Bagi Abdul Wafi Idris, petinju profesional berusia 19 tahun dari Singapura, sukan tinju bukan sekadar tentang kemenangan, kejar kejayaan atau rekod profesional.

Malah, ia juga tentang bagaimana sukan itu boleh menjadi alat untuk menyumbang semula kepada masyarakat – khususnya kepada kanak-kanak di Pesantren Mutiara Darul Quran di Bandung yang menggelarnya ‘Abang’.

Di situlah perjalanan yang lebih besar daripada sukan itu bermula – apabila minat dalam sukan tinju berkembang menjadi satu misi kemanusiaan yang terus hidup hingga hari ini.

Segalanya bermula jauh sebelum beliau sendiri melangkah ke sana.

Menurut Wafi, pada 2018, ibunya, Cik Juliana Surani, 56 tahun, yang terkenal dengan sikap pemurahnya, mula menyalurkan bantuan kepada pesantren tersebut – menaja makanan, pendidikan, serta keperluan asas beberapa pelajar yang tinggal di situ.

Apa yang bermula sebagai bantuan kecil kemudian berkembang menjadi satu usaha keluarga yang berterusan.

Wafi turut mengikuti ibunya apabila beliau ke Bandung pada tahun yang sama, yang mana keluarganya turut membantu membina kemudahan asas seperti pam air dan kanopi bagi melindungi pelajar daripada hujan lebat di kawasan tersebut.

Hari ini, sokongan itu masih diteruskan secara tekal.

Wafi dan ibunya masing-masing menyumbang sekitar $90 setiap bulan bagi menampung sebahagian makanan dan yuran di sana.

Namun hubungan itu tidak berhenti di situ.

Apabila pihak pesantren berdepan keperluan baru untuk memperkenalkan program pendidikan jasmani, mereka menghadapi kesukaran besar mencari tenaga pengajar yang sesuai.

Kos untuk membawa jurulatih dari luar terlalu tinggi, dan tanpa program tersebut, operasi sekolah hampir terancam.

Cadangan awal yang sampai kepada Wafi hanyalah untuk beliau datang seketika, sekadar membantu untuk menunjukkan bahawa program itu wujud.

Namun begitu, beliau memilih untuk melakukan lebih daripada itu.

“Saya kata, biar saya tinggal seminggu. Saya nak buat sesuatu yang boleh bertahan,” katanya.

Walaupun ketika itu beliau sedang menguruskan jadual padat sebagai pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dalam bidang pengurusan sukan, jurulatih peribadi dan petinju yang sedang membina kerjaya profesional, beliau tetap tekad untuk pergi ke Indonesia.

Baginya, tanggungjawab itu lebih besar daripada keselesaan sendiri.

Di sana, beliau memperkenalkan struktur latihan asas, mengajar disiplin dari segi fizikal dan menyediakan beberapa peralatan latihan untuk kegunaan pelajar semasa kelas pendidikan jasmani.

Hari ini, walaupun sudah kembali ke Singapura, beliau masih meneruskan bimbingan secara dalam talian setiap minggu melalui panggilan Zoom, selain merancang untuk kembali setiap beberapa bulan bagi memastikan program itu kekal hidup.

Ramai kanak-kanak tersebut mereka sudah mengenalinya sejak kunjungan pertama pada 2018.

Apa yang lebih bermakna bagi Wafi adalah bagaimana hubungan itu turut mengajar dirinya tentang kehidupan.

Beliau tiba di Bandung dengan niat untuk mengajar, tetapi akui akhirnya beliau sendiri yang banyak belajar daripada para pelajar itu.

“Kalau lihat mereka, mereka tak pernah merungut,” katanya, menggambarkan rutin harian pelajar yang bangun awal untuk solat Subuh, belajar dan hidup dengan kemudahan asas seperti bermandi air sejuk dan menggunakan tandas tanpa sistem moden.

“Kadangkala saya rasa malas, tapi mereka harungi setiap hari tanpa mengeluh,” ujarnya.

Pengalaman itu mengubah cara beliau melihat kehidupan.

“Bersyukurlah dengan apa yang kita ada. Selagi kita hidup, tak ada sebab untuk kita bersedih,” kata Wafi.