SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Prestasi Watkins boleh tarik perhatian pengurus England

Prestasi Watkins boleh tarik perhatian pengurus England

Watkins muncul wira dua gol menerusi penyudah klinikal untuk bantu Villa benam Bologna 3-1
Apr 10, 2026 | 12:43 PM

Prestasi Watkins boleh tarik perhatian pengurus England

LONDON: England mungkin tidak bermain lagi sehingga musim panas, tetapi satu perlawanan pada malam 16 April pasti membawa senyuman di wajah pengurusnya, Thomas Tuchel.

Sebelum ini, beliau menyaksikan pasukan negara itu terkial-kial untuk menjaringkan gol tanpa kapten dan penjaring gol terbanyak Harry Kane semasa perlawanan persahabatan Mac lalu menentang Uruguay dan Jepun.

Ia sekali lagi menggariskan pilihan terhad Tuchel apabila melibatkan alternatif untuk Kane yang berusia 32 tahun, dengan Piala Dunia di Amerika Syarikat, Canada dan Mexico hanya tinggal dua bulan lagi.

Jadi beliau tentunya sangat gembira apabila mengetahui Ollie Watkins telah menjaringkan dua gol lagi untuk Aston Villa dalam kemenangan 3-1 mereka menentang Bologna dalam perlawanan suku akhir pertama Liga Europa di Italy.

Penyerang Villa itu diketepikan daripada skuad 35 pemain England yang diperluas oleh Tuchel pada Mac, setelah hanya menjaringkan satu gol dalam sembilan perlawanan Liga Perdana England (EPL) sebelum ini.

“Watkins tidak bersama kami tetapi fakta menunjukkan bahawa saya tahu apa yang boleh dibawanya kepada pasukan dan saya sangat mengenalinya,” kata Tuchel semasa pengumuman skuad.

Di sebalik komen tersebut, harapan penyerang itu untuk dipilih ke Piala Dunia masih diragui.

Respons Watkins terhadap kegagalan itu amat jelas, dengan pemain berusia 30 tahun itu menambah jaringan gol yang dijaringkannya menentang West Ham dalam EPL sebelum tempoh rehat antarabangsa.

“Ia adalah penghujung musim dan saya tidak sabar untuk bermain,” kata Watkins kepada TNT Sports selepas Villa mara selangkah lebih dekat ke tempat dalam separuh akhir Liga Europa.

“Saya boleh bermain selama 90 minit lagi. Saya teruja untuk beberapa perlawanan akan datang,” kata Watkins dengan penuh harapan

Selepas gol pembukaan Ezri Konsa menentang Bologna, Watkins mengurangkan rasa gementar Villa dengan gol kedua pada awal separuh masa kedua apabila beliau menyambar kesilapan Torbjorn Heggem dan menjaringkan gol melalui kaki penjaga gol Federico Ravaglia.

Selepas pasukan Serie A itu menjaringkan gol lewat menerusi Jonathan Rowe pada minit ke-90, Watkins mengembalikan kelebihan dua gol Villa pada minit ke-94 daripada sepakan sudut, sebelum perlawanan timbal balik di Villa Park pada 16 April kelak.

Watkins kini telah menjaringkan tiga gol dalam lima perlawanan terakhirnya dalam semua pertandingan, selepas hanya berjaya satu gol dalam 12 penampilan sebelumnya.

Tiga golnya dalam tiga perlawanan Liga Europa adalah sama seperti yang dijaringkannya dalam 24 penampilan sebelumnya dalam pertandingan utama Eropah.

Bekas pemain sayap Scotland, Pat Nevin, percaya peningkatan prestasi Watkins perlu dimanfaatkan untuk kebaikan kelab dan negara.

“Ia masa yang tepat, bukan? Banyak perkara berlaku pada akhir musim ini,” tambah Nevin. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg