Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tiga senario laluan AS untuk ambil alih Greenland

Sebarang langkah abai hasrat rakyat Greenland, norma antarabangsa potensi cetus krisis lebih besar
Jan 10, 2026 | 5:30 AM
denmark, greenland, amerika
Denmark menempatkan anggota tentera di Greenland. Namun, pakar berpandangan pasukan itu tidak akan mampu menandingi sebarang pencerobohan tentera Amerika Syarikat. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Hasrat Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, untuk melihat Greenland berada di bawah pengaruh Washington bukan lagi spekulasi semata-mata.

Sejak operasi khas tentera Amerika membawa Presiden Venezuela Nicolas Maduro, ke Amerika bagi menghadapi pertuduhan berkaitan dadah dan senjata, Encik Trump secara terbuka menyatakan Amerika “memerlukan” Greenland atas alasan keselamatan.

Kenyataan itu bukan sahaja mengundang kebimbangan sekutu Eropah, malah membuka semula perdebatan serius mengenai bagaimana, dan sejauh manakah Amerika boleh merealisasikan cita-cita tersebut.

Pakar undang-undang dan keselamatan antarabangsa berpendapat terdapat sekurang-kurangnya tiga laluan yang secara teori boleh Washington pertimbangkan iaitu tindakan ketenteraan; pembelian wilayah; atau satu bentuk Perjanjian Persekutuan Bebas atau Compact of Free Association.

Ketiga-tiga pilihan itu berbeza dari segi implikasi undang-undang, kos politik, dan risiko geopolitik.

Namun, kesemuanya menimbulkan persoalan besar tentang kestabilan hubungan rentas Atlantik dan norma antarabangsa.

Pilihan Ketenteraan: Cepat Namun Boleh Jejas Diplomasi

Walaupun kelihatan sukar dibayangkan, pentadbiran Encik Trump secara tekal enggan menolak kemungkinan menggunakan kekuatan tentera.

Jurucakap Rumah Putih, Cik Karoline Leavitt, menyatakan presiden dan pasukan keselamatan negaranya sedang menilai pelbagai pilihan, dan penggunaan tentera Amerika “sentiasa berada dalam senarai pilihan” di bawah kuasa pemerintah tertinggi.

Dari sudut ketenteraan semata-mata, pakar berpendapat sebarang tindakan Amerika terhadap Greenland akan berlaku dengan pantas.

Profesor Undang-undang Antarabangsa dari Australia, Profesor Donald Rothwell, menyifatkan keupayaan Denmark untuk menentang dari sudut ketenteraan “amat terhad”.

“Saya tidak dapat membayangkan Denmark sanggup menentang dari sudut ketenteraan kerana terdapat ancaman muktamad bahawa Amerika boleh melancarkan serangan terhadap Denmark sendiri.

“Sebarang konfrontasi akan berlaku dengan sangat singkat dan tegas,” katanya.

Namun, kelebihan ketenteraan tidak bermakna kemenangan politik.

Serangan terhadap Greenland akan melanggar undang-undang antarabangsa dan berpotensi memecahkan  Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) secara kekal.

Perdana Menteri Denmark, Cik Mette Frederiksen, telah menyifatkan senario sedemikian sebagai berakhirnya “segala-galanya”, termasuk keseluruhan rangka keselamatan pasca-Perang Dunia Kedua.

Pemimpin Eropah, termasuk di Jerman dan Perancis, segera melahirkan sokongan kepada Denmark, dengan seorang sumber pemerintah Jerman memberitahu agensi berita, Reuters, bahawa negara-negara Eropah sedang menyelaras langkah seterusnya.

Profesor Rothwell menegaskan tindakan ketenteraan akan menjadi “garis merah mutlak” bagi rakan strategik utama Amerika.

“Amerika tidak boleh berfungsi tanpa United Kingdom dan Perancis,” katanya, sambil menambah bahawa tindakan terhadap wilayah kecil dan aman juga berisiko menjejas hubungan dengan negara sekutu lain.

Sebahagian penganalisis percaya ancaman ketenteraan itu lebih bersifat taktik rundingan berbanding niat sebenar.

Encik Stuart Rollo dari Universiti Sydney menyifatkan pendekatan Encik Trump sebagai strategi klasik dan berunsur tekanan maksimum.

“Trump sering mengambil pendirian amat agresif pada peringkat awal, kemudian menggunakan pendirian itu sebagai asas rundingan,” katanya.

“Ancaman itu menjadikan pilihan lain seperti pembelian kelihatan lebih ‘munasabah’,” tambah beliau.

Pandangan itu disokong oleh laporan bahawa Setiausaha Negara, Encik Marco Rubio, secara tertutup masih menegaskan niat utama Encik Trump adalah untuk membeli Greenland, bukan menawannya secara paksa.

Beli Wilayah: Sah di Kertas, Sukar dalam Realiti

Dari sudut sejarah, Amerika bukan asing dalam pembelian wilayah.

Pakar ekonomi, Cik Susan Stone, yang juga Pemegang Kerusi Ekonomi di Universiti Australia Selatan, mengingatkan bahawa pada abad ke-19, Washington merupakan antara negara paling aktif memperoleh wilayah melalui urus niaga.

Ia termasuk Louisiana dari Perancis; Alaska dari Russia; dan Kepulauan Virgin dari Denmark.

Namun, amalan tersebut semakin jarang dalam era moden kerana ia bertentangan dengan prinsip demokrasi dan penentuan nasib sendiri.

Cik Stone menegaskan walaupun secara teori pembelian Greenland masih boleh berlaku, realitinya jauh lebih rumit.

“Halangan terbesar ialah Greenland tidak mahu dijual,” katanya.

Tinjauan pendapat menunjukkan majoriti rakyat Greenland menyokong kemerdekaan penuh, tetapi menolak idea menjadi sebahagian dari Amerika.

Dalam satu tinjauan pada 2025, seramai 85 peratus penduduk menentang pengambilalihan oleh Amerika.

Perdana Menteri Greenland, Encik Jens-Frederik Nielsen, berulang kali menegaskan: “Negara kami bukan untuk dijual.”

Tambahan pula, Denmark sendiri tidak mempunyai kuasa mutlak untuk menjual Greenland.

Mengikut perjanjian sedia ada, sebarang perubahan status memerlukan persetujuan rakyat Greenland melalui referendum.

Jalan Tengah yang Kompleks

Pilihan ketiga yang kian kerap dibincang ialah pembentukan Compact of Free Association.

Model itu membolehkan sesebuah wilayah mempunyai pemerintah sendiri, sementara Amerika bertanggungjawab terhadap pertahanan dan dasar luar.

Contoh sedia ada termasuk Micronesia, Kepulauan Marshall dan Palau, manakala New Zealand mempunyai susunan serupa dengan Kepulauan Cook.

Profesor Rothwell menjelaskan terdapat dua laluan sah untuk model itu.

Pertama, Amerika berunding dengan Denmark, dengan konsultasi penuh pemerintah Greenland.

Kedua, Denmark mempercepat kemerdekaan Greenland dan secara selari merundingkan status persekutuan bebas dengan Amerika.

Seorang pegawai kanan Amerika yang enggan dinamakan memberitahu Reuters, model itu sedang dibincangkan secara aktif.

Mantan pegawai keselamatan nasional Amerika, Encik Alexander B Gray, sebelum ini menyifatkan pendekatan itu sebagai “pilihan yang amat baik”, dengan menekankan bahawa kedaulatan Greenland perlu diutamakan.

Namun, persoalan utama kekal: Adakah rakyat Greenland benar-benar mahukan aturan sedemikian?

Adakah Amerika Perlu ‘Ambil’ Greenland?

Ironinya, ramai penganalisis berhujah Amerika sudah memiliki hampir semua akses keselamatan yang diinginkannya.

Perjanjian pertahanan 1951 antara Washington dengan Copenhagen memberi Amerika kebebasan luas untuk membina dan mengendalikan pangkalan tentera di Greenland.

Perjanjian itu membenarkan Amerika mengawal pendaratan pesawat, pergerakan kapal dan operasi ketenteraan lain.

Penyelidik Denmark, Encik Mikkel Runge Olesen, menyifatkan kedudukan Amerika sebagai hampir tanpa sekatan.

“Amerika sudah mempunyai kebebasan yang sangat luas di Greenland. Saya sukar melihat apa lagi yang mereka tidak boleh peroleh jika mereka sekadar meminta,” katanya.

Malah, perjanjian itu telah dipinda pada 2004 untuk mengiktiraf pemerintah autonomi Greenland sebagai rakan setara, sekali gus memberi perlindungan tambahan kepada penduduk tempatan.

Akhirnya, persoalan mengenai Greenland ialah tentang persepsi kuasa dan gaya kepimpinan.

Encik Trump kelihatan terdorong oleh keyakinan bahawa Amerika harus bertindak tegas untuk mengamankan kepentingannya, walaupun mekanisme undang-undang dan diplomatik sedia ada sudah memadai.

Ancaman, pembelian, atau persekutuan bebas semuanya membawa risiko berbeza.

Namun satu perkara jelas: Sebarang langkah yang mengabaikan kehendak rakyat Greenland dan norma antarabangsa berpotensi mencetuskan krisis yang jauh lebih besar daripada apa yang cuba dielakkan.

Dalam konteks ini, Greenland menjadi ujian sama ada diplomasi, undang-undang dan fahaman pelbagai hala masih berfungsi, atau sekadar hiasan dalam era persaingan kuasa besar yang semakin tegar. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg