandang – daripada lensa individualistik – ia mungkin keputusan yang cukup mudah bagi mereka.
Kurang anak, kurang perbelanjaan.
Dengan masa yang ada, sepenuh tumpuan boleh diberikan kepada anak.
Hendak bercuti ke sana sini juga mudah.
Anak itu kemudian membesar dalam persekitaran beliau menyaksikan sendiri bagaimana dirinya begitu dilindungi dalam keluarga.
Setelah berhempas-pulas menuntut ilmu hingga ke menara gading, kekecewaan boleh menyelinap masuk apabila anak mendapati ilmu yang ditimba tidak lagi sejajar dengan tuntutan kerjaya.
Jika sebelum ini persoalannya adalah bagaimana cara mendorong pasangan suami isteri agar bersedia menimang lebih ramai anak, kini suara yang lebih membimbangkan sudah mula kedengaran.
Dalam kalangan anak muda, ada yang malah tidak melihat perkahwinan sebagai satu impian.
Bagi golongan sebegitu, melangkah ke alam rumah tangga bermakna tanggungjawab yang mengekang, bukannya ruang untuk berkembang.
Mereka melihat perkahwinan sebagai belenggu kewangan dan komitmen yang bakal mengorbankan kebebasan peribadi serta kelangsungan kerjaya.
Bagi generasi sandwic iaitu golongan yang terhimpit antara tanggungjawab membesarkan anak-anak dengan menjaga ibu bapa yang semakin uzur pula, ia tidak lagi dirasakan seperti perjalanan yang lancar.
Sebaliknya, pasangan ibu bapa muda sedemikian mungkin berasa seperti terhimpit di dalam gerabak MRT yang penuh sesak ketika waktu puncak.
Sejak kebelakangan ini, banyak telah diperkatakan tentang Jumlah Kadar Kesuburan (TFR) yang terus susut, mencecah 0.87 pada 2025 iaitu paras terendah sejauh ini.
Jika trend ini berterusan, kita bimbang Singapura bakal berdepan dengan ‘musim luruh’ demografi yang panjang.
Bayangkan keadaan Singapura dalam masa beberapa dekad dari sekarang, seandainya jumlah TFR terus merosot.
Pernahkah kita terfikir keputusan secara individu yang kita ambil untuk tidak berumah tangga atau menimang cahaya mata, mempunyai kesan ketara di peringkat negara?
Apabila pekerja dari luar negara mencari rezeki di Kota Singa, ada yang merungut.
Terdapat kebimbangan bahawa kehadiran mereka mengurangkan peluang pekerjaan bagi anak watan kita sendiri.
Bagaimana kita hendak memacu ekonomi negara sedangkan jumlah warga yang ada terbatas jumlahnya?
Adakah jumlah yang ada itu pula memiliki kelulusan dan kecekapan yang diperlukan?
Sebuah syarikat yang hebat memerlukan pelaburan modal, begitu juga dengan Singapura.
Anak-anak ialah modal insan terbaik yang akan memastikan landasan ekonomi kita tidak terhenti separuh jalan.
Namun, dalam keghairahan mengejar kecemerlangan kebendaan, masyarakat seolah-olah terlupa pada rukun asas kelangsungan hidup.
Menyisihkan perkahwinan dan zuriat semata-mata kerana takut tentang kos hidup, adalah satu bentuk kekalahan awal sebelum berjuang.
Kebahagiaan sejati sebuah keluarga tidak dibina atas jaminan kebendaan yang sempurna, melainkan atas keberanian mengharungi badai bersama-sama.
Anak-anak yang dibesarkan dalam ‘balang kaca’ yang terlalu dilindungi juga perlu dibimbing agar keluar dari zon selesa.
Apabila minda mereka diasuh bahawa kejayaan hanya diukur melalui deretan gred akademik dan pelaburan kelas pengayaan, mereka akan mudah rapuh apabila realiti pasaran kerja tidak seindah yang diimpikan.
Di sinilah berlaku kepincangannya.
Kita mempersiapkan anak-anak untuk peperiksaan, tetapi terlepas pandang dalam mempersiapkan mereka untuk cabaran kehidupan yang sebenar, termasuk alam perkahwinan.
Mungkin sudah tiba masanya untuk warga Singapura mengubah minda.
Kerisauan tentang kos menyara anak tidak seharusnya memadamkan fitrah insani untuk berkasih sayang dan menyambung zuriat.
Pemerintah sudah menyediakan pelbagai ‘talian hayat’ seperti Bonus Bayi dan subsidi prasekolah.
Kini, tugas kita sebagai individu adalah untuk menyambut usaha tersebut secara bermuafakat, demi memastikan masa depan negara terus dipandu oleh anak watan kita sendiri.
Anak-anak bukanlah ‘bebanan kos’ yang mengurangkan angka di dalam akaun bank, sebaliknya mereka inilah modal insan, pelaburan jiwa yang membawa rezeki dan keceriaan yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.
Hakikatnya, jika kita memilih untuk tidak mempunyai zuriat, rantaian tenaga kerja tempatan mungkin sahaja terputus.
Kita perlu menerapkan prinsip, patah tumbuh hilang berganti, agar bakat tempatan sentiasa ada untuk mengemudi sektor utama negara tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada tenaga luar.
Dalam masa yang sama, sokongan korporat dalam mengimbangi kerjaya dan keluarga bukan lagi satu kemewahan, tetapi satu keperluan mendesak.
Sudah tiba masanya Singapura membina sebuah ekosistem yang tidak hanya melahirkan pekerja yang cekap, malah membaja institusi keluarga yang utuh.
Sudah tiba masanya juga bagi kita melihat Singapura ibarat sebuah keluarga besar dan anak-anak umpama enjin yang bakal terus memacu ekonomi negara ke tahap yang membanggakan.
Hari ini, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dijadual menyampaikan ucapan dalam Rapat Hari Kebangsaan 2026.
Semoga kita dapat sama-sama menilai mesej yang terkandung di dalamnya daripada lensa dan acuan minda yang berbeza.
Ini kerana jatuh bangun Singapura akhirnya bergantung kepada keutuhan kita sebagai sebuah keluarga besar dan nadi penggerak negara tercinta.
