Topik diikuti
Pergi ke BHkuPerenang para Toh Wei Soong raih perak, Russel Pang pecah rekod kebangsaan
Perenang para Toh Wei Soong raih perak, Russel Pang pecah rekod kebangsaan
Perenang para Toh Wei Soong raih perak, Russel Pang pecah rekod kebangsaan
Perenang para Toh Wei Soong meraih pingat kedua Singapura di Sukan Komanwel Glasgow dengan memenangi pingat perak dalam acara akhir 50 meter gaya bebas lelaki S7 pada 29 Julai.
S7 ialah kelas renang para bagi atlet yang mempunyai tahap kecacatan fizikal sederhana.
Di Pusat Renang Tollcross, atlet berusia 27 tahun itu mencatat masa 29.36 saat untuk menduduki tempat kedua di belakang Christian Sadie dari Afrika Selatan yang memenangi emas (28.06 saat). Bruce Dee dari England meraih gangsa dengan masa 31.33 saat.
Atlet Singapura itu layak ke peringkat akhir sebagai peserta kedua terpantas dalam saringan dengan catatan 29.44 saat, di belakang rekod temasya 28.45 saat yang dicatatkan Sadie. Dee menduduki tempat ketiga dengan masa 31.50 saat.
Ini merupakan pingat ketiga Toh di Sukan Komanwel dan pingat perak keduanya, selepas menduduki tempat kedua dalam acara yang sama pada edisi 2022 di Birmingham.
Pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, beliau menghadiahkan Singapura pingat pertama dalam acara sukan para dengan memenangi gangsa.
Kemudian pada sebelah malam, Singapura sekali lagi mencipta kejayaan apabila Russel Pang, 16 tahun, memperbaharui rekod kebangsaan acara 1,500 meter gaya bebas lelaki miliknya daripada 15 minit 28.46 saat kepada 15 minit 25.58 saat untuk menduduki tempat kelima dalam perlumbaan akhir.
Sam Short dari Australia memenangi pingat emas dengan bergaya menerusi catatan 14 minit 42.11 saat, mengatasi Daniel Wiffen dari Ireland (14 minit 44.70 saat). Seorang lagi perenang Australia, Benjamin Goedemans, melengkapkan kedudukan podium dengan masa 14 minit 49.50 saat.
Gimnas remaja Amanda Yap menghadiahkan Singapura pingat pertama pada temasya ini apabila meraih pingat perak dalam acara palang imbangan (balance beam) pada 28 Julai.
Kejayaan peserta sulung berusia 16 tahun itu di Scotland menjadikannya gimnas Singapura keempat memenangi pingat di Sukan Komanwel.
Lim Heem Wei dan David-Jonathan Chan merupakan gimnas Singapura pertama memenangi pingat di Sukan Komanwel apabila masing-masing meraih pingat perak dalam acara palang imbangan wanita dan pingat gangsa dalam acara pommel horse lelaki pada edisi 2010 di India.
Pingat gimnastik Singapura yang terbaharu di Sukan Komanwel diraih pada edisi 2014 di Glasgow apabila Hoe Wah Toon memenangi pingat gangsa dalam acara vault lelaki.