Topik diikuti
Pergi ke BHkuSwiatek sedia kuasai semula gelanggang tanah liat
Swiatek sedia kuasai semula gelanggang tanah liat
Swiatek sedia kuasai semula gelanggang tanah liat
ROME: Srikandi tenis Poland, Iga Swiatek, kini kembali menunjukkan taringnya sebagai ‘Ratu Gelanggang Tanah Liat’ dan beliau tidak sabar untuk berentap dengan pemain Amerika Syarikat, Jessica Pegula, di pusingan suku akhir Terbuka Italy pada 13 Mei ini.
Swiatek mara ke pusingan suku akhir selepas menewaskan pemain Jepun, Naomi Osaka, dengan kemenangan mudah 6-2, 6-1 pada 11 Mei.
Kemenangan itu membuktikan beliau kembali menemui rentak yang pernah membantunya merangkul empat gelaran Terbuka Perancis.
“Jess sentiasa seorang pencabar yang sukar. Beliau sangat berpengalaman, sentiasa tenang, dan bermain dengan sangat konsisten,” kata Swiatek mengenai perlawanan akan datang itu.
“Saya perlu bersedia dan menonton semula perlawanan beliau di gelanggang tanah liat kerana rasanya sudah agak lama kami tidak bertanding di gelanggang itu.”
Swiatek belum memenangi sebarang kejohanan tanah liat sejak merangkul gelaran terakhirnya di Roland Garros (Terbuka Perancis) pada 2024, dengan faktor masalah peribadi dikatakan menjadi punca kemerosotan prestasinya di gelanggang kegemaran beliau itu.
Namun, beliau kembali mempamerkan kehebatan sebenarnya pada 11 Mei, dengan tidak memberi peluang kepada Osaka untuk bangkit sebelum menamatkan perlawanan dalam masa hanya satu jam 22 minit.
Osaka, juara Grand Slam empat kali, masih belum berjaya melepasi pusingan 16 pemain terakhir dalam mana-mana kejohanan pada 2026 selepas turut tersingkir di Indian Wells dan Terbuka Madrid pada peringkat sama di tangan pemain tenis nombor satu dunia wanita, Aryna Sabalenka.
“Ada sesuatu yang sepatutnya saya lakukan dengan lebih baik, tetapi saya tidak pasti apa,” kata Osaka dalam satu temu bual bersama Jelajah WTA.
“Jelas sekali perlawanan ini tidak ideal bagi saya, tetapi saya akan mengambil masa beberapa hari untuk menilai semula dan mencari jalan untuk buat lebih baik pada masa akan datang.”
Sementara itu, pemain Amerika, Coco Gauff, nyaris tersingkir sebelum bangkit daripada mata penamat untuk menewaskan rakan senegara, Iva Jovic, 5-7, 7-5, 6-2, sekali gus turut mengesahkan tempat beliau ke suku akhir.
Gauff, yang merupakan juara bertahan Terbuka Perancis dan melalui pusingan final di Rome pada 2025, memenangi perlawanan cukup memenatkan di gelanggang utama, yang mengambil masa hampir tiga jam untuk selesai.
Gauff kelihatan begitu kecewa dengan dirinya selepas menyelamatkan mata penamat ketika ketinggalan 5-4 pada set kedua, sehingga beliau dilihat mengetuk kepalanya sendiri.
Namun, beliau berjaya bangkit untuk menundukkan rakan senegaranya itu dan bakal berdepan pemain Russia, Mirra Andreeva, dalam aksi lapan pemain terakhir.
“Saya bangga... kerana telah mempamerkan aksi tenis yang sangat baik,” kata Gauff.
“Keadaan hari ini tidak mudah. Kami berdepan dengan angin yang kuat, bunyi pesawat, dan bunyi telefon berdering. Macam-macam gangguan berlaku.
“Tetapi saya sangat gembira. Terima kasih kepada pasukan saya kerana membantu. Kata-kata semangat (mereka) benar-benar membantu dari segi mental.” – AFP.
