SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Salah tinggalkan Liverpool hujung musim

Salah tinggalkan Liverpool hujung musim

Tidak disertakan bagi beberapa perlawanan; tiada kenyataan kelab mana beliau bakal sertai
Mar 25, 2026 | 2:49 PM

Salah tinggalkan Liverpool hujung musim

Mohamed Salah, Liverpool, perpindahan Liga Perdana
Legenda dan bintang Liverpool, Mohamed Salah, mengesahkan beliau bakal meninggalkan kelab itu pada akhir musim ini. - Foto AFP

LONDON: Bintang Liverpool, Mohamed Salah, mengesahkan akan meninggalkan kelab berkenaan pada penghujung musim ini.

Keputusan tersebut sekali gus menamatkan tempoh sembilan tahun antara pemain bola sepak terhebat yang pernah dilihat dalam Liga Perdana England (EPL) bersama The Reds (Liverpool).

Perkara tersebut diumumkan sendiri oleh pemain berusia 33 tahun itu melalui catatannya di Instagram, yang diterbitkan seiring dengan kenyataan rasmi kelab.

Mohamed Salah yang juga digelar ‘Raja Mesir’ telah menyarung jersi Liverpool sebanyak 435 kali dalam semua pertandingan melibatkan kelab itu.

Beliau akan mempunyai peluang beraksi di padang sehingga 15 kali lagi antara sekarang dengan akhir musim.

Namun, tidak kira sama ada Liverpool akan memenangi trofi musim ini atau tidak – dengan pasukan Arne Slot masih berpeluang merangkul Liga Juara-Juara dan Piala FA – Salah akan mengucapkan selamat tinggal setelah memenangi banyak gelaran bersama Liverpool sejak berpindah daripada kelab Italy, AS Roma pada 2017.

Salah memecah rekod dengan memenangi empat Kasut Emas Liga Perdana hingga memenangi Pemain Terbaik PFA sebanyak tiga kali.

Sejak beliau menandatangani kontrak dengan Liverpool, tiada pemain yang menyumbat lebih banyak gol sepertinya – Liga Perdana (189) atau bantuan gol (92).

Melihat Salah menjaringkan gol – kemudian melutut dan menundukkan kepalanya atau sujud ke lantai – tidak akan dapat dilupakan peminat.

Bagi Liverpool sahaja, beliau telah menjaringkan gol sebanyak 255 kali – di belakang Ian Rush dan Roger Hunt yang menjaringkan gol lebih banyak kali buat kelab itu dalam sejarahnya yang gemilang.

Tetapi ia tidak sepatutnya berakhir seperti ini – dengan Salah pada dasarnya bersetuju memendekkan kontraknya dan Liverpool membiarkannya pergi secara percuma pada musim panas ini.

Kurang setahun, Salah duduk di atas takhta di Anfield selepas memperbaharui kontraknya dan menandatangani perjanjian sehingga musim panas 2027.

Perjanjian sebelumnya dijadualkan tamat pada 2025 tetapi memandangkan beliau menduduki tangga teratas carta penjaring gol dan bantuan gol dalam EPL, pihak pengurusan Liverpool tidak mempunyai pilihan selain menawarkannya perjanjian baru.

Namun menjelang Disember, Salah telah disingkirkan – kemudian diketepikan sepenuhnya daripada skuad – selepas beliau mendakwa dalam satu temu bual selepas tidak diturunkan menentang Leeds bahawa hubungannya dengan Slot telah rosak dan seseorang di kelab itu mahu beliau keluar.

Rasa tidak puas hati awalnya dilaporkan bermula apabila beliau disingkirkan untuk perlawanan Liga Juara-Juara semasa di tempat lawan di Eintracht Frankfurt pada Oktober 2025, perlawanan yang dimenangi Liverpool 5-1.

Slot mengakui ia adalah keputusan sukar tetapi ia tidak sesuai dengan Salah, yang percaya beliau harus memulakan setiap perlawanan EPL dan Liga Juara-Juara, memandangkan apa yang telah dilakukannya selama ini untuk kelab itu.

Ringkasnya, Salah menyedari beliau tidak lagi akan menjadi pemain utama.

Selepas temu bual itu, Salah tidak disertakan dalam perlawanan menentang Inter Milan tetapi, tiga hari kemudian, beliau masuk daripada bangku simpanan menentang Brighton dan mendapatkan bantuan gol.

Slot ketika itu menyatakan selepas perlawanan "tiada isu untuk diselesaikan".

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi mengenai destinasi baru Salah atau pasukan yang bakal disertainya.

Sebagai pemain bebas, beliau boleh berpindah tanpa sebarang bayaran perpindahan – situasi yang mungkin menarik minat kelab-kelab kaya, terutamanya dari Arab Saudi selepas tawaran besar kepada beliau ditolak pada 2023. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg