Topic followed successfully
Go to BHkuProgram pembangunan bola keranjang kebangsaan bagi belia dilancar
Program pembangunan bola keranjang kebangsaan bagi belia dilancar
Sasar pacu kedudukan bola keranjang tempatan
Program pembangunan bola keranjang kebangsaan bagi belia dilancar
Bagi memacu kedudukan bola keranjang Singapura dan memanjangkan tempoh kerjaya atlet, satu Program Pembangunan Belia Kebangsaan (NYDP) telah dilancarkan di Sekolah Sukan Singapura (SSP).
Program itu, hasil kerjasama SSP, Institut Sukan Berprestasi Tinggi (HPSI) dan Persatuan Bola Keranjang Singapura, merupakan wadah tersusun bagi atlet bawah 19 tahun berpotensi tinggi dalam format tiga lawan tiga dan lima lawan lima.
Ia diumumkan buat kali pertama oleh Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Negara Kanan (Pendidikan), Encik David Neo, semasa perbahasan di Parlimen mengenai belanjawan kementeriannya pada 5 Mac.
Pendekatan itu membolehkan pemain muda berlatih sehingga 10 kali seminggu sepanjang tahun, jauh berbeza berbanding hanya dua hingga empat sesi seminggu bersama pasukan remaja kebangsaan semasa tempoh pertandingan.
Program itu juga menjamin pendedahan yang berterusan kepada kededua format, dengan sekurang-kurangnya 40 perlawanan setahun melalui liga, perlawanan persahabatan dan peluang di luar negara.
Encik Neo berkata matlamatnya adalah untuk membina “laluan lebih bersepadu yang menghimpunkan atlet muda kita secara lebih tekal, supaya kita dapat memperkukuh penguasaan individu dan kesepaduan pasukan”.
NYDP menunjukkan bagaimana Kecemerlangan Sukan Singapura (SpexSG), entiti prestasi tinggi baharu yang dilancarkan pada 1 April, akan bekerjasama dengan persatuan sukan kebangsaan.
SpexSG bakal memperkukuh laluan atlet muda, menetapkan sasaran pingat yang lebih jelas, merancang latihan dan pertandingan jangka panjang, serta menawarkan sokongan sains sukan dan kebajikan atlet yang lebih mantap, ujar Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY).
Ketua Jurulatih NYDP, Neo Beng Siang, sebelum ini pernah melatih Singapore Slingers dalam Liga Bola Keranjang Asean yang kini telah dibubarkan.
Ketua HPSI, Dr Su Chun Wei berkata NYDP adalah “perubahan ketara dalam strategi kami untuk mewujudkan Program Bola Keranjang Kebangsaan bersepadu, direka untuk mencapai potensi maksimum Singapura”.
Beliau menambah: “Dengan persekitaran latihan harian yang tekal sejak peringkat belia, program ini bertujuan meningkatkan kemahiran pemain dan memastikan atlet memasuki pasukan kebangsaan – sama ada tiga lawan tiga atau lima lawan lima – dengan kemahiran teknikal yang lebih unggul serta kefahaman taktikal yang lebih mendalam.”
NYDP dan program kebangsaan tiga lawan tiga berada di bawah Program Bola Keranjang Kebangsaan, yang mewujudkan “laluan peralihan yang lancar dengan falsafah kejurulatihan yang tekal bagi atlet dari peringkat belia hingga ke peringkat senior”, kata Dr Su.
“Ini membolehkan mereka mencapai potensi lebih awal dan mengekalkan prestasi puncak untuk tempoh yang lebih lama, sekali gus memanjangkan kerjaya pemain di peringkat elit.
“Struktur kejurulatihan yang bersatu juga membolehkan pemantauan individu dan perkembangan pemain sepanjang kerjaya sukan mereka, meningkatkan pencegahan kecederaan dan pengurusan kesejahteraan atlet,” tambah beliau.
Antara yang meraih manfaat daripada NYDP ialah Emily Elessa, 15 tahun, yang berpindah dari Sekolah Menengah Yishun ke SSP pada 2026 untuk memburu cita-citanya mewakili Singapura di peringkat senior.
Sebelum ini, Emily hanya berlatih dua kali seminggu bersama sekolahnya, berasingan daripada rakan sepasukan kebangsaan dan di bawah bimbingan jurulatih berbeza, sehinggalah hampir waktu pertandingan.
Kini, beliau berlatih sehingga 10 kali seminggu bersama pasukan kebangsaan tiga lawan tiga dan NYDP, di bawah jurulatih kebangsaan dengan pendekatan kejurulatihan yang diseragamkan.
Perubahan itu ternyata membawa kesan besar kepada Emily.
“Ketekalan yang meningkat telah membantu saya membina disiplin dan meningkatkan keseluruhan kemahiran saya.
“Latihan yang lebih kerap juga membolehkan saya memperhalusi aspek-aspek kecil dalam permainan saya, yang memberi perbezaan besar,” kongsinya.
Singapura berpeluang meneruskan momentum kejayaan apabila bakal menjadi tuan rumah dan bersaing buat kali pertama dalam Kelayakan Piala Dunia Fiba tiga lawan tiga pada 11 dan 12 April.
Pertandingan di Singapura akan berlangsung selama tiga pusingan di OCBC Square, Kallang, dan menyusuli Piala Asia Fiba tiga lawan tiga dari 1 hingga 5 April di tempat yang sama.
“
“Ketekalan yang meningkat telah membantu saya membina disiplin dan meningkatkan keseluruhan kemahiran saya. Latihan yang lebih kerap juga membolehkan saya memperhalusi aspek-aspek kecil dalam permainan saya, yang memberi perbezaan besar.”
