Mulai Jumaat ini, saya mohon anda (sang isteri) menunjukkan empati yang melimpah-ruah kepada suami anda.

Anda juga perlu lebih banyak bersabar, terutama jika anda bukan tergolong dalam kumpulan yang meminati bola sepak, apabila suami sentiasa berada dalam keadaan separuh lena.

Demam Piala Dunia telah bermula, mencetus permintaan kopi pekat yang melonjak, alasan kreatif dan rasa kecewa yang teramat, sebagaimana yang dirasai penyokong Liverpool di akhir musim Liga Perdana England (EPL) yang baru berlalu.

Apabila suami kelihatan mengantuk apabila anda menceritakan apa yang berlaku di salun rambut, ketahuilah, si suami bukan menguap kerana bosan tetapi kerana ingin menghembus keluar karbon dioksida dan menghirup udara lebih segar supaya dapat meneruskan perbualan tersebut.

Sebab serupa juga boleh digunakan apabila suami anda tertidur semasa menonton Netflix bersama.

Beliau bukannya malas atau kurang bertanggungjawab, tetapi semata-mata sedang berusaha mempersiapkan diri bagi cabaran selanjutnya, pada 18 Jun, sekitar 4 pagi, apabila England bertarung dengan Croatia.

Kadangkala, saya terfikir juga apa keistimewaan Piala Dunia bola sepak yang membuat peminat bola sepak ‘demam’ dan bak melupakan banyak perkara lain.

Dan rasa minat yang mendalam ini dirasai secara sejagat, walaupun negara sendiri tidak melayakkan diri ke Piala Dunia.

Sebagai contoh, walaupun minat terhadap bola sepak antarabangsa di Singapura telah bertambah sejak pasukan nasional melayakkan diri ke Piala Asia 2027, hakikatnya, Singapura tidak pernah melayakkan diri ke Piala Dunia.

Skuad negara kali pertama beraksi dalam pusingan kelayakan Piala Dunia pertama pada 1977 apabila Singapura menewaskan Thailand 2-0 di Stadium Negara di Kallang.

Walaupun menang dalam perlawanan itu, Singapura tetap gagal melayakkan diri ke pusingan kelayakan seterusnya selepas mengakhiri pusingan kelayakan berkumpulan di tangga kedua di belakang Hong Kong.

Hanya pasukan teratas melayakkan diri ke pusingan selanjutnya.

Namun, lebih tiga dekad selepas itu, pada 2010, Singapura berjaya mengatasi cabaran di dua pusingan kelayakan peringkat Asia, sebelum tersingkir di pusingan kelayakan ketiga dan terakhir, menamatkan pusingan kumpulan di belakang Arab Saudi dan Uzbekistan.

Sejak itu, bola sepak Singapura jarang bersaing atau menunjukkan prestasi di peringkat yang serupa. 

Malah, Singapura yang pada satu masa dahulu digeruni di padang bola sepak rantau ini, kini terpaksa menggamit sekadar memori kejayaan silam – kali terakhir pasukan bola sepak negara memenangi kejohanan bola sepak Asean, yang pernah dikenali sebagai Piala AFF Suzuki dan kini Piala AFF Mitsubishi Electric dan kini Piala Asean Hyundai – adalah pada 2012.

Dan sejajar dengan penurunan prestasi ini, minat terhadap bola sepak setempat turut merosot.

Namun, kebelakangan ini, minat tersebut seolah-olah bertambah semula.

Perlawanan Liga Perdana SIngapura (SPL) masih menarik minat penyokong bola sepak setempat, dengan pasukan lebih dikenali seperti Lion City Sailors dan BG Tampines Rovers terus memupuk sekumpulan peminat setia yang hadir ke setiap perlawanan di stadium.

Lebih 4,000 penonton pula bertandang ke Stadium Jalan Besar untuk menyaksikan pasukan nasional menundukkan Mongolia 4-0 dalam perlawanan persahabatan baru-baru ini. 

Menjelang Piala Asia di Riyadh, Arab Saudi pada 2027, minat ini diharap bertambah, terutama apabila Singapura bertarung dalam dua lagi pertandingan peringkat Asean, iaitu Piala Asean Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) yang bakal diadakan buat julung-julung kali pada 2026, dan Piala Asean Hyundai.

Pastinya, tempoh yang mengghairahkan bagi peminat bola sepak setempat dan di rantau ini. 

Namun, berbalik kepada Piala Dunia, tarikan trofi emas itu bagi sesetengah peminat bola sepak melebihi cinta pada pasukan bola sepak negara. 

Sebelum ini, saya kurang faham mengapa ada penyokong bola sepak tergamak menyarungkan jersi pasukan bola sepak negara lain (Saya masih enggan menyarung jersi pasukan negara lain dan hanya membeli jersi Singapura!). 

Namun kini saya mula lebih memahami, bahawa cinta pada bola sepak biasanya tidak bersempadan.

Cinta ini tidak bersifat eksklusif – anda masih boleh menyokong pasukan bola sepak negara sendiri tetapi tetap berbelanja ratusan dolar untuk membeli jersi pasukan bola sepak Jerman kerana anda ingin benar-benar ingin memiliki ‘secebis’ Piala Dunia.

Mungkin inilah juga sebabnya pada satu masa dahulu, saya menghabiskan wang jajan sekolah untuk membeli album pelekat dan pek pelekat wajah pemain Piala Dunia di kedai mamak depan rumah.

Album pelekat jarang penuh kerana tidak mampu berbelanja ratusan dolar untuk membeli pelekat yang mencukupi, tetapi album tersebut diburu saya setiap kali Piala Dunia berlangsung. 

Malangnya, kali ini, apabila saya lebih mampu membeli pelekat, saya gagal mendapatkan album pelekat bagi Piala Dunia 2026 kerana kehabisan stok di Shopee dan Lazada.

Nasib badan.

Tapi kegenjotan kecil itu tidak meluntur semangat saya untuk menonton Piala Dunia.

Suami anda juga begitu.

Sebenarnya, suami anda membuat rancangan untuk menonton Piala Dunia bukan semata-mata untuk memuaskan kemahuan peribadi semata-mata.

Beliau, seperti saya juga ingin menyumbang kepada sejarah dunia.

Piala Dunia 2026 dijangka mendekati lebih enam bilion penonton di televisyen dan alat bimbit berskrin lain, menjadikannya acara paling ditonton dalam sejarah.

Secara perbandingan, jumlah penonton pada edisi 2022 adalah lebih 5 bilion, termasuk 1.5 bilion yang menyaksikan final apabila Argentina menewaskan Perancis melalui tendangan penalti. 

Jumlah penonton dijangka meningkat secara drastik kali ini kerana pertandingan itu telah diperluas kepada 48 pasukan buat julung-julung kali dan merangkumi 104 perlawanan di Canada, Mexico dan Amerika Syarikat.

Satu lagi sebab mengapa anda perlu menyokong suami anda sepanjang bulan yang mencabar ini ialah kerana suami anda mungkin meluangkan lebih banyak masa di rumah.

Walaupun masa itu dihabiskan dengan berdengkur, percayalah, tersirat di lubuk hatinya, perasaan paling menyayangi anda dan nama-nama seperti Mbappe, Ronaldo dan Messi yang disebutnya semasa lena sekadar permainan tidur.