Topic followed successfully
Go to BHkuSinner raih ‘Sunshine Double’ bersejarah
Sinner raih ‘Sunshine Double’ bersejarah
Jaya rangkul trofi di gelanggang keras California, Florida tanpa tewas sebarang set
Sinner raih ‘Sunshine Double’ bersejarah
MIAMI: Kejayaan pemain tenis Italy, Jannik Sinner, melakar sejarah dengan merangkul gelaran Terbuka Miami susulan kemenangan di Indian Wells pastinya tidak terlepas daripada perhatian Carlos Alcaraz.
Sinner, 24 tahun, menjadi pemain lelaki pertama yang melengkapkan sesuatu yang dikenali sebagai ‘Sunshine Double’ – iaitu merangkul kedua-dua trofi di gelanggang keras California dan Florida – tanpa tewas sebarang set.
Ketangkasan aksi pemain itu ketika menewaskan pemain dari Republik Czech, Jiri Lehecka, dengan keputusan 6-4, 6-4 dalam final di Miami yang terganggu akibat hujan, merupakan satu lagi gambaran betapa jauhnya jurang antara Sinner dengan Alcaraz berbanding pencabar lain.
Ia juga menjadi peringatan buat Alcaraz tentang bagaimana beliau perlu terus mencari jalan bagi meningkatkan prestasinya jika beliau ingin mengekalkan kedudukan semasanya sebagai pemain nombor satu dunia dalam siri jelajah lelaki.
Sinner, yang merupakan pemain nombor dua dunia, kini telah memenangi 34 set terakhirnya di kejohanan Masters, membolehkan beliau menyertai Novak Djokovic dan Rafael Nadal sebagai satu-satunya pemain lelaki yang merangkul tiga gelaran berturut-turut dalam kategori kejohanan Grand Slam.
Kejayaan meraih satu lagi kemenangan di Miami membantu Sinner merapatkan jurang mata dengan Alcaraz – yang tersingkir di pusingan ketiga – dalam kedudukan teratas ranking dunia.
Setakat ini, jurang mata antara Alcaraz dengan Sinner ialah 1,190 mata dengan peralihan musim ke siri jelajah gelanggang tanah liat di Eropah, dengan kedua-dua pemain itu akan bertarung sekali lagi bagi merebut gelaran juara utama.
“Ini merupakan siri jelajah luar biasa buat saya, dan saya amat gembira dengan usaha yang telah kami lakukan untuk berada di kedudukan ini,” kata Sinner, yang bangkit semula selepas tewas dalam suku akhir Terbuka Qatar sebelum berlepas ke Amerika Syarikat.
“Kami menjalani sesi latihan yang baik sebelum Indian Wells dan melihat keputusan seperti ini membuatkan saya gembira, begitu juga dengan tahap permainan yang kami cuba tonjolkan serta prestasi yang saya impikan.”
Sinner dan Alcaraz terus mempertingkatkan prestasi masing-masing dalam usaha mengatasi satu sama lain, manakala pemain lain dalam Jelajah ATP pula ketinggalan jauh di belakang.
Apabila Sinner tewas kepada pencabar dari Sepanyol itu dalam final Terbuka Amerika pada September 2025, beliau secara jujur mengakui keperluan untuk membawa lebih banyak kelainan dan unsur luar jangkaan ke dalam gelanggang.
Namun, sejak tewas kepada Djokovic dalam separuh akhir Terbuka Australia, dan kemudian kepada Jakub Mensik di Doha, kejayaan Sinner dilihat merupakan hasil daripada peningkatan dalam pukulan servis beliau.
Ketepatan servis pertama yang konsisten telah menjadi asas kepada kemenangannya di Miami.
Melakukan 70 servis tidak terbalas (ace) sepanjang enam perlawanan merupakan rekod tertinggi dalam kerjayanya bagi kejohanan tiga set.
Sinner disifatkan sebagai “antara pemain yang membuat pukulan bola terbaik yang pernah disaksikan dalam sukan ini” oleh pemain lawannya di suku akhir Miami, Frances Tiafoe.
Namun begitu, Sinner masih berusaha meningkatkan lagi ketajaman pukulan depan (forehand) beliau.
Hasrat itu mungkin kedengaran pelik memandangkan kuasa dan ketepatan luar biasa yang sedia ada pada pukulan beliau dari sudut tersebut.
Perkara itu turut diakui juara wanita Wimbledon 2013, Marion Bartoli, ketika mengulas perlawanan akhir tersebut untuk Sky Sports:
“Lelaki ini (Sinner) tiada kelemahan langsung – itulah sebabnya beliau telah menang begitu banyak perlawanan.”
Kemenangan di Miami itu bukan sekadar satu lagi trofi buat Sinner, malah ia menghantar isyarat jelas kepada pencabarnya bahawa era penguasaan beliau dalam arena tenis kini telah bermula. – Agensi berita.
“
“Ini merupakan siri jelajah luar biasa buat saya, dan saya amat gembira dengan usaha yang telah kami lakukan untuk berada di kedudukan ini. Kami menjalani sesi latihan yang baik sebelum Indian Wells dan melihat keputusan seperti ini membuatkan saya gembira, begitu juga dengan tahap permainan yang kami cuba tonjolkan serta prestasi yang saya impikan.”
