Topik diikuti
Pergi ke BHkuBilangan bayi lahir pada 2025 merosot ke paras terendah sejak S’pura merdeka
Bilangan bayi lahir pada 2025 merosot ke paras terendah sejak S’pura merdeka
Bilangan bayi lahir pada 2025 merosot ke paras terendah sejak S’pura merdeka
Bilangan bayi yang dilahirkan pada 2025 merosot ke paras terendah sejak kemerdekaan Singapura, dengan kurang daripada 30,000 kelahiran direkodkan buat kali pertama sejak 1965.
Sementara itu, bilangan kematian terus meningkat dalam masyarakat yang kian menua dengan pantas.
Cabaran demografi berganda – penurunan kadar kelahiran dan peningkatan kadar kematian ini disifatkan oleh pemerintah sebagai satu cabaran eksistensial (kewujudan) negara.
Sejumlah 29,864 bayi dilahirkan pada 2025, iaitu penurunan sebanyak 11.4 peratus berbanding 33,703 kelahiran pada 2024, menurut Laporan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 2025.
Laporan tersebut dikeluarkan Penguasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan (ICA) pada 27 Julai.
Semakan oleh The Straits Times (ST) mendapati bahawa 2025 merupakan tahun pertama di mana bilangan kelahiran tahunan jatuh di bawah paras 30,000 sejak 1965, yang ketika itu mencatat 55,725 kelahiran.
Sejak era 1970-an hingga 1990-an, bilangan kelahiran tahunan secara umumnya berada antara lebih 40,000 dengan lebih 50,000 bagi kebanyakan tahun.
Namun dalam tempoh dua dekad kebelakangan ini, kadar kelahiran tahunan telah merosot di bawah 40,000 bagi kebanyakan tahun.
Pada 2025, sebanyak 87 peratus, atau 26,071 daripada keseluruhan bayi yang dilahirkan, mempunyai sekurang-kurangnya seorang ibu atau bapa yang merupakan warga Singapura.
Dengan ramai memilih untuk berkahwin pada usia lebih lewat, umur median bagi ibu yang kali pertama melahirkan anak terus meningkat.
Situasi ini menambah lagi cabaran kesuburan di Singapura memandangkan tahap kesuburan wanita semakin menurun seiring dengan peningkatan usia.
Umur median bagi ibu yang kali pertama menimang cahaya mata meningkat daripada 31.3 tahun pada 2021 kepada 32.1 tahun pada 2025.
Dari segi tahap pendidikan, kira-kira dua dalam tiga ibu yang kali pertama melahirkan pada 2025 mempunyai ijazah universiti.
Sementara itu, kira-kira satu daripada lima ibu memiliki Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘A’, diploma, kelayakan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) atau yang setaraf dengannya.
Hanya kira-kira satu daripada 10 ibu yang kali pertama melahirkan anak mempunyai kelayakan akademik GCE peringkat ‘O’ atau lebih rendah.
Laporan ICA ini dikeluarkan sekitar lima bulan selepas Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, menyatakan pada Februari lalu bahawa jumlah kadar kesuburan (TFR) penduduk merosot ke paras terendah baharu iaitu 0.87 pada 2025.
TFR merujuk kepada purata bilangan anak yang dilahirkan setiap wanita sepanjang tempoh kesuburannya.
Dengan kadar kelahiran yang merosot pada tahap terendah ini, bilangan penduduk warga Singapura mungkin boleh mula berkurang menjelang awal dekad 2040-an jika tiada campur tangan baharu dilakukan, kata Encik Gan.