SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Skuad bola keranjang 3x3 S’pura sasar pingat Piala Asia

Skuad bola keranjang 3x3 S’pura sasar pingat Piala Asia

Ia juga bagi persediaan hadapi cabaran lebih besar – Kelayakan Piala Dunia FIBA 3x3
Mar 24, 2026 | 9:19 PM

Skuad bola keranjang 3x3 S’pura sasar pingat Piala Asia

Kapten pasukan bola keranjang 3 lawan 3 Singapura, Nur Aufa Emil Putra, sasarkan pasukannya untuk melepasi peringkat suku akhir bagi Piala Asia Fiba 3x3 2026. Kejohanan tersebut bakal diadakan OCBC Square di Singapore Sports Hub.
Kapten pasukan bola keranjang 3 lawan 3 Singapura, Nur Aufa Emil Putra, sasarkan pasukannya untuk melepasi peringkat suku akhir bagi Piala Asia Fiba 3x3 2026. Kejohanan tersebut bakal diadakan OCBC Square di Singapore Sports Hub. - Foto BH oleh KHAIRUL AKMAL ALI

Skuad bola keranjang 3 lawan 3 Singapura meletakkan sasaran untuk melangkah lebih jauh daripada peringkat suku akhir dalam Piala Asia Fiba 3x3 2026.

Kejohanan yang akan berlangsung dari 1 hingga 5 April itu menyaksikan pasukan negara tampil dengan keyakinan baru, selepas sekadar menamatkan saingan di peringkat suku akhir pada edisi 2025.

Diketuai kaptennya, Nur Aufa Emil Putra, skuad ini telah melalui tempoh persiapan rapi sepanjang tiga tahun di bawah bimbingan ketua jurulatih Lazar Rasic.

“Saya harap kami boleh pergi lebih jauh. Sasaran utama sudah tentu podium, tetapi kami akan ambil satu langkah pada satu masa,” katanya.

Dalam sesi media bersama Berita Harian pada 24 Mac, Aufa menjelaskan bahawa kejohanan ini turut dijadikan penanda aras penting untuk menilai tahap sebenar pasukan, sebagai persediaan menghadapi cabaran lebih besar – Kelayakan Piala Dunia FIBA 3x3 yang dijadual berlangsung dari 11 hingga 12 April.

“Ia peluang untuk tentukan tahap prestasi kami berbanding pasukan lain di Asia. Dari situ, kami boleh tahu apa lagi yang perlu diperbaiki, dan dijadikan pengajaran bagi kelayakan Piala Dunia nanti,” jelas atlet berusia 25 tahun itu.

Berbanding tahun lalu yang lebih tertumpu kepada latihan intensif, kali ini skuad negara lebih banyak didedahkan kepada aksi kompetitif di luar negara.

“Kami banyak menyertai pertandingan antarabangsa, termasuk di China, dan itu sangat membantu kami mendapatkan semula rentak permainan sebenar. Latihan dan perlawanan sebenar memang sangat berbeza,” katanya.

Tambahnya lagi, pendedahan berterusan kepada suasana pertandingan menjadikan pemain lebih bersedia dari segi mental, sekali gus mengurangkan tekanan apabila beraksi di pentas besar.

Dalam masa yang sama, Aufa turut mengakui kelebihan beraksi di laman sendiri bagi kelayakan Piala Dunia buat julung kalinya mampu memberikan suntikan tambahan kepada pasukan.

“Bermain di hadapan penyokong sendiri memang berbeza. Tenaga itu kita boleh rasakan semasa di gelanggang, dan ia banyak membantu kami untuk terus berikan permainan yang terbaik,” ujarnya.

Sentimen tersebut turut dikongsi ketua jurulatih negara, Lazar Rasic, yang melihat penganjuran kejohanan di Singapura sebagai satu peluang besar bukan sahaja untuk pasukan, malah untuk perkembangan sukan bola keranjang 3x3 di negara ini.

“Ini peluang untuk peminat melihat sendiri bagaimana tahap tertinggi sukan ini dimainkan. Pada masa sama, ia peluang untuk kami berjuang di hadapan penyokong sendiri,” katanya.

Walaupun berdepan dua kejohanan besar secara berturut-turut, Rasic menegaskan bahawa pendekatan pasukan tidak akan berubah, sebaliknya kekal berpegang kepada disiplin dan konsistensi yang telah dibina sejak beberapa tahun lalu.

“Kami sudah bekerja keras selama tiga tahun dan kami akan teruskan dengan cara yang sama. Itu asas kepada perkembangan pasukan ini,” jelasnya.

Dari segi sasaran, beliau mengakui cabaran di peringkat tertinggi memerlukan pendekatan yang realistik, namun tidak pernah mengehadkan impian pasukan untuk mencipta kejayaan.

“Kami mahu menjadi lebih baik daripada edisi sebelumnya. Ini adalah tahap tertinggi, jadi kami perlu realistik, tetapi impian kami sentiasa untuk berada di podium,” katanya.

Rasic turut menegaskan bahawa perkembangan pasukan tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil daripada komitmen jangka panjang para pemain yang sanggup berkorban demi mengharumkan nama negara.

“Mereka telah banyak berkorban, dari segi masa, pelajaran dan kerjaya. Tetapi mereka komited sepenuhnya kepada pasukan ini, dan itu yang membawa kami ke tahap sekarang,” ujarnya.

Dengan lebih banyak kejohanan antarabangsa dirancang sepanjang tahun, beliau yakin pengalaman yang dikumpul akan menjadi aset penting dalam usaha memperkukuh pasukan untuk jangka masa panjang.

“Kami semakin kuat setiap tahun, semakin berpengalaman. Ini adalah proses menuju ke tahun-tahun penting bagi kami,” katanya.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg