Topik diikuti
Pergi ke BHkuSkuad silat raih 12 pingat di Belgium
Skuad silat raih 12 pingat di Belgium
Atlet S’pura semakin bersedia jelang kejohanan Asia, Dunia
Skuad silat raih 12 pingat di Belgium
Pasukan silat negara membuka tirai musim 2026 dengan persembahan memberangsangkan di Kejohanan Pencak Silat Antarabangsa Terbuka Belgium baru-baru ini, setelah berjaya merangkul tiga pingat emas daripada keseluruhan 12 pingat yang dimenangi dalam kategori Tanding dan Seni.
Kontinjen Singapura itu dibarisi 13 pendekar dan srikandi, termasuk juara dunia, Nurul Suhaila Mohamed Saiful, dan pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2025, Nurin Insyirah Mohamed Aidil.
Sekitar 138 pesilat dari rantau Eropah dan Asia, termasuk Malaysia dan Indonesia, berhimpun di Schoten, Belgium, dari 24 hingga 26 April untuk menguji kemampuan mereka.
Beberapa pesilat yang ditemui Berita Harian (BH) pada 30 April menyifatkan kejohanan itu sebagai persediaan penting sebelum beraksi di Kejohanan Asia di Vietnam dan Kejohanan Dunia di Uzbekistan pada Julai dan November nanti, di mana mereka menjangkakan tahap persaingan lebih sengit.
Antara yang menyumbang pingat emas ialah juara dunia, Sheik Ferdous Sheik Alau’ddin, yang menjuarai kategori Tanding Kelas I Putera (85-90kg) setelah menewaskan Nedim Djedovic daripada kumpulan Bongsu Silat Austria.
“Ini merupakan langkah pertama dan persiapan yang baik bagi 2026, semua lawan kami memberikan tentangan sengit.
“Lantas, ini menjadi sebahagian persiapan bermakna sebelum kami bersaing dalam persekitaran yang dijangka lebih kompetitif,” kongsi beliau yang berusia 30 tahun.
Misi mempertahankan gelaran dunia yang kali terakhir dimenanginya pada 2024 akan menjadi lebih manis buat Ferdous, kerana satu lagi kemenangan di Uzbekistan nanti akan melengkapkan hatrik gelaran dunia baginya.
Muhammad Khir Mohamad pula meraih pingat emas dalam acara Seni Kreatif Bebas Solo Putera setelah menewaskan lawan dari Universitas Sebelas Maret (UNS) Indonesia, Fajar Afriza Lutfi Kurniawan.
Namun, beliau terpaksa berpuas hart dengan pingat gangsa bagi acara Seni Tunggal Putera, setelah ditewaskan oleh lawan dari Pasukan Indonesia, Andika Dhanireksa, dalam peringkat separuh akhir.
Dalam kegembiraan mengutip dua pingat, atlet berusia 25 tahun itu menghargai pengalaman bermakna yang diraih setelah menentang lawan lebih berpengalaman.
“Saya dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran kompetitif dengan lebih lancar, serta meningkatkan daya ketahanan mental saya ketika berdepan jaguh silat.
“Kini, saya rasa lebih yakin dan bersemangat untuk memberi aksi terbaik dalam kejohanan lain yang menjelang,” kongsinya.
Pingat emas ketiga disumbang Nurul Suhaila, apabila beliau mengatasi lawan daripada perguruan Satria Muda Indonesia, Zahra Fadli, dalam persaingan Kelas D Puteri (60-65kg).
Pasukan Singapura juga meraih enam pingat perak dan tiga pingat gangsa.
Ketua jurulatih, Rafili Ramli, menyambut baik aksi cemerlang anak didiknya.
“Saya rasa ini permulaan baik, memandangkan atlet kami belum bersaing selama hampir lima bulan (sejak Sukan SEA 2025 pada Disember),” katanya.
Kejohanan tersebut juga peluang penting untuk pesilat dan jurulatih menyesuaikan diri dengan peraturan baru yang dikuatkuasakan di Belgium, yang tidak lagi membenarkan pesilat bergelut dengan satu sama lain, tambah Rafili.
Pasukan negara seterusnya bakal beralih tumpuan ke Pahang bagi Kejohanan Silat Terbuka Cekak Harimau Malaysia Nasional dan Antarabangsa Keenam, yang bakal berlangsung dari 12 hingga 17 Mei.
Ia bertujuan mendedahkan lebih ramai pesilat kepada peraturan baru, selain membantu mereka menemui rentak menjelang Kejohanan Asia.
