Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump ulangi hasrat ambil alih Greenland

Jan 15, 2026 | 2:35 PM
Trump, Greenland, ambil alih
Pemandangan di Nuuk, Greenland, pada hari berlangsungnya mesyuarat antara para pegawai tinggi Amerika Syarikat dengan Menteri Luar Denmark dan Greenland pada 14 Januari 2026. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Presiden Donald Trump mengulangi pada 14 Januari bahawa Amerika Syarikat memerlukan Greenland dan Denmark tidak boleh diharapkan untuk melindungi pulau itu.

Beliau juga membayangkan “sesuatu akan berhasil” mengenai tadbir urus masa depan wilayah di luar Denmark itu.

Kenyataan itu, yang dikeluarkan selepas mesyuarat berisiko tinggi antara pegawai Amerika, Denmark dan Greenland, menunjukkan masih terdapat perbezaan yang mendasar – bagaimana Washington, Copenhagen dan Nuuk melihat masa depan politik pulau itu.

“Greenland sangat penting untuk keselamatan negara, termasuk Denmark,” kata Encik Trump kepada pemberita di Pejabat Oval.

“Masalahnya ialah tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan oleh Denmark jika Russia atau China mahu menduduki Greenland, tetapi ada sesuatu yang boleh kita lakukan.

“Anda mengetahui apa yang berlaku minggu lalu dengan Venezuela,” tambahnya.

Menteri Luar Denmark dan Greenland bertemu dengan Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, dan Naib Presiden, Encik JD Vance, di Rumah Putih.

Susulan mesyuarat itu, Menteri Luar Denmark, Encik Lars Lokke Rasmussen, dan rakan sejawatnya dari Greenland, Cik Vivian Motzfeldt, berkata Amerika, Denmark akan membentuk kumpulan kerja bagi membincangkan pelbagai kebimbangan mengenai pulau itu.

Kumpulan itu dijangka bertemu dalam beberapa minggu akan datang.

Tetapi mereka turut menjelaskan Washington tidak berganjak daripada pendiriannya bahawa ia mesti memperoleh Greenland, satu keputusan yang digambarkan oleh Encik Rasmussen dan Cik Motzfeldt sebagai pelanggaran kedaulatan yang tidak boleh diterima.

“Kami tidak berjaya mengubah pendirian Amerika,” kata Encik Rasmussen, kepada pemberita di luar kedutaan Denmark di Washington selepas mesyuarat itu berakhir.

“Jelas presiden mempunyai hasrat menakluki Greenland,” tegasnya.

Beliau menambah bahawa pengambilalihan Greenland oleh Amerika “sama sekali tidak perlu”.

“Justeru, kami masih mempunyai perselisihan faham yang mendasar, tetapi kami juga bersetuju untuk tidak bersetuju,” tambahnya.

Beliau berkata isu itu “sangat emosional” bagi rakyat Greenland dan Denmark, sekutu Amerika yang teguh yang tenteranya terkorban bersama rakyat Amerika di Afghanistan dan Iraq.

“Idea yang tidak menghormati kewibawaan wilayah pemerintah Denmark dan hak penentuan nasib sendiri rakyat Greenland, sudah tentu, tidak boleh diterima sama sekali,” tambah Rasmussen.

Sebelum mesyuarat itu, Encik Trump berkata Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) akan menjadi jauh lebih hebat dan berkesan dengan Greenland di tangan Amerika. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg