SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Seronok, tapi media sosial tanpa dipantau ancam anak kita

Seronok, tapi media sosial tanpa dipantau ancam anak kita

Antara lain, perlu sedar wujud anasir negatif yang boleh pengaruh minda anak
Apr 5, 2026 | 5:30 AM

Seronok, tapi media sosial tanpa dipantau ancam anak kita

ancaman siber
Ibu bapa sememangnya selalu prihatin tentang keselamatan fizikal anak seperti bahaya di jalan raya. Namun, pada masa yang sama, mereka juga perlu tahu bahaya membiarkan anak menggunakan ‘lebuh raya siber’ tanpa sentiasa ‘memimpin tangan’ atau memantau kegiatan mereka di dalam talian. - Foto JANAAN AI

Jika anda seorang ibu atau bapa dengan anak kecil pada zaman digital ini, anda mungkin lebih memahami apa pandangan saya mengenai tugas kita menjadi ibu bapa yang dirumitkan media sosial.

Mungkin, angkara WhatsApp, Instagram dan TikTok, saya boleh mengatakan tugas kita lebih rumit berbanding cabaran keibubapaan yang dihadapi ibu bapa kita.

Dahulu, cabaran terbesar ibu bapa kita – selain memastikan makan pakai keluarga mencukupi – adalah untuk memastikan kita terselamat daripada ancaman fizikal seperti diculik atau diganggu orang yang tidak dikenali apabila bermain di luar rumah, atau jatuh ke dalam parit semasa hendak memetik jambu air (kisah sebenar).

Namun pada masa ini, ibu bapa perlu menangani anasir yang mengancam minda anak kita.

Malangnya, kebanyakan ancaman ini berlaku di alam maya, tanpa wajah dan tanpa nama.

Suka atau tidak, mahu atau tidak, dalam era sempadan dunia fizikal dengan alam maya yang kian kabur, tanggungjawab kita termasuk usaha untuk memastikan anak kita tidak ‘diculik’ mindanya oleh algoritma telefon pintar di dalam talian dan media sosial.

Lebih mencetus keprihatinan, ancaman ini boleh wujud di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa – mungkin ketika anak sedang duduk diam secara fizikalnya selamat – di sofa sebelah kita.

Baru-baru ini, sebahagian ibu bapa mungkin dikejutkan dengan realiti ancaman yang berleluasa di wadah media sosial apabila membaca berita mengenai laporan keselamatan dalam talian yang dikeluarkan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA).

IMDA telah mengeluarkan surat amaran kepada dua platform media sosial popular X (dahulu Twitter) dan TikTok kerana didapati menerapkan ciri keselamatan terlalu lemah yang membiarkan kandungan bahan eksploitasi seksual kanak-kanak (CSEM) serta kandungan berkaitan pengganasan dimuat naik dan disebar di di platform masing-masing.

Dua platform itu kini diletakkan di bawah pengawasan dipertingkat, yang bermakna mereka perlu melaksanakan langkah pembetulan dan memberi kemas kini secara kerap kepada IMDA.

Ini selepas IMDA menemui 73 kes CSEM di X pada 2025 yang menyasar atau berasal daripada akaun pengguna di Singapura – naik 120 peratus daripada 33 kes yang ditemui pada 2024.

Kes tersebut melibatkan perkongsian kandungan atau pautan kepada CSEM, dan CSEM yang dihasilkan sendiri, iaitu merujuk kepada pengguna akaun berusia bawah 18 tahun yang memuat naik gambar lucah diri mereka sendiri.

Lebih mencetus keprihatinan, IMDA berkata kesemua 73 kes itu hanya dipadamkan X setelah pihak mereka memaklumkannya kepada X, walaupun kandungan tersebut jelas melanggar dasar platform itu sendiri.

Di TikTok pula, pihak berkuasa mengesan 17 kes kandungan berkaitan pengganasan yang dikongsi akaun berpangkalan di Singapura buat kali pertama pada 2025.

Kandungan itu melibatkan video dengan suntingan rakaman atau audio berkaitan organisasi pengganas rentas negara.

Walaupun pengguna telah membuat laporan melalui mekanisme dalam aplikasi, TikTok gagal menilai kandungan tersebut dengan tepat dan mendapati ia tidak melanggar garis panduan mereka.

Campur tangan pemerintah ini satu perkembangan baik dalam usaha melindungi rakyat Singapura, terutama anak kita.

Namun, sebagai ibu bapa, mungkin kita perlu berfikir lebih mendalam mengenai cara yang kita sendiri boleh lakukan untuk melindungi orang tersayang.

Cuba fikirkan contoh ini.

Kita tidak membiarkan anak kita menyeberangi jalan raya yang sibuk tanpa mematuhi lampu isyarat.

Bagi anak lebih kecil, kita akan memimpin mereka apabila kita menyeberang jalan raya di lampu isyarat.

Ini kerana kita mahu melindungi anak kita daripada ancaman kenderaan yang dipandu terlalu laju, misalnya.

Namun, pada masa sama, ada sebahagian kita, dan kadangkala diri saya sendiri, yang membiarkan anak menggunakan ‘lebuh raya siber’ tanpa sentiasa ‘memimpin tangan’ atau memantau kegiatan mereka di dalam talian, walaupun kita sedar akan ancaman yang wujud.

Melebihi ancaman bahan yang kurang sesuai dilihat, penggunaan media sosial yang keterlaluan boleh mengundang kesan jangka panjang lebih mendalam.

Seorang wanita berusia 20 tahun di Los Angeles baru-baru ini mengheret Google ke mahkamah dan menang selepas mahkamah mendapati syarikat itu bertanggungjawab menyebabkan beliau ketagih pada media sosial sehingga menjejas kesihatan mentalnya.

Namun, melebihi pampasan jutaan dolar yang dianugerahkan kepada wanita muda itu, saya terfikir juga akan kerugian jangka panjang yang ditanggungnya – kesihatan minda terjejas dan bagaimana hidup wanita itu telah berubah buat selama-lamanya.

Terlalu ramai pakar telah memberi bukti bagaimana ketagihan pada media sosial dan interaksi di alam maya menyumbang kepada kemurungan, keresahan dan masalah persepsi tubuh badan.

Saya jangka tiada ibu bapa yang inginkan perkara sedemikian berlaku kepada anak kita.

Buat masa ini, saya telah membuat keputusan aktif untuk mengurangkan penggunaan media sosial supaya perbuatan saya tidak ‘berjangkit’ pada anak saya.

Agar sukar, saya akui, dan hanya masa yang boleh menentukan sama ada cara ini akan berbaloi.

Tapi buat masa ini, saya memilih untuk membuat ‘kesilapan’ sosial di alam maya ini untuk mengelak kerugian lebih besar di masa depan.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg