SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Perkongsian 3 tahun FAS, MSIG untuk perkukuh bola sepak setempat

Perkongsian 3 tahun FAS, MSIG untuk perkukuh bola sepak setempat

Pelaburan firma insurans akan sokong pelbagai inisiatif pasukan kebangsaan di pelbagai peringkat serta Liga Perdana S’pura
Apr 7, 2026 | 3:22 PM

Perkongsian 3 tahun FAS, MSIG untuk perkukuh bola sepak setempat

MSIG, FAS, perkongsian, bola sepak tempatan
Wakil MSIG dan FAS hadir semasa acara pengumuman rasmi perkongsian tiga tahun antara kedua-dua pihak. (Dari kiri) Mamori-chan, maskot MSIG; Cik Rebecca Ang Lee, Ketua Pegawai Pemasaran MSIG Asia; Cik Chock Ker Ching, Ketua Pegawai Kewangan MSIG Singapore; Encik Vikas Shukla, Ketua Pegawai Eksekutif, MS First Capital; Encik Norihiro Tanaka, Pengerusi, MSIG Asia; Encik Clemens Philippi, Ketua Pegawai Eksekutif, MSIG Asia; Encik Forrest Li, Presiden FAS; Encik Bruce Liang, Anggota Majlis FAS; dan Encik Badri Ghent, Setiausaha Agung FAS. - Foto FAS

Satu perkongsian selama tiga tahun bagi menyokong pembangunan jangka panjang bola sepak di Singapura telah diumumkan antara Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) dengan MSIG, sebuah syarikat insurans umum di Asia Tenggara.

Perkongsian itu diumumkan dalam satu kenyataan bersama pada 7 April, di mana kedua-dua pihak menyatakan bahawa inisiatif tersebut mencerminkan kepercayaan MSIG terhadap kuasa sukan dalam membentuk sikap, membangunkan masyarakat dan membuka peluang kepada golongan muda.

Dengan tumpuan khusus kepada pembangunan belia, pelaburan MSIG akan menyokong pelbagai inisiatif melibatkan pasukan kebangsaan lelaki dan wanita, pasukan kumpulan peringkat usia kebangsaan serta Liga Perdana Singapura (SPL).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MSIG Asia, Clemens Philippi, syarikat itu berharap dapat menyemarakkan kembali semangat dan kebanggaan negara terhadap bola sepak serta melihat pasukan Singapura beraksi di peringkat antarabangsa seperti zaman kegemilangannya dahulu.

“Walaupun sokongan ini meliputi semua peringkat, kami amat menekankan generasi akan datang. Melabur dalam belia hari ini adalah cara paling bermakna untuk membina masa depan yang mampan.

“Sukan mengajar ketahanan, disiplin dan kerjasama – nilai yang kekal sepanjang hayat,” kata beliau.

MSIG juga menekankan pengalaman globalnya dalam menyokong atlet, termasuk acara wanita dan atlet kurang upaya (para), serta penglibatan di peringkat rantau seperti Piala Serenity MSIG Wanita Asean yang menggalakkan generasi baru wanita muda supaya berani bermimpi dan beraksi lebih hebat.

Setiausaha Agung FAS, Badri Ghent, pula menyambut baik keyakinan MSIG terhadap bola sepak Singapura dan menegaskan bahawa sokongan ini akan memperkukuh laluan pembangunan, memperbanyak peluang untuk pemain muda dan meningkatkan piawai permainan di seluruh peringkat.

“Menaikkan piawai bola sepak di Singapura memerlukan usaha bersama, dan perkongsian seperti ini adalah langkah penting ke arah itu,” tambah beliau.

Inti kepada perkongsian ini ialah peranan MSIG sebagai penaja utama pasukan peringkat umur kebangsaan negara, mengukuhkan keazaman bagi membimbing bakat muda ke tahap tertinggi.

Di peringkat akar umbi, struktur pembangunan yang sedia ada – merangkumi sekolah, akademi dan program masyarakat – akan dimanfaatkan bagi memastikan lebih ramai kanak-kanak mendapat pendedahan dan latihan yang selamat serta bermutu.

Lebih 500 jurulatih berdaftar di peringkat akar umbi kini membantu mengenal pasti dan membentuk bakat baru di seluruh negara.

Selain daripada pembangunan belia, MSIG juga akan menyokong persiapan pasukan kebangsaan lelaki menjelang Piala Asia 2027 di Riyadh, termasuk kegiatan penglibatan peminat, pengalaman eksklusif bagi pelanggan dan kakitangan MSIG serta penonjolan jenama itu pada platform tertentu.

Dengan usaha berterusan ini, FAS dan MSIG berharap dapat menggerakkan budaya bola sepak yang lebih terangkum dan dinamik, seterusnya menarik lebih banyak pertubuhan agar menyokong pertumbuhan sukan nombor satu negara.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg