Pasukan Lion City Sailors semakin hampir untuk menjulang kejuaraan Liga Perdana Singapura (SPL) buat dua musim berturut-turut selepas menewaskan Geylang International 3-0 pada 26 April.

Kemenangan di Our Tampines Hub (OTH) itu meletakkan Sailors di posisi kukuh, di mana mereka hanya perlu menewaskan BG Tampines Rovers minggu depan untuk menutup terus peluang lawan mereka dalam perebutan kejuaraan itu.

Ketika ini, Tampines berada di tangga kedua dengan 42 mata dan perlu memenangi kesemua baki empat perlawanan mereka.

Sebaliknya, Sailors yang mendahului liga dengan 50 mata hanya memerlukan dua kemenangan lagi untuk mengesahkan kejuaraan.

Namun, pengurus Sailors, Jesus Casas, menggesa pasukannya agar kekal tenang dan fokus.

“Sepanjang minggu ini, kami cuba menekankan cara untuk meraih kemenangan. Namun begitu, reaksi emosi setiap pemain adalah berbeza.

“Apa yang penting, kami berusaha mengekalkan ketenangan mereka dan akan terus bermain seperti biasa dalam setiap perlawanan,” kata pengurus dari Sepanyol itu.

Untuk menentang Geylang, Sailors terpaksa bekerja keras untuk mendapatkan gol pembukaan.

Jaringan tersebut akhirnya tiba pada minit ke-36 apabila pasukan tuan rumah yang terlalu ghairah menyerang, dihukum menerusi serangan balas pantas.

Sailors menggandakan kelebihan mereka sejurus selepas separuh masa kedua bermula apabila Geylang gagal mengeluarkan bola hasil sepakan sudut dengan kemas, lalu dimanfaatkan Rui Pires dari jarak dekat.

Kemenangan itu dimuktamadkan pada minit ke-67 apabila Lennart Thy menyempurnakan sepakan penalti selepas pemain tengah Geylang, Shahdan Sulaiman, dilayangkan kad merah kerana bola terkena tangannya di garisan gol.

Sementara itu, Tampines turut mengekalkan tekanan dalam perebutan kejuaraan SPL dengan penuh bergaya selepas membelasah Young Lions 8-1 pada 24 April.

Tampines jelas terlalu kuat buat Young Lions, yang sebenarnya mempamerkan peningkatan prestasi dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

Tampines mengawal tempoh perlawanan sepanjang perlawanan, dan mengakhiri separuh masa pertama 4-1, hasil jaringan Trent Buhagiar, Irfan Najeeb, Shah Shahiran dan Kyoya Kazama.

Young Lions hanya mampu menjaringkan gol sagu hati pada separuh masa pertama melalui Sergio Mendoca.

Penguasaan tersebut berkekalan pada separuh masa kedua, dengan Glenn Kweh, Ong Yu En dan Hide Higashikawa menjaringkan gol, manakala Shah Shahiran menjaringkan gol keduanya.

Namun, Tampines bakal berdepan dengan ujian lebih besar apabila mereka berdepan Albirex Niigata yang menduduki tempat ketiga SPL, pada 30 April.

Hanya tiga hari kemudian pada 3 Mei, mereka perlu menghadapi juara bertahan SPL, Sailors di OTH.

Jika mereka tewas dalam perlawanan menentang Sailors, mereka akan menyaksikan lawan mereka, antara pesaing utama mereka, menjulang piala SPL di stadium sendiri.

Di bahagian bawah liga SPL, Tanjong Pagar tewas kepada Albirex 0-4 di Stadium Jurong East pada 25 April.

Ini bermakna pasukan kendalian Noh Alam Shah itu telah mengalami 11 kekalahan berturut- turut, dan menduduki tangga corot SPL dengan hanya empat mata.

Albirex menjaringkan tiga gol pada separuh masa pertama melalui dua jaringan Shingo Nakano dan satu jaringan Tae Uk Kim.

Pada 90 minit, Nakano melengkapkan hatriknya, mendapatkan kemenangan 4-0 untuk Albirex.

Namun pengurus Tanjong Pagar, Noh Alam Shah, berkata pasukannya mempamerkan prestasi lebih baik pada separuh masa kedua, di mana mereka kelihatan lebih stabil dan menjaga penguasaan bola sepak.

“Mereka (Albirex) pasukan yang konsisten, itulah sebabnya mereka menduduki tempat ketiga,” kata jurulatih berusia 45 tahun itu.

“Kami hadiahkan mereka beberapa peluang, dan mereka manfaatkan peluang tersebut. Separuh masa kedua, kami lebih stabil.”

Tanjong Pagar akan berdepan dengan Hougang pada 5 Mei di Jurong East Stadium, di mana mereka akan cuba untuk mengelakkan kekalahan ke-12 berturut-turut.